Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu anak dikata tak comel: Fattah enggan ibu difitnah

Aug 13, 2025 | 8:37 AM
Fattah Amin, Fatima, anak, fitnah, netizen
Fattah Amin menasihati ibunya agar tidak membaca kata-kata netizen yang menyebar fitnah berhubung isu ibunya didakwa pernah memanggil anaknya, Fatima, ‘tidak comel dan tidak pandai’. - Foto INSTAGRAM FATTAH AMIN

Kekesalan dirasakan pelakon terkenal, Fattah Amin, apabila isu membabitkan ibunya, Azizah Abdul Ghani, dan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, tular hingga mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.

Fattah, atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34 tahun, berkata dakwaan kononnya ibunya menyifatkan Fatima sebagai tidak comel dan tidak pandai bukan sahaja tidak benar, malah mengundang kesan emosi kepada mereka sekeluarga.

“Sudah tentu ibu saya sedih. Tapi saya pesan pada ibu, tak perlu baca atau dengar benda-benda begini kerana orang luar tidak tahu cerita sebenar.

“Orang boleh buat macam-macam andaian, boleh bercakap apa saja, bahkan memfitnah. Tapi kalau perkara itu tidak betul, kita jangan terasa atau terkesan,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis pengumuman Duta baru jenama fesyen Muslimah di Malaysia, Amber, pada 12 Ogos.

Terdahulu, tular video memaparkan Fatima meluahkan kepada ibunya yang juga pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin, bahawa neneknya pernah menggelarnya tidak comel dan tidak pandai.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata hubungan antara Fatima dengan neneknya berada dalam keadaan baik.

“Fatima okey saja, tiada reaksi negatif pun. Jadi, saya mohon orang ramai jangan keluarkan komen yang tidak wajar atau membuat andaian yang boleh menimbulkan fitnah.

“Lebih baik kita tulis yang baik-baik, komen yang baik-baik dan cakap perkara yang baik-baik. Jangan timbulkan rasa benci antara satu sama lain.

“Setakat ini, hubungan saya dengan anak, ‘mommy’ dia dan neneknya baik saja. Kami masih berjumpa dan keluar bersama,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Fattah berkata beliau memilih untuk terus memberi tumpuan kepada kerjaya seni walaupun terpaksa berdepan dengan gosip dan cerita tidak benar.

“Perkara sebegini bukan baru. Sejak mula masuk industri lagi, sudah macam-macam cerita timbul. Fokus saya tetap pada kerja dan keluarga.

“Selebihnya, kalau ada orang cuba buat perkara yang tidak baik atau menyebarkan cerita bukan-bukan, saya serahkan kepada Allah.

“Ini lumrah sebagai anak seni. Bila dikenali, orang bebas berkata apa saja. Yang penting, kita kena sentiasa bersedia, bersikap terbuka dan menunjukkan contoh yang baik kepada peminat,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg