Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Haryani Othman ‘tak ingat dunia’ apabila khusyuk baca

Koleksi kertas kerja tentang P. Ramlee antara senarai ‘wajib baca’ personaliti hiburan dan niaga di sudut pustaka ‘pop-up’ NLB
Jul 8, 2025 | 5:30 AM
Haryani Othman, NLB
Haryani Othman menganggap membaca sebagai jendela ilmu bagi pelbagai aspek kehidupan dan dorongan untuk membangkitkan kehidupan secara positif dengan minda yang kreatif dan mampu menganalisis. - Foto ihsan HARYANI OTHMAN

Lembaran demi lembaran buku dalam genggamannya dibelek personaliti hiburan dan usahawan, Haryani Othman, dengan penuh rasa teruja.

Menghidu bau halaman buku, baik yang lama di perpustakaan atau yang masih baru dibeli dari gedung buku, pastinya membuatnya khusyuk, bagaikan “tak ingat dunia”.

Kalau sudah namanya ulat buku, tiada apa yang lebih menggembirakan Haryani, 46 tahun, pemilik bersama syarikat penganjur acara MakBesar Pte Ltd, daripada menghabiskan waktu santai di rumah dengan membaca.

Baginya, membaca itu adalah jendela bagi menyelami dunia hiburan, kehidupan di alam fana, perihal perniagaan serta satu wadah menyerap motivasi diri.

Justeru itu, beliau berbesar hati apabila Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) memilihnya sebagai antara 30 personaliti ikonik Singapura yang memberi saranan tentang buku kegemaran mereka atau ‘wajib baca’ menerusi lapan sudut pustaka ‘pop-up’ khusus di merata Singapura.

Tiga buku saranan Haryani dipaparkan di luar gedung Isetan di Shaw House sejak 5 Julai hingga 20 Julai ini.

Keseluruhannya, 90 buku menarik diperkenalkan personaliti yang terpilih bagi projek sempena ulang tahun ke-30 NLB, READ30, yang mengundang orang ramai meneroka semula keseronokan hobi membaca menerusi pengalaman interaktif yang menghidupkan kisah dalam karya yang dibaca pada ruang awam mahupun dalam talian.

Sebanyak lapan sudut pustaka ‘pop-up’ tersedia bagi projek ini.

Selain Shaw House, ION Orchard, The Paper Bunny di Ngee Ann City, ruang di luar Mandarin Gallery, TRIFECTA, The Cathay, Sekolah Seni Singapura (Sota), dan Bynd Artisan di Raffles City, menjadi ruang meninjau buku kegemaran ikon setempat terkenal.

Inisiatif ini juga sebahagian pesta Read! Fest, yang bertujuan mencetus nyala rasa bagi orang ramai membaca.

Antara mereka yang mengusulkan buku kegemaran termasuk pemuzik Shabir Sulthan, penulis Myle Yan Tay, cef dan tokoh pengurusan restoran, Violet Oon, dan pengkaji warisan, Khir Johari.

Haryani menyarankan koleksi kertas kerja P. Ramlee: Seniman Agung Dunia Melayu: Kumpulan Kertas Kerja Simposium Karya Seni Seniman Agung By P. Ramlee, novel Beloved oleh Toni Morrison dan My Sister’s Keeper oleh Jodi Picoult.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Haryani berkata: “Saya sebenarnya sangat gembira dan terharu, malahan saya berterima kasih kepada NLB kerana mengiktiraf saya sebagai seorang pembaca dan ulat buku.

“Ramai tidak tahu saya mempunyai perpustakaan sendiri di rumah dan mempunyai cerpen Melayu yang diterbitkan dalam sebuah buku yang diusahakan NLB.

“Saya pula ikut cara orang lama. Tak suka baca buku elektronik. Mesti nak pegang dan belek buku dan bau halaman buku tersebut, khususnya buku lama!”

Baginya, membaca adalah tonggak ilmu yang memperkasa bahasa, daya kreativiti dan kemahirannya dalam menganalisis isu.

“Suami saya pun gemar manjakan saya dengan membelikan saya buku bagi menambah koleksi buku saya di perpustakaan di rumah,” ujarnya.

Ditanya mengapa mengusulkan tiga buku tersebut, Haryani menjelaskan koleksi kertas kerja P. Ramlee itu membuatnya lebih kagum dengan seniman luar biasa itu.

“Saya malahan pernah hasilkan drama 10 episod dan dokumentari di laman web berdasarkan karya beliau.

“Jadi, kalau anda nak ‘intip’ ke dalam karya P. Ramlee dan kehidupannya, inilah karya yang harus anda baca,” katanya.

Beliau juga akur kadangkala menitiskan air mata apabila membaca karya seperti My Sister’s Keeper, yang mengisahkan tentang remaja 13 tahun, yang menyaman ibu bapanya kerana menguasai tubuhnya sepanjang hayat dengan prosedur perubatan demi membantu kakaknya, Kate, yang berpenyakit leukemia.

“Saya terkesan dengan buku ini. Apakah yang akan dilakukan seorang adik demi kakaknya yang bertarung nyawa dan hampir mati?” ujar Haryani.

Dalam pada itu, beliau payah meletakkan buku Beloved yang dianggap dramatik dan ‘ganas’.

“Ia kisah pasca-Perang Saudara Ohio, di mana seorang wanita yang merupakan bekas hamba abdi menentang segala yang menghantui hidupnya termasuk roh anak perempuannya yang mati dan kembali mengganggu rumahnya,” jelas Haryani.

Beliau kadangkala sedih melihat budaya membaca tidak lagi menjadi basahan anak muda yang lebih sibuk main ‘game’ dan menatap media sosial 24 jam.

“Saya nak tegaskan kepada semua dan ibu bapa agar pupuk minat membaca kerana minda orang yang membaca lebih luas dari yang tidak membaca.

“Malah, membaca boleh meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal. Jadi bila tak membaca, maka minda kita tertutup dan akan ketinggalan dari segi pengetahuan dan kemahiran.

“Kita selalu dengar golongan berusia atau milenial merungut tentang Generasi Z dan Generasi Alpha yang bagaikan tidak menggunakan akal fikiran dalam menangani hal-hal tertentu.

“Saya yakin ada kena mengena dengan sikap kurang membaca,” tambahnya, yang pernah bertugas di NLB selama lima tahun dalam bidang pengurusan program.

Bagi Haryani, seronok untuk meninjau sudut pustaka ‘pop-up’ ini sambil mengambil udara segar di kawasan seperti Orchard Road.

Sambil menukil mutiara kata penulis dan pengilustrasi, Dr. Seuss, beliau berkata:

“Semakin banyak yang anda baca, semakin banyak perkara yang anda ketahui. Lebih banyak yang anda belajar, lebih banyak tempat yang dapat anda terokai.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg