Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, mengakui tidak kekok apabila kembali bergandingan dengan pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, menerusi drama bersiri, Gerak Khas 2.0, meskipun sudah lama tidak beraksi bersama.

Erra, 52 tahun, pada mulanya terkejut apabila dimaklumkan Hans, yang kini bertindak sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), 54 tahun, menerima tawaran membintangi semula francais drama kepolisan ikonik itu, yang terkenal di Malaysia.

Sebelum membina rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007, yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi stesen radio Suria FM, Erra sempat menjalinkan hubungan cinta dengan Hans.

“Saya pun terkejut bila nama Hans ‘naik’. Saya cakap, ‘Mahukah Hans berlakon?’ Sebab dia sudah sibuk.

“Tetapi, tengok-tengok, dia sahut cabaran itu dan bagi saya, (ia) sesuatu yang bagus,” kata Erra, yang kini bersuamikan pemilik rangkaian kedai makan, Kueh Cafe, Ezwan Zain, dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau ditemui pada majlis tayangan perdana, Gerak Khas 2.0, di pawagam TGV, Suria KLCC, Malaysia, pada 30 Jun.

Gerak Khas 2.0 terbitan Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions, diarahkan oleh pengarah mapan, Datuk Yusof Haslam, dan disiarkan setiap Jumaat, pada 8.30 malam di saluran TVS, bermula 3 Julai.

Drama Gerak Khas yang pernah mencatat 20 musim dan 1,054 episod itu, kini kembali dengan pendekatan lebih segar menerusi jalan cerita membabitkan jenayah moden, serangan siber serta sindiket berteknologi tinggi, selain menjadikan Sarawak sebagai antara tempat utama penceritaan.

Selain Yusof, Erra dan Hans, drama kepolisan itu turut menampilkan C Kumaresan, Deen Maidin, Salina Saibi, Tisha Shamsir dan Penolong Kanan Pesuruhjaya (Bersara), Datuk Shaharon Anuar.

Menurut Erra, hubungan mereka sepanjang penggambaran lancar kerana masing-masing mengutamakan profesionalisme ketika bekerja.

“Kami sangat profesional, tiada masalah langsung.

“Kalau selepas ini ada yang hendak gandingkan Erra dengan Hans lagi, okey saja. Hans okey, saya pun okey,” ujarnya sambil ketawa.

Pada masa sama, Erra menjelaskan kemunculannya bersama Hans dalam Gerak Khas 2.0 bukan membabitkan babak romantik, sebaliknya lebih kepada menjalankan tugas sebagai anggota pasukan.

“Ada babak bersama Hans, tetapi bukan babak bercinta. Kami bertugas bersama,” kata Erra.