Semasa pelakon Singapura, Hisyam Hamid, mula mengorak langkah menceburi bidang lakonan di seberang Tambak, terdapat kata-kata sinis yang singgah di telinganya.
“Kalau kau balik ke Singapura, itu bermakna kau gagal,” kata penyelia Hisyam semasa beliau bertugas sebagai anggota bomba ketika itu dan belum memulakan kerjaya lakonan di Malaysia.
Meskipun ‘tajam’ kedengarannya, kata-kata itu jugalah yang menjadi pembakar semangat bagi Hisyam dalam membina kerjaya cemerlang dalam industri seni Malaysia, tanpa menoleh ke belakang.
Tahun 2025 menandakan titik kemuncak kerjaya Hisyam apabila beliau merangkul piala, Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2025, yang diadakan di Teater Capitol di Stamford Road pada 4 Disember.
Hisyam, 40 tahun, yang ketika itu berada di belakang pentas menanti giliran untuk menyampaikan anugerah bagi satu kategori, terkejut namanya disebut sebagai penerima anugerah berprestij itu.
“Semasa menunggu untuk menyampaikan anugerah, tiba-tiba saya terdengar seakan-akan nama dipanggil.
“Iyalah, masa itu pun, mereka tersalah sebut nama jadi ‘Hisyam Hamad’ pula.
“Di belakang pentas, saya ditemani (pelakon) Datuk Hilal Azman. Beliau berkata, ‘Hisyam, kau menang!’
“Tangan saya sudah mula menggigil. Betul-betul tidak sangka saya akan menang,” kata Hisyam yang dihubungi Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.
Menurut bapa dua anak itu, ini kali pertama beliau menerima anugerah yang dinilai hasil lakonan dan persembahan cemerlang.
Ia diperolehi menerusi filem arahan Abid Hussain, Memori, pada 2025.
Pesaingnya dalam kategori itu pula terdiri daripada barisan pelakon dari Australia, Hong Kong, India, Filipina, Taiwan, Thailand dan juga Datuk Hans Isaac, melalui Korban Musim Kedua, mewakili karya dari Singapura.
“Sebelum ini, saya pernah memenangi beberapa anugerah berdasarkan populariti di Singapura dan juga Malaysia.
“Jauh di sudut hati memang tersimpan harapan untuk menang anugerah berdasarkan hasil persembahan atau lakonan cemerlang.
“Di Malaysia, ada beberapa anugerah yang saya tidak layak dicalonkan, misalnya, Festival Filem Malaysia, yang hanya untuk warga Malaysia atau penduduk tetap sahaja.
“Sebab itu, peluang saya agak terhad. Apabila mendapat tahu saya dicalonkan dalam anugerah ini, di mana saya mewakili Malaysia dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, saya rasa sangat sebak,” akuinya.
Filem Memori menceritakan tentang Dr Hassan (lakonan Datuk Hilal) yang disahkan menghidap penyakit Alzheimer dan tinggal bersendirian.
Apabila terlibat dalam satu kemalangan, anaknya, Imran (Hisyam) terpaksa pulang untuk menjaga bapanya walaupun sudah lama berjauhan kerana mempunyai hubungan yang tegang dengan bapanya.
Konflik mula timbul apabila Imran pulang melawat bapanya bersama isterinya Rina (Diana Danielle), tatkala pasangan itu sedang mengalami krisis rumah tangga dan merancang berpisah.
Ditanya mengenai pengorbanan yang dirasakan berbaloi membawakan watak Imran dalam filem Memori, Hisyam mengakui menguasai teknik lakonan ‘method acting’ yang amat mencabar sehingga memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.
‘Method acting’ merupakan satu teknik lakonan di mana pelakon menyelami emosi, pemikiran, dan pengalaman watak yang dibawa supaya lakonannya lebih menyerlah secara semula jadi dan meyakinkan.
Pada satu fasa hidupnya, pelakon filem, Dendam Pontianak itu memilih menjauhkan diri daripada media sosial dek bimbang gangguan dunia maya menjejas ketenangan jiwa dan mentalnya.
“Memori ini banyak bermain dengan emosi. Ada beberapa babak dalam filem itu yang memiliki persamaan dengan kehidupan saya sendiri.
“Perkara itu turut meninggalkan kesan dalam diri. Namun, jika dilihat dari sudut positifnya, ia membenarkan saya menggunakan pengalaman peribadi untuk lebih menghayati watak Imran.
“Apabila menggunakan ‘method acting’, ia menjejas mental saya sehingga saya perlu ambil masa dan jauhi media sosial selama dua minggu.
“Ini kerana saya tidak mampu tengok hantaran yang menayangkan kebahagiaan keluarga atau pasangan yang harmoni,” jelas beliau.
Ibu bapa Hisyam berpisah sejak beliau berusia sekitar empat tahun, dan beliau dibesarkan oleh ibu tunggal.
Pada 2024, beliau bercerai dengan Rosmawati Hanafi, selepas hampir 20 tahun melayari alam rumah tangga bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang sedang meniti fasa remaja iaitu Nurish Syameliah, 18 tahun, dan Hayden, 16 tahun.
Bercerita lanjut tentang hubungan beliau bersama ayahnya, Hamid Gani, 65 tahun, yang kini menghidap barah tekak, Hisyam mengakui hatinya tersentuh.
Ia berlaku ketika melihat ayahnya kelihatan terharu menonton persembahan beliau dalam filem Memori – ia merupakan detik yang Hisyam sifatkan sebagai cukup indah.
“Hubungan saya dengan ayah tidaklah selalunya indah, lebih-lebih lagi waktu kecil. Biasalah, sebagai anak sulung, banyak perkara yang saya lalui.
“Tapi mungkin itulah cara orang dulu membesarkan anak. Malah, saya bersyukur kerana pengalaman itu yang membentuk diri saya kini.
“Ketika penggambaran berjalan, saya berniat membawa ayah menonton filem ini kerana ia menyingkap tentang hubungan antara anak dengan bapa.
“Tujuan saya bukan untuk membuatnya sedih, tetapi supaya beliau dapat melihat kemampuan saya. Ayah saya, yang pernah menjadi pengarah di Malaysia, tentu faham betapa sukarnya dunia seni di sini.
“Saya sangat terharu apabila melihat beliau menangis tanpa henti sepanjang tayangan perdana filem itu,” ceritanya.
Kejayaan Hisyam dalam filem Memori, termasuk pencapaian Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di AACA 2025, turut memberi peluang baginya untuk mengotakan impian beraksi dalam dua filem aksi akan datang.
“Pada 2025, saya menerima dua tawaran filem aksi. Satu sudah pun selesai, manakala satu lagi masih dalam proses penggambaran.
“Walaupun teruja dengan peluang itu, saya juga dapat rasakan tekanannya, terutama selepas memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik, kerana ramai yang akan menjangkakan persembahan terbaik daripada saya.
“Namun, tekanan itu sebenarnya menjadi dorongan positif untuk saya tampil lebih baik,” ujar Hisyam.
Dengan penganugerahan terkini yang diterima, filem Memori bakal kekal menggamit kenangan buat Hisyam sepanjang kerjaya seninya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg