Walaupun telah berkecimpung selama 15 tahun dalam bidang seni tempatan, pelakon Singapura, Nurul Nabila, 33 tahun, belum bersedia untuk memberitahu anaknya mengenai kerjaya lakonannya.
“Sehingga kini, dia tidak tahu bahawa saya seorang pelakon. Saya hanya beritahu yang saya bekerja di bangunan saluran televisyen,” ceritanya yang mempunyai anak lelaki, Ehsan, enam tahun.
Namun kemenangannya dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik – Telefilem/Antologi bagi telefilem, Bisikan Syahdu, di Pesta Perdana 2025 mungkin membuka tirai bagi Nurul Nabila berkongsi mengenai kerjaya lakonannya.
Nurul Nabila, atau nama penuhnya, Nurul Nabila Mohd Sani, berjaya menewaskan calon lain termasuk Lydia Asyiqin (Bingit Musim Kelima); Siti Khalijah Zainal (StigMa Lea); Nina Halim (Bingit Musim Kelima); dan Yuslina Yussof (Aroma Syawal).
“Kini, jika ada orang yang ingin bergambar dengan saya di luar, saya hanya katakan pada anak saya yang mereka ni suka dengan rambut atau fesyen saya!” kata Nurul Nabila sambil tertawa apabila ditemui Berita Harian (BH) di Teater Mediacorp pada 24 Mei.
Nurul Nabila berkata beliau tiada niat untuk merahsiakan tentang kerjayanya dan hanya ingin memberi anaknya peluang untuk menumpukan perhatian pada pelajaran.
Dalam telefilem Hari Raya Haji itu, pelakon yang bersahaja ini memainkan watak sebagai Nadia, ekspatriat yang hidup mewah di Jeddah, Arab Saudi, tetapi lupa daratan dan berlaku biadab terhadap ibu bapanya.
Telefilem yang menampilkan barisan pelakon termasuk Syarif, Hashimah Hamidon, Husin Saaban dan Shenty Feliziana itu turut memenangi kategori Telefilem/Antologi Terbaik di Pesta Perdana 2025.
Mengimbau kembali pengalaman menjalani penggambaran di negara padang pasir itu selama 12 hari, Nurul Nabila menyifatkannya sebagai pengalaman yang mencabar.
“Selain memainkan watak Nadia yang cukup berat, saya turut kehilangan mak cik saya semasa di Jeddah dan tidak dapat pulang ke Singapura ketika itu.
“Saya sangat berterima kasih kerana mempunyai kru penerbitan dan barisan pelakon yang senang untuk bekerjasama.
“Ibu bapa, ibu mentua dan suami juga membantu menjaga anak saya sepanjang berada di Jeddah. Ia satu pengorbanan, namun saya bersyukur diberi pengiktirafan anugerah ini,” kongsi Nurul Nabila.
Beliau turut bersyukur dengan peluang yang diberi oleh pihak penerbitan, Poetry In Motion, yang melihat potensi dirinya untuk menjayakan watak utama itu.
“Ini merupakan anugerah pertama saya sepanjang 15 tahun dalam bidang seni.
“Pada mulanya, saya tidak pasti jika saya boleh menghidupkan watak Nadia dan turut mengatakan terdapat pelakon lain yang lebih sesuai.
“Namun, pihak penerbitan memberi kepercayaan itu kepada saya dan saya sangat terharu,” tambahnya.
Nurul Nabila yang pernah bertugas sebagai pramugari sepenuh masa memulakan kerjaya seninya selepas menghadiri uji bakat bersama syarikat penerbitan Eaglevision.
Antara drama lakonannya termasuk, Cinta Ixora, Kosmopolitan, 7 Penjuru, Tiang Lampu dan telefilem, Cinta Ramadan, bersama pelakon Malaysia, Sharnaaz Ahmad.
Beliau turut dikenali dengan watak Maria, ‘calon ketiga’ bagi pilihan hati watak utama, Ustaz Shahrul (lakonan Beto Kusyairy) dalam siri popular, Kisah Tok Kadi (Musim Pertama), dan sebagai Hanis, watak antagonis yang telah berkahwin dengan suami kawan baiknya dalam drama mengenai konflik keluarga, Dilema Dania.
Ditanya bagaimana dirinya mengimbangi kerjaya seni dan tanggungjawab sebagai seorang ibu, Nurul Nabila, cuba sedaya upaya untuk kekal profesional di set penggambaran dan tidak membiarkan emosi mengganggunya.
“Saya akan pastikan tanggungjawab saya sebagai ibu dan isteri di rumah dilaksanakan dahulu.
“Jikalau anak saya sakit, saya tidak boleh bawa rasa risau itu ke dalam set penggambaran,” ujarnya.
Mengulas mengenai karya tempatan yang dihasilkan kini, beliau berpendapat syarikat penerbitan lebih terbuka untuk mengetengahkan naskhah yang membincangkan isu larangan yang kadangkala dianggap sensitif dalam kalangan masyarakat.
“Saya rasa skrip yang dihasilkan juga menarik, dengan adanya lebih banyak karya bergenre saspens sambil mengupas isu sosial.
“Pastinya, terdapat mesej positif dan pengajaran yang ingin disampaikan menerusi jalan cerita,” jelasnya.
Ditanya apakah yang membuatnya ingin terus kekal aktif dalam bidang lakonan, Nurul Nabila berasa dirinya tidak pernah jemu menjayakan pelbagai watak yang ditawarkan kepadanya.
“Walaupun tawaran lakonan itu tidak datang setiap masa, namun setiap kali diberi peluang untuk menggalas watak berbeza, saya berasa seronok dan akan berikan yang terbaik,” ujarnya yang buat masa ini tidak terlibat dengan sebarang penerbitan terbaru.
Pada masa depan, Nurul Nabila, ingin terus terlibat dalam karya yang mengetengahkan isu keluarga atau genre misteri dan diberi peluang membawa watak sebagai peguam.
“Saya sering terfikir bagaimana tugas seorang peguam, bagaimana situasinya di mahkamah dan cara perbicaraan dilakukan,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg