Seperti musim berganti, begitu juga jiwa anak seni, Ernie Zakri, atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33 tahun, yang bertukar angin dan kian aktif melangkah kaki dalam dunia seni hiburan Indonesia, baru-baru ini.
Selepas kejayaannya dengan lagu, Hal Hebat dan Masing-Masing, hasil ciptaan komposer, Ade Govinda, Ernie melancarkan lagu baru berjudul, Kisah Penuh Kecewa, bersama penyanyi Indonesia yang juga pemenang tempat ketiga peraduan nyanyian realiti, Indonesian Idol (Musim Ke-11), Anggi Marito.
Dengan nuansa pop-balada dan susunan muzik megah sentuhan penerbit, S/EEK, lagu ini terhasil daripada kerjasama rapat antara Ernie, Anggi, dan penulis lagu, Clara Riva.
Lagu ini menyelami luka hati akibat cinta tidak kesampaian, namun tetap membawa pesanan mengenai kekuatan dan ketabahan dalam menjalani kisah percintaan.
Apabila ditemui Berita Minggu (BM), Ernie turut berkongsi rasa kagum pada rakan penyanyi, Anggi, yang juga merupakan seorang ibu kepada anak perempuan, Gemma Felicya Lourdes Ganessha, berusia satu tahun.
“Anggi seorang penyanyi yang sangat muda. Kalau tidak silap saya, beliau kini berusia 23 tahun.
“Seorang ibu muda juga. Saya sebenarnya sangat kagum dengan cara beliau mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadinya.
“Dalam beliau sibuk menyelesaikan projek atau pekerjaannya, beliau juga perlu memberi perhatian kepada anak dan juga suami.
“Bercakap tentang suara pula, beliau memang berbakat. Kalau ramai yang kata suara kami ‘ngam’, Alhamdulillah, bermakna kami berjaya menyampaikan sebuah lagu itu dengan berkesan,” kata Ernie.
Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), menjalani sesi rakaman lagu, Kisah Penuh Kecewa, semasa Ramadan lalu di Jakarta, Indonesia.
Antara cabaran yang dihadapi termasuk perlu menyesuaikan diri dengan keadaan berpuasa, seperti tidak dapat melegakan tekak yang kering sepanjang proses rakaman.
Bagaimanapun, pelantun lagu Boneka itu meluahkan rasa syukur kerana segala proses rakaman berjalan lancar.
Penglibatan Ernie dalam industri muzik Indonesia bukan sekadar strategi pasaran, malah menjadi ruang penerokaan bakat yang dimiliki.
Selain lagu Kisah Penuh Kecewa, beliau turut menyampaikan lagu Nostalgia, ciptaan penyanyi dan komposer muda dari Indonesia, Allan Anderson, yang juga merupakan bekas peserta program realiti nyanyian, Big Stage Alpha, terbitan Astro.
“Walaupun ramai mengatakan lagu Nostalgia kedengaran mudah, hakikatnya ia agak mencabar untuk dinyanyikan.
“Allan tahu dengan jelas apa yang diinginkannya sebagai pencipta lagu, dan dalam masa yang sama, beliau turut menghormati pandangan saya sebagai penyanyi.
“Saya gemar bekerjasama dengan individu yang mempunyai visi yang jelas dan bersikap terbuka dalam perbincangan,” kongsi Ernie.
Dalam arus digital masa kini, Ernie turut mengakui pentingnya menguasai penggunaan platform media sosial, meskipun ia bukan sesuatu yang mudah bagi dirinya.
“Sejujurnya, memang agak sukar untuk mengikuti rentak media sosial dan trend semasa.
“Tetapi kita tidak boleh menafikan kuasa media sosial, terutamanya TikTok, dalam menyebarluaskan karya muzik.
“Kalau kita tidak mengikuti arus, bimbang nanti kita akan hanyut. Jadi, saya cuba memanfaatkan ruang ini sebaik mungkin,” katanya lagi.
Dalam dunia hiburan, kewujudan persaingan merupakan perkara biasa.
Namun bagi Ernie, kehadiran suaminya, Syamel, yang juga merupakan penyanyi berbakat besar, bukanlah penghalang.
Sebaliknya, Syamel menjadi sumber semangat yang menyala dalam diri ibu seorang anak itu.
“Kalau nak diikutkan, memang betul saya dan Syamel secara tidak langsung, saling menjadi pesaing dalam bidang seni.
“Tetapi itu bukanlah perkara yang negatif. Sebenarnya, kami saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain.
“Kami telah mencapai tahap komunikasi yang matang, di mana kami boleh berbincang secara terbuka sekiranya ada peluang yang hadir bagi salah seorang daripada kami,” jelas Ernie, yang telah mendirikan rumah tangga bersama Syamel pada 2021.
Ernie menambah bahawa keseimbangan antara hubungan profesional dan peribadi menjadi asas keharmonian rumah tangga mereka, terutama dalam membesarkan cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha atau Lala, tiga tahun.
“Sebenarnya, saya dan Syamel sama-sama tegas dalam mendidik anak.
“Tetapi kalau nak diikutkan, sayalah yang lebih garang! Namun, Khawla bijak membezakan siapa yang boleh dipujuk dan siapa yang perlu dihormati apabila tiba masa untuk disiplin.
“Kami berdua memainkan peranan masing-masing, dan yang paling utama, semuanya demi kebaikan anak kami,” kongsinya lagi.
2025 turut mencatatkan detik bermakna buat Ernie apabila diberi peluang untuk berkongsi pentas bersama dua legenda muzik yang juga ibu dan bapa saudaranya sendiri – Ziana Zain, 57 tahun dan Anuar Zain, 55 tahun – menerusi Konsert Empat Live In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 18 Oktober di Mega Star Arena.
“Saya tak pernah bayangkan akan berdiri sepentas dengan pak cik dan mak cik saya.
“Sejak kecil, saya membesar mendengar lagu-lagu mereka, menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi.
“Jadi apabila peluang ini datang, saya terus bersetuju tanpa sebarang keraguan,” katanya dengan penuh rasa teruja.
Apa yang lebih mengagumkan, kata Ernie, adalah sikap profesionalisme kededua penyanyi mapan tersebut yang tidak pernah membezakan antara hubungan kekeluargaan dan komitmen kerja.
“Walaupun kami adalah keluarga, apabila tiba masa untuk bekerja, mereka amat serius dan fokus.
“Setiap idea kami berdua (Ernie dan Syamel) sentiasa diberi ruang dan tidak pernah ditolak mentah-mentah.
“Saya percaya, sikap inilah yang membuatkan mereka kekal relevan dan terus dihormati dalam industri seni,” kata Ernie. – AININ ALFIANI JAILANI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg