Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fadhli Ramli ada gaya P. Ramlee dalam ‘Tunggu Sekejap’

Aug 10, 2025 | 5:30 AM
Kecintaan Fadhli Ramli, 41 tahun, terhadap seni bermula sejak usia muda, terutama melalui karya klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang terus menjadi inspirasi utamanya hingga ke hari ini.
Kecintaan Fadhli Ramli, 41 tahun, terhadap seni bermula sejak usia muda, terutama melalui karya klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang terus menjadi inspirasi utamanya hingga ke hari ini. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Jika anda berpeluang menonton muzikal, Tunggu Sekejap: The P. Ramlee Suite, terbitan Wild Rice Singapore pada Mei dan Jun lalu, anda pasti terpegun dengan penampilan meyakinkan watak P. Ramlee berkot putih yang begitu mempesona.

Semangat peneraju watak P. Ramlee, Muhammad Fadhli Ramli, 41 tahun, terhadap bidang seni tidak muncul secara tiba-tiba.

Sebaliknya ia tumbuh hasil daripada latar belakang keluarganya yang berdarah seni.

Bapanya seorang pemuzik, ibunya penari, manakala abangnya pula merupakan pelakon teater yang kini bergelar pendidik dalam bidang tersebut.

Fadhli pula dibesarkan dalam sekitaran yang sarat dengan budaya, kreativiti, dan jiwa seni yang begitu mendalam.

Dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM), Fadhli menjelaskan minat seninya mula berputik sejak kecil, khususnya melalui karya agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang kekal menjadi sumber ilham utamanya hingga ke hari ini.

“Dorongan bapa agar saya menyertai pancaragam dan berlakon dalam drama sekolah menjadi titik permulaan saya dalam dunia seni persembahan.

“Minat saya bahkan tidak terhenti di situ, malah, saya terus meneroka bidang tarian bersama kumpulan, Kirana Seni, pada 2003 serta mendalami muzik tradisional Melayu, sekali gus memperluas bakat dan penglibatan saya dalam pelbagai cabang seni,” ceritanya.

Lebih menarik lagi, Fadhli turut menjadi pemain alat genderang hingga kini bersama kumpulan genderang tanah air, Nadi Singapura, selama hampir sedekad.

Penglibatan itu memperkukuh lagi jejak seninya di pentas tempatan dan serantau.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Fadhli aktif menyertai pelbagai acara seni di dalam dan luar negara, sama ada secara solo atau bersama Nadi Singapura.

Dari 2018 hingga 2020, beliau menyertai Program Inkubasi Seni, anjuran Taman Warisan Melayu, yang membuka ruang kepadanya untuk menulis, mengarah dan menghasilkan karya muzik serta naskhah teater.

Malah, beliau turut diberi amanah untuk mengarah acara pembukaan Pesta Budaya Melayu selama dua tahun berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

Pada 2025, satu lagi pencapaian besar diraih apabila beliau dipilih untuk membawa watak ikonik P. Ramlee dalam persembahan muzikal, Tunggu Sekejap, di Teater Ngee Ann Kongsi@Wild Rice di Funan berdekatan stesen MRT City Hall.

Pada 2019, Fadhli juga pernah membawa watak P. Ramlee dalam dwidrama, Dedap, sempena Pesta Budaya Melayu di Auditorium Taman Warisan Melayu (TWM).

Baginya, peluang memegang watak tokoh tersohor seperti P. Ramlee adalah satu penghormatan besar, tetapi wujud tekanan dan tanggungjawab yang tinggi. 

Secara peribadi, baginya, P. Ramlee merupakan insan istimewa yang dianugerahkan dengan pelbagai bakat besar dan sememangnya genius (miliki minda luar biasa), khususnya dalam seni pembikinan filem.

P. Ramlee menggunakan teknik-teknik yang jauh mendahului zamannya. 

“Saya amat bersyukur, meskipun pada awalnya agak gementar.

“Namun, dengan sokongan penuh daripada pengarah, Ivan Heng; dan penggubah muzik, Julian Wong, saya berjaya mengatasi tekanan itu dan membawakan watak tersebut sebaik mungkin, seperti yang diharapkan,” jelasnya yang masih bujang.

Menurut Fadhli, persediaan untuk mendalami watak P. Ramlee, bukanlah sesuatu yang baru bagi dirinya.

Sejak berusia 12 tahun, beliau telah menelaah buku dan menonton filem P. Ramlee sebagai kajian tidak formal.

Menurutnya, gaya dan suara P. Ramlee sudah lama terpahat dalam mindanya.

Namun, pemahaman mendalam terhadap jiwa seniman agung itu tetap bergantung pada naskhah dan pengarahan yang diterima untuk penerbitan tersebut.

“Antara babak yang paling menyentuh hati saya adalah ketika menyampaikan lagu ikonik, Di Manakan Ku Cari Ganti, yang sangat sinonim dengan pemergian P. Ramlee. Ia menjadi saat yang begitu emosi dan mencabar.

“Saya menyanyi bersama orkestra secara langsung, tanpa dibenarkan menangis, dan ini adalah kemahuan pengarah,” jelas Fadhli.

Beliau yakin masih wujud generasi muda yang menghargai sumbangan P. Ramlee.

Namun, penghayatan terhadap legasi itu perlu diperkukuh menerusi pendekatan yang lebih bersifat ilmiah dan positif. 

“Kita harus meletakkan karya P. Ramlee dalam sudut perbincangan berbentuk ilmiah, bukan sekadar kisah sedih di akhir hayat beliau.

“Jika diberi peluang untuk berbicara atau bertemu dengan seniman tersohor ini, saya ingin mendalami falsafah pengkaryaan beliau.

“Kerana bagi saya, ini adalah satu aspek yang sering terlindung di sebalik kehebatan lakonan, nyanyian dan arahan seniman legenda itu,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Naval Base itu.

Fadhli realistik dalam pandangannya terhadap era kegemilangan di Jalan Ampas.

Menurutnya, zaman kemegahan itu telah lama berlalu dan tidak mungkin kembali lagi.

Namun, beliau yakin semangat dan pencapaian era tersebut wajar dijadikan inspirasi. 

“Kita harus memanfaatkan keupayaan dan kebolehan bakat setempat dengan sebaiknya,” ujar Fadhli, sambil menegaskan pentingnya menyesuaikan pendekatan seni dengan zaman dan kemampuan semasa.

Dengan semangat mendalam terhadap seni dan warisan Melayu, Fadhli terus membuktikan bahawa keikhlasan dalam berkarya mampu menyentuh hati masyarakat, dan menghidupkan kembali warisan seni Melayu yang kian pudar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg