Bab jodoh tidak siapa yang tahu.
Tatkala ditanya tentang kisah peribadi, penyanyi Dayang Nurfaizah masih berteka-teki kemungkinan sudah memilih tarikh istimewa untuk diijab kabul.
Mengulas tentang kisah percintaan dan keinginan berumah tangga, Dayang atau nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44 tahun, hanya memberi jawapan ringkas kepada wakil media.
“Doakan yang terbaik untuk saya,” kata Dayang dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum ini, penyanyi dan komposer, Hael Husaini, 37 tahun, yang dikaitkan dengan Dayang, menafikan dakwaan sudah bertunang dengan penyanyi Di Pintu Syurga itu, sebagaimana yang hangat diperkatakan dalam laman media sosial.
Hael yang popular dengan lagu, Jampi, itu dilaporkan berkata gosip atau berita disebarkan di media sosial sama sekali tidak datang daripada dirinya.
Sementara itu, Dayang menjelaskan tiada tarikh istimewa yang ditetapkan melainkan dua persembahan termasuk Janji With Dayang di Pulau Pinang pada 23 Ogos, disusuli dengan persembahan di Menara Kuala Lumpur, Malaysia, pada 27 September.
Dua persembahan ini bertujuan mempromosikan sekali gus mengetengahkan lagu-lagu dalam album terbarunya, Janji.
“Dua persembahan eksklusif ini cukup istimewa buat saya.
“Sempena album baru Janji, saya sudah lama impikan acara ini.
“Kali terakhir saya melancarkan album adalah pada 2017. Jadi, persembahan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, sangat eksklusif,” katanya lagi.
Namun begitu, apabila ditanya sama ada Hael akan turut menghadiri persembahan eksklusif tersebut, pelantun lagu, Umpan Jinak Di Air Tenang, itu seakan-akan bermain tarik tali.
“Orang bermakna yang akan hadir adalah peminat saya. Mereka adalah pembakar semangat saya.
“Persembahan ini memberi tumpuan kepada album Janji. Jadi, saya boleh katakan, tiada sebarang kejutan atau gimik.
“Apa yang ada hanyalah artis yang membuat persembahan iaitu Anwar Amzah dan Naki.
“Rakan artis yang hadir nanti semuanya istimewa bagi Dayang.
“Kita juga jemput komposer yang terbabit dalam projek album Janji. Mereka orang penting dalam projek itu,” ulas Dayang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg