Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fasha Sandha nasihat bakat muda hormati pelakon veteran

Jul 21, 2025 | 3:53 PM
Fasha Sandha, pelakon baru, pelakon veteran
Pelakon Malaysia, Fasha Sandha, berpendapat bahawa pelakon baru harus menghormati dan terbuka untuk belajar daripada pelakon veteran atau yang lebih berpengalaman. - Foto INSTAGRAM FASHA SANDHA

Pelakon Malaysia, Fasha Sandha, berpendapat bakat baru perlu mempunyai rasa hormat terhadap pelakon veteran, selain diingatkan juga agar menitik berat aspek disiplin dalam kerjaya mereka.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 41 tahun, berkata beliau juga sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan pelakon lebih berpengalaman sejak awal berkecimpung dalam industri seni hingga kini.

“Alhamdulillah, saya masih dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan artis veteran sebab tanpa mereka tiadalah kami (pelakon baru).

“Berdasarkan pengalaman saya dahulu, zaman kami tidak terlalu terdedah dengan wadah media sosial.

“Saya juga berkawan baik dengan artis veteran berbanding dengan mereka yang seangkatan atau lebih muda daripada saya.

“Ini kerana saya berasa seronok berbual dan dapat menimba ilmu dengan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Fasha ditemui media di majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 18 Julai.

Fasha turut berkata komitmen dan disiplin adalah perkara penting yang perlu diterapkan oleh seorang pelakon.

“Dari dahulu lagi, saya memang sangat menjaga komitmen dan disiplin diri agar sentiasa diberi peluang dan sokongan oleh semua pihak.

“Kalau dahulu, lakonan saya mungkin masih ‘kayu’, tetapi apabila ada disiplin dan kesungguhan ia akan membuatkan mereka sudi memberi kita peluang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menimba ilmu daripada pelakon veteran untuk memperbaiki prestasi lakonan sekali gus menghargai pengalaman mereka.

“Sebagai pelakon, ilmu kena tetap terus dicari dan sehingga sekarang, saya masih berguru dengan artis veteran dan guru seni lakonan, Fauziah Nawi.

“Ia juga cara saya menghargai mereka. Jangan berasa diri hebat, kita kena tahu di mana kita berada,” katanya, yang dikenali dengan filem Cicakman dan Anak Mami Kembali.

Ditanya sama ada beliau pernah berdepan masalah dengan artis baru, Fasha memberitahu kebanyakan pelakon baru tidak lagi mempunyai masalah disiplin terutama di set penggambaran.

“Pelakon baru sekarang kebanyakannya sudah menepati waktu dan ada kesungguhan untuk belajar dan tiada apa yang perlu ditegur.

“Sebagai pelakon lebih berpengalaman, kita juga perlu beri contoh yang baik dan jangan biar bakat baru itu pula menunggu di set kerana kita kena saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg