Penyanyi muda, Hussain, menyifatkan perjalanan kerjaya seninya sejak bertanding di pentas peraduan realiti Astro, Talk To My Manager 2 (TTMM2), sehingga bergelar Juara Big Stage Rocketfuel bukan mudah termasuk perlu berdepan dengan pelbagai dugaan yang menjadi lumrah anak seni.

Meski mental dan fizikal berasa lelah, Hussain, atau nama sebenarnya, Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23 tahun, berkata beliau akan merindui detik selama 18 minggu berjuang dalam TTMM2 dan Big Stage Rocketfuel.

“Berada di tempat saya sejak bertanding TTMM2 dan Big Stage Rocketfuel sangat penat sehingga rasa nak tidur selama dua hari.

“Kalau boleh, nak tidur kemudian bangun dan tidur semula.

“Perjalanan masuk pertandingan sangat sukar tetapi hendak buat macam mana.

“Semua ini yang akan saya rindukan nanti,” katanya dalam laman Kosmo! Online selepas konsert akhir Big Stage Rocketfuel di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 16 Ogos.

Pada konsert akhir itu, Hussain turut mendendangkan lagu Seniman Menangis, nyanyian asal bapa saudaranya, yang juga Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.

Naib Juara TTMM2 itu, bagaimanapun, enggan fasa berada dalam fasa rehat terlalu lama kerana bersemangat meneruskan kerjaya seni yang baru bermula.

Pada masa sama, Hussain tidak ingin menghampakan keluarga dan peminat tegarnya.

“Saya tidak akan berehat terlalu lama kerana masih muda...selagi ada tenaga memang ingin terus berusaha.

“Lagipun, tujuan utama meneruskan semua ini adalah untuk membanggakan emak, abah dan peminat saya,” ujar Hussain.

Ditanya mengenai perancangan menguruskan wang kemenangan berjumlah RM30,000 ($9,398), beliau merancang untuk melabur kepada peminat yang banyak memberikan sokongan sepanjang TTMM2 dan Big Stage Rocketfuel.

“Benda pertama, saya nak guna duit kemenangan itu untuk anjur sesi ‘meet & greet’ (kenal suai) bersama peminat.

“Memang sudah ada niat untuk buat sejak TTMM2 lagi tetapi belum berkesempatan.

“Saya sudah berhutang budi dengan peminat dan sebab itu mahu anjurkan sesi kenal suai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga sempat mengulas mengenai hantaran media sosialnya iaitu membuat permohonan maaf kepada khalayak sebelum konsert terakhir pada malam itu.

Katanya, perkataan maaf sudah menjadi sebahagian daripada dirinya ketika ini.

“Mengenai ‘Saya minta maaf’ itu, sepertinya sudah menjadi tanda dagang saya.

“Kalau ada yang tidak suka, saya minta maaf sahaja kerana tidak ambil hati, biarlah mereka mahu cakap apa pun.

“Apabila kita dimaafkan, mungkin mereka akan terfikir kembali tentang perbuatan sendiri,” ujarnya lagi.

Anak penyanyi terkenal era 1980-an, Jamilul Hayat, itu meraih kontrak pembangunan kerjaya seni bersama syarikat pengurusan artis dan hiburan, Rocketfuel Entertainment, bernilai sehingga RM100,000, hadiah wang tunai RM30,000, peluang merakam lagu serta piala sumbangan Astro.

Hussain turut berkongsi mengenai proses menghasilkan lagu baharunya iaitu, Takkan Pernah, yang diterbitkan Rocketfuel Network.

“Saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk mempelajari lagu itu sebelum merakamnya dalam tempoh dua hari.

“Sekarang saya ada dua lagu, termasuk satu lagu daripada TTMM2.

“Sebenarnya, lagu itu sudah lama saya dapat, jadi saya adalah masa untuk memasukkan gaya nyanyian saya sendiri,” kata Hussain.

Sementara itu, pasangan adik-beradik, Adam Malek, 30 tahun, dan Nazmie Malek, 25 tahun, yang bergabung sebagai kumpulan duo Adam Nazmie, menamatkan saingan sebagai Naib Juara dengan markah 60.69 peratus sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000.

Penyanyi kelahiran Labuan, Farranisha Shazwany Mohd Faizul atau Ranisha, 26 tahun, pula melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan markah 60.69 peratus dan menerima wang tunai RM10,000.

Kededuanya turut menerima sebuah lagu serta peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran bernilai RM50,000 daripada Rocketfuel Entertainment, selain piala.

Danny, 24 tahun, meraih tempat keempat dengan markah 57.09 peratus dan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta piala.

Tempat kelima menjadi milik Yad-Z, 28 tahun, dengan markah 54.97 peratus, manakala Danial Kifli, 23 tahun, menduduki tempat keenam dengan markah 53.37 peratus.

Yad-Z membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala Danial Kifli menerima wang tunai RM3,000 serta piala.