Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cinta terhadap bahasa Melayu dorong Khairudin Saharom terus aktif mengacara

‘Dr Hilal’ seronok ditemani lima kucing, tidak tolak peluang berlakon jika jadual izinkan
Jun 28, 2025 | 5:30 AM
Khairudin Saharom, Arkitek, pengacara
Pengacara televisyen, Khairudin Saharom, berpendapat tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk mengendalikan rancangan informasi merupakan cara dirinya menyumbang kembali kepada masyarakat. - Foto MEDIACORP SURIA

Bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta.

Bagi personaliti televisyen veteran, Khairudin Saharom, 50 tahun, beliau bermula dengan menceburi bidang pengacaraan bahasa Inggeris pada 1995 melalui rancangan adu bakat, Fame Awards. 

Namun selepas diberi peluang untuk melibatkan diri dalam rancangan bahasa Melayu di saluran Prime 12 (sebelum Mediacorp Suria ditubuhkan), Khairudin mula menyedari minatnya terhadap bahasa Melayu dan kekal aktif dalam bidang pengacaraan hingga kini. 

“Cinta saya pada bahasa memberi saya semangat untuk terus berjuang dalam industri ini.

“Bidang pengacaraan merupakan peluang untuk saya berkarya dan berkongsi minat saya terhadap bahasa dengan penonton.

“Bahasa Melayu itu indah dan ia lebih indah jika terdapat lebih ramai orang yang menggunakannya. 

“Mengapa tidak saya memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menggunakan bahasa Melayu dengan sedikit kelebihan yang saya ada?” ujar Khairudin, yang turut menjadi Duta Bahasa bagi kempen Bulan Bahasa 2011. 

Khairudin turut berpendapat tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk mengendalikan rancangan berunsur maklumat seperti, Zakat SG dan program hiburan amal, Projek Kasih dan Sinaran Hati, merupakan salah satu cara dirinya dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. 

“Program sebegitu amat bermakna kerana ia membincangkan mengenai masalah yang membelenggu masyarakat. 

“Sebagai contoh, Projek Kasih, memberi penonton peluang untuk mendengar kisah-kisah tabah pesakit barah sambil mengetahui tentang sokongan dan program yang disediakan badan amal dan pemerintah.

“Saya bersyukur sentiasa diberi peluang untuk menyampaikan mesej dan pengetahuan yang dapat membantu penonton di rumah,” kongsinya yang merupakan arkitek sepenuh masa dan pemilik syarikat seni bina bangunan, Kite Studio Architecture. 

Bakat Khairudin dalam bidang pengacaraan turut diiktiraf menerusi dua pencalonan di Pesta Perdana 2025.

Beliau dicalonkan dalam kategori Pengacara Terbaik – Informasi bagi Zakat SG 2023 dan dalam kategori Pengacara Terbaik – Hiburan bagi Sinaran Hati 2024. 

Ditanya apakah faktor yang membuat seorang pengacara itu menyerlah, Khairudin menyifatkan seseorang pengacara harus peka dengan mesej yang ingin disampaikan dan memahami kehendak penonton. 

“Mereka harus tahu siapakah yang menonton rancangan tersebut dan menghormati penonton.

“Kadangkala terdapat panel pakar yang diundang untuk membincangkan sesuatu topik. 

“Namun fakta-fakta yang dikongsi mungkin sukar untuk difahami oleh penonton di rumah. 

“Jadi sebagai pengacara, tugas saya adalah untuk memastikan kandungan itu mudah difahami dan pada masa yang sama, menarik bagi penonton.

“Saya rasa mereka juga harus membuat kajian dan bekerjasama dengan pihak penerbitan untuk mengetahui matlamat utama rancangan itu,” ceritanya. 

Khairudin turut memastikan dirinya kekal relevan dan kemahiran pengacaraannya tidak ‘karat’ dengan menjadi penyiar sambilan di stesen radio, Ria 897, hingga kini. 

“Sebenarnya saya bermula di Warna 942 pada 1998 dan berpindah ke Ria 897 pada 2000,” jelasnya yang sering ke udara pada hujung minggu.

Selain bidang pengacaraan dan dunia seni bina, Khairudin juga seorang pencinta haiwan dan mempunyai lima ekor kucing. 

Tiga bersamanya di pejabat iaitu BamBam, tujuh tahun; Toby, lima tahun; dan BuBu, tiga tahun; manakala, Charlie, lapan tahun; dan PingPong, empat tahun, bersamanya di rumah. 

Gambar dan videonya berinteraksi dengan kucing sering mendapat perhatian netizen apabila ia dimuat naik ke akaun media sosialnya. 

“Sejak kecil saya memang sukakan kucing. Kalau saya jumpa kucing di koridor atau kolong blok, saya akan bawanya pulang ke rumah.

“Namun, ibu saya sering buat bising kerana beliau kata susah untuk menjaganya.

“Selepas saya ada pejabat sendiri, saya mula lepaskan ‘geram’!

“Kini saya ada kucing semasa bekerja dan apabila rehat di rumah,” kata Khairudin sambil tertawa. 

Ditanya apakah beliau bakal kembali ke dunia lakonan, Khairudin yang dikenali dengan watak Dr Hilal dalam drama popular 160 episod pada 1990-an, Gelora, berkata kekangan masa adalah cabaran utama untuk dirinya terlibat dalam penerbitan drama. 

“Saya suka dengan lakonan, namun ia mengambil masa yang lama.

“Terdapat beberapa tawaran, namun saya tidak boleh berikan komitmen disebabkan tuntutan tugas seharian. 

“Tidak mustahil untuk kembali ke dunia lakonan, namun perlu bersesuaian dengan jadual saya,” ujarnya, yang juga seorang tutor jurusan reka bentuk, di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan kali terakhir muncul dalam drama Interns (Musim Kedua) pada 2016. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg