Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepi tanpa Anugerah Planet Muzik sebagai penyatu pemuzik Nusantara

Artis S’pura perlu lebih penghargaan, dorongan berkarya untuk bawa muzik ke peringkat serantau
Dec 8, 2025 | 5:30 AM
Pada suatu ketika, Singapura pernah menjadi tuan rumah bagi acara gah Nusantara, yang memberi pengiktirafan kepada bakat seni di rantau ini seperti, bintang Indonesia, Datuk Seri Rossa (dua dari kiri), melalui Anugerah Planet Muzik (APM), anjuran Mediacorp, antara 2001 dengan 2018.
Pada suatu ketika, Singapura pernah menjadi tuan rumah bagi acara gah Nusantara, yang memberi pengiktirafan kepada bakat seni di rantau ini seperti, bintang Indonesia, Datuk Seri Rossa (dua dari kiri), melalui Anugerah Planet Muzik (APM), anjuran Mediacorp, antara 2001 dengan 2018. - Foto ST

Pada suatu ketika, Singapura pernah menjadi tuan rumah bagi acara gah Nusantara yang memberi pengiktirafan kepada bakat seni di rantau ini iaitu, Anugerah Planet Muzik (APM), anjuran Mediacorp, antara 2001 dengan 2018.

Namun, saya fikir ketiadaan acara tersebut sedikit sebanyak membuatkan persada muzik Singapura, yang sudah pun sedia ada kecil menjadi lebih suram.

‘Apalah nasib bakat tempatan kita?’ dengus saya dalam hati.

Mengimbau kembali kenangan menguruskan acara berprestij itu, penyiar stesen radio Warna 942, Aura Shai, akur beliau perlu berhempas pulas untuk memperkenalkan anak seni tempatan di peringkat Nusantara.

Tentu sahaja, ia bukanlah sesuatu perkara yang dianggap enteng. 

Bagaimanapun, APM turut memberi peluang bagi anak seni Singapura untuk menebarkan sayap mereka.

“Secara sedar ataupun tidak, APM mempunyai kategori atau segmen kolaborasi.

“Dengan gabungan artis dari Singapura, Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas, peluang untuk membina rangkaian kerjasama terbuka luas. 

“Ada yang bijak merebut peluang tersebut, dan ada juga yang sekadar tampil untuk membuat persembahan. 

“Antara yang paling menonjol dalam memanfaatkan kesempatan ini ialah Taufik Batisah, yang dilihat bijak memperluaskan langkahnya menembusi pasaran Indonesia dan Malaysia.

“Selepas APM, hubungan Taufik juga semakin akrab dengan dua bintang Indonesia, Datuk Seri Rossa dan Afgan.

“Daripada hasil itu, beliau mempunyai lagu duet dengan Rossa iaitu, Aku Bersahaja.

“Taufik turut menghasilkan sebuah lagu berbahasa Inggeris berjudul, Knock Me Out, yang kemudiannya dibawakan oleh Afgan,” kata Shai, selaku penerbit APM sepanjang tempoh 13 tahun, antara 2005 dengan 2018.

Ada juga kategori Anugerah Media Sosial Nova dalam APM, yang mengiktiraf individu atau personaliti popular dengan jumlah pengikut besar di media sosial seperti YouTube.

Kategori itu diperkenalkan pada 2012.

Menurut Shai, atau nama sebenarnya, Shaidatunniza Mahmood, salah seorang artis Singapura yang berhasil memanfaatkan wadah itu sejak ia diperkenalkan di APM ialah Sufi Rashid.

“Semasa awal kembara seninya, Sufi belum ada lagu sendiri. Beliau hanya menyanyikan lagu saduran yang dimuatnaikkan ke laman YouTube.

“Susulan kejayaannya memanfaatkan platform Media Sosial Nova, Sufi berpeluang berangkat ke Jakarta bagi sidang media APM.

“Lebih menarik lagi, selepas menyanyikan lagu, Sudah Cukup Sudah, yang merupakan karya kumpulan Nirwana, kumpulan itu juga pernah menawarkannya untuk mengisi tempat sebagai penyanyi utama,” ujar Shai.

Semasa saya menemu bual Shai, atau lebih mesra disapa Kak Shai, sempena pengiktirafannya sebagai penerima Anugerah Penaung Muzik yang disampaikan Persatuan Perlindungan Hak Cipta dan Penggubah Singapura (Compass) pada Oktober 2025, terlintas di fikiran saya – kalau APM masih diteruskan hari ini, mungkinkah wujud kategori serupa khusus untuk bakat baru di TikTok pula?

Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangannya memperjuangkan bakat seni tempatan.

Bagi saya, sayang seribu kali sayang kerana tidak ada lagi acara berskala mega yang menyambut hasil karya setempat.

Jadi, tidak hairanlah jika ada yang memilih untuk mencuba nasib di luar negara atau menutup terus tirai kerjaya seni kerana tiada lagi pacu yang menyalakan semangat artis tempatan.

Sejauh ini, antara artis tempatan yang kini lebih giat membina nama di luar negara ialah juara Singapore Idol 2009, Sezairi Sezali.

Terdahulu, beliau pernah mencatat kejayaan di APM 2015, melalui duetnya bersama penyanyi Indonesia, Ari Renaldi iaitu, Jangan Coba Berlari, dengan lirik yang ditulis oleh Tulus.

Lagu tersebut telah meraih Anugerah Lagu Kolaborasi Terbaik di APM 2015.

Selain itu, lagu hit berjudul, It’s You, telah mencapai status platinum sebanyak enam kali bagi penstriman digital dan meraih lebih 100 juta penstriman di seluruh dunia, menjadikannya artis Singapura pertama yang mencapai pencapaian tersebut.

Kini, Sezairi kekal aktif berkecimpung dalam industri muzik Indonesia, termasuk melancarkan single pertamanya dalam bahasa Indonesia iaitu, Kata, pada Januari 2025. 

Beliau juga telah membuat persembahan di pelbagai acara besar seperti Festival Java Jazz 2023, dan Kios Ojo Keos di Jakarta Selatan, Indonesia, baru-baru ini, dengan menyatakan hasrat mengadakan persembahan jelajah yang lebih meluas di negara itu.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan negara lain, banyak industri muzik di rantau ini masih mengekalkan majlis penganugerahan yang bukan sahaja meraikan bakat tempatan mereka, malah memberi pengiktirafan yang mampu membuka peluang berkarya di peringkat antarabangsa. 

Lihat sahaja di seberang, misalnya, di Malaysia, peminat dunia muzik dan hiburan sentiasa menanti-nantikan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Ia bukan sekadar majlis penganugerahan semata-mata, tetapi juga menjadi pentas untuk menonjolkan karya terbaik artis tempatan. 

Sementara itu, di Indonesia pula, Anugerah Musik Indonesia (AMI) memainkan peranan serupa. 

Artis muda seperti juara Indonesia Idol 2023, Salma Salsabil, dan juara ketiga Indonesia Idol 2023, Rony Parulian, berjaya melonjakkan diri ke carta populariti dan mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan Indonesia setelah meraih pengiktirafan di AMI.

Namun begitu, dalam landskap muzik yang luas dan rencam seperti di Malaysia dan Indonesia, persaingan turut menjadi lebih sengit, lantas mendorong seniman untuk terus menghasilkan karya yang baik dan bermutu tinggi.

Andai sahaja lebih banyak peluang dan inisiatif diwujudkan untuk mempromosikan serta menghargai muzik tempatan di Singapura, pastinya ia sesuatu yang layak menjadi kebanggaan kita semua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg