Walaupun akur dirinya seorang yang pendiam, lebih suka untuk tidak banyak ‘songeh’ dan pemalu, juruhebah stesen radio, Mediacorp Warna 942, Mariam Mas’od, melihat personaliti yang lantang dari seberang, Raja Azura dan Fauziah Ahmad Daud, sebagai idolanya.
Ini kerana beliau kagum dengan cara kededuanya ‘memancing’ perhatian penonton untuk terus mendengar apa yang ingin disampaikan secara jujur dan dengan penuh santai dan gurau senda ‘berbisa’ untuk renungan.
Bagaimanapun, kerana ingin membangun kerjaya penyiaran yang dapat menghiburkan orang lain dan membantu mereka meredakan tekanan dengan sembang santai bersama rakan deejay dan sajian lagu penawar jiwa, Mariam, 56 tahun, berani keluar dari kepompong rasa segannya itu.
“Saya selalu ingat pesan arwah ibu saya, ‘buat kerja betul-betul’, jangan hampakan orang dan hiburkan orang serta mudahkan urusan orang lain agar mereka dapat ringankan fikiran kalau ada yang membebankan,” jelas Mariam, sewaktu ditemui Berita Harian (BH) sejurus diumumkan sebagai DJ Radio Terbaik pada Pesta Perdana 2025 di Teater Mediacorp.
Mariam dicalonkan bersama empat rakan juruhebah lain, A B Shaik, Azura Goh, Ezam Ernady, dan Zuhairi Idris, yang mengendalikan segmen masing-masing.
Ibu empat anak lelaki, berusia antara 18 tahun dengan 29 tahun itu, menerima pengiktirafan bagi program Espresso Warna, yang dikendalikan bersama A B Shaik.
“Terus terang, saya harus berkongsi anugerah ini bersama Shaik, yang menyerlahkan kehadiran saya di corong radio dan sentiasa ada idea segar untuk kami sama-sama bincangkan.
“Dalam ramai deejay yang pernah bekerjasama dengan saya, rasanya beliaulah yang paling serasi sebagai rakan setugas.
“Kami memang ada ‘chemistry’. Beliau ‘sidekick’ paling ‘best’, selalu buat saya gelak. Datang kerja pun gembira sahaja.
“Shaik, malahan, boleh baca saya macam buku! Beliau macam tahu sahaja apa ada dalam fikiran dan hati saya. Tak mudah nak dapatkan rakan setugas yang sekepala.
“Alhamdulillah, saya sudah bekerja pagi lebih 13 tahun, mengendalikan program bersama Shaik serta mendapat maklum balas yang baik,” katanya.
Mariam yang sudah hampir 35 tahun bekerja sebagai juruhebah, bermula dengan stesen Ria 89.7 (nama stesen ketika itu sebelum menjadi Ria 897), telah banyak mencuba tugas lain seperti operator telefon hotel, promoter jualan di Isetan dan kerani tempahan di syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA).
Justeru, apabila mendapat lamaran menyertai bidang penyiaran, beliau agak keberatan.
“Sewaktu di SIA, saya dah seronok sebab ada peluang untuk melancong. Jadi, saya tolak tetapi dipendekkan cerita, arwah ibu saya menasihati saya agar tidak hampakan harapan orang.
“Maka, saya yakin kalau dengar kata ibu, pasti ada keberkatannya. Sampailah saya bertugas lama dan diiktiraf dengan Anugerah DJ Radio Terbaik.
“Ibu saya kata dalam setiap usaha kita, jangan sampai kita sakitkan hati orang. Bahagiakan orang tapi ingat juga untuk menjaga keperluan kita,” kongsi Mariam lagi.
Beliau masih ingat mantan bosnya, Zakiah Halim, berpesan kepadanya agar menjadi dirinya sendiri dan tidak perlu risau sikap pemalunya menjejas tugas seharian.
“Saya beritahu Puan Zakiah, saya suka cara Raja Azura dan Fauziah Ahmad Daud mengacara. Mereka lantang, lincah dan banyak idea untuk diperbualkan, berbanding saya yang pendiam.
“Tapi, Puan Zakiah beri jaminan, saya tak perlu ikut gaya orang lain. Saya boleh ambil unsur-unsur tertentu sebagai inspirasi tetapi teruslah jadi diri saya sendiri,” katanya lagi.
Mengenai penerimaan anak-anaknya, Nurhady, Nurhidayat, Nurhusainy, dan Nurhydir, yang membesar dengan ibu yang dikenali ramai, Mariam tertawa seraya berkata:
“Kasihan anak-anak saya. Awal-awal lagi, banyak kena tinggal sebab Mama mereka sibuk ke sana ke mari kerana tugasan promosi radio dan waktu kerja yang ada syif.
“Tapi apabila dah besar, kalau mereka ke rumah kawan, pasti ada yang kirim salam dengan saya seperti ibu teman-teman anak atau teman-teman mereka sendiri.
“Saya selalu beritahu mereka, ‘Jangan beritahu Mama ni deejay!’”
Sungguhpun begitu, beliau mengenang segala pengorbanan dan kasih sayang suaminya, Encik Norhisham Ismail, 57 tahun, yang amat memahami.
“Kalau tak kerana suami yang banyak menyokong dan memahami kerjaya dan kesibukan saya, taklah saya lama bekerja di sini sebagai penyiar.
“Isterinya dah keluar mencari rezeki sebelum subuh, balik sebelum asar. Tapi beliau cukup memahami dan mendorong saya agar dapat menjalankan amanah dengan lancar, baik sebagai isteri, ibu atau juruhebah,” ujar Mariam.
Beliau akur sebagai juruhebah, banyak ragam pendengar yang telah dilihat sepanjang tiga dekad ini.
“Dalam 10 yang suka kita, pasti ada seorang yang tak berkenan. Ada yang akan kirim aduan sampai ke peringkat bos atasan.
“Tapi saya pernah juga terima surat ‘cinta’ berupa kata-kata pujian yang dikirimkan kepada pihak pengurusan. Alhamdulillah, saya tak sangka dan tak tahu siapa mereka yang menghargai ini.
“Tapi apa jua perkara yang orang tidak puas hati, saya tetap akan ambil kira secara serius. Sebab ada perkara yang kita mungkin terlepas pandang dan menyinggung perasaan orang tanpa disedari,” kata Mariam.
Beliau juga meminta maaf kepada pendengar kerana kadangkala tidak sempat membalas pesanan WhatsApp, bahkan pernah membalas pesanan itu tiga minggu selepas ia dikirimkan.
“Tanpa pendengar, saya takkan berada di sini (Warna 942) sampai sekarang.
“Kepada penyiar muda pula, saya juga berharap mereka dapat jadi diri mereka sendiri dan usahakan perbaiki mana-mana yang kurang.
“Saya pun pernah berada pada tahap saya tergagap-gagap berbual. Pastikan sebagai penyiar, anda kekalkan semangat untuk jana kandungan yang lebih bermutu.
“Jaga bahasa, tatasusila dan adab. Jangan lupa untuk anggap tugasan anda sebagai sesuatu yang menyeronokkan,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg