Sejak mula mencipta nama dengan menjuarai pertandingan nyanyian Meganite 2015 sedekad yang lalu, bakat Singapura, Mohamed Shariff Jupri, atau nama pentasnya, Sharyff, tidak pernah menduga dapat menebarkan sayapnya ke seberang Tambak.
Beliau hanya fokus pada tugasnya sebagai jururawat selama 11 tahun dalam usaha mencari rezeki buat keluarga kecilnya.
Bidang nyanyian pula hanyalah nyala rasa yang diteruskan sejak mula mengenali nikmat menghiburkan orang ramai pada usia lima tahun, didorong oleh hobi bapanya menyanyi di acara kelab masyarakat.
Bagaimanapun, selepas merakamkan tiga lagu di Singapura, iaitu Cintaku Yang Sepi, Sungguh, dan Aku Pilu, Sharyff, 33 tahun, disarankan guru vokalnya, yang dikenali dengan panggilan Cikgu Diwi Aishah, untuk mencuba pasaran muzik di Malaysia, melalui kerjasama dengan juara Gegar Vaganza 6 (GV6), Naqiu.
Maka, terhasillah lagu Rindu Tak Berhujung, yang dihasilkan Naqiu bersama karyawan muzik dari seberang, Wahi, pada 2024.
Kini, Sharyff, bapa tiga anak kecil berusia antara lima dengan lapan tahun, sibuk menjalani promosi bagi lagu berkenaan di stesen radio Malaysia.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Sharyff yang bertugas sebagai jururawat dialisis di Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), berkata:
“Saya awalnya hanya suka-suka sahaja menyanyi tetapi apabila menjuarai peraduan Meganite 2015 dan menjadi naib juara ataupun mendapat tempat ketiga dalam beberapa lagi peraduan yang lain seperti Bikers Idol, Risingstar, BBC Suara Berbakat dan Joo Chiat Superstar@JCC, saya mula memikirkan bidang nyanyian secara serius.
“Saya pernah ditawarkan kontrak rakaman selama lima tahun oleh label rakaman di Singapura sebagai hadiah peraduan Meganite 2015 tetapi tidak meneruskannya kerana enggan terikat dan mahu bebas berkarya.
“Rezeki pula muncul selepas Cikgu Diwi Aishah yang mengajar saya teknik vokal selama lebih setahun mengusulkan agar saya cuba nasib di Malaysia.
“Beliau ada rangkaian kenalan di seberang. Dapat lagu pula daripada Naqiu dan Wahi yang berpengalaman.
“Alhamdulillah, sejauh ini, baik-baik sahaja.”
Menurutnya, Rindu Tak Berhujung itu cukup bermakna baginya secara peribadi kerana ia mengingatkannya kepada arwah ibu saudaranya yang meninggal dunia sekitar tiga tahun lalu kerana jangkitan paru-paru dan pangkal rahim.
“Sewaktu kecil dan ketika meniti usia remaja, saya amat rapat dengan mak cik yang saya panggil Cik Dah.
“Setelah saya bekerja sebagai jururawat dan semakin sibuk, manakala beliau yang menetap di Melaka juga sibuk dengan komitmen peribadi, kami jarang berjumpa.
“Malahan, pada detik akhir hayatnya, saya sebak kerana tidak dapat bertemunya yang tinggal di rumah nenek di Johor Bahru.
“Lagu Rindu Tak Berhujung ini mengisahkan kerinduan yang tiada titik noktahnya.
“Apabila seseorang yang disayangi masih ada, kita tak rasa kerinduan itu.
“Hinggalah detik kita kehilangan orang berkenaan, macam saya hilang Cik Dah, barulah saya terasa kerinduan yang amat perit,” cerita Sharyff.
Menurutnya, mak ciknya itu sentiasa menjadi teman penghibur yang akan memenuhi permintaannya, misalnya membelikan cakera padat video atau digital filem terkini dari seberang Tambak.
“Kalau saya sakit, Mak Dah datang dengan hadiah-hadiahnya untuk menceriakan saya. Beliau memang baik hati,” katanya lagi dengan nada sebak.
Sharyff juga menghormati sikap ibu saudaranya yang sentiasa positif walaupun merahsiakan tentang penyakitnya kerana enggan menyusahkan sesiapa.
“Sebagai seorang jururawat, saya dapat memahami keadaan pesakit yang perlu teruskan perjuangan hidup walaupun menderita dengan penyakit mereka.
“Di Pusat Dialisis NKF (Boon Lay), saya temui pesakit yang perlukan semangat untuk terus hidup sebab penyakit ginjal ini bukan seperti penyakit lain yang mudah mendapatkan penyembuhan.
“Agak memilukan dan kadangkala memenatkan untuk mereka jalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
“Kalau pun mereka jalani pemindahan ginjal, tidak semua ginjal yang diterima serasi pada tubuh.
“Kecekalan amat perlu dan saya berusaha memberikan mereka sinar kebahagiaan menerusi kata-kata dorongan,” katanya lagi.
Menceriakan orang merupakan persamaan yang Sharyff dapati dalam kerjaya sebagai penyanyi dan jururawat.
“Saya rasakan ia adalah amanah murni untuk membahagiakan orang lain,” ujarnya.
Ditanya mengenai promosi di stesen radio Malaysia yang dihadirinya, Sharyff amat terharu deejay di seberang menyambutnya dengan baik walaupun beliau bukan artis Malaysia yang dikenali.
“Mulanya, saya gementar juga tetapi deejay di sana semuanya ramah dan memberi kata-kata dorongan.
“Saya akan terus membaiki mutu suara saya dengan meneruskan latihan vokal agar tidak terhenti momentum mengasah bakat saya.
“Saya lihat penyanyi di Malaysia yang ada nama pun termasuk yang veteran pun rajin hadiri kelas vokal.
“Saya teladani Khai Bahar dan Ara Johari yang gigih memperbaiki kawalan suara mereka,” jelasnya.
Beliau menganggap isterinya, Siti Nurnashuha Hudri, 27 tahun, pekerja pentadbiran, sebagai tulang belakang dalam dirinya meneruskan minat menyanyi.
“Isteri saya selalu ada dalam mendorong saya, baik bagi meneruskan kerjaya sebagai jururawat ataupun penyanyi.
“Saya juga mempunyai tiga anak perempuan yang comel, dengan si bongsu pun nampaknya suka menyanyi.
“Sebagai ayah muda kepada tiga puteri, saya pastikan saya sentiasa meluangkan masa bermutu dengan mereka agar mereka rasa disayangi.
“Zaman sekarang ini, bimbang juga baca tentang gejala-gejala membabitkan anak-anak perempuan, yang saya harap dapat dihindari,” kongsi Sharyff.
Ditanya mengenai kata-kata nasihat untuk bakat Singapura yang ingin mencuba nasib di Malaysia, beliau berkata: “Jangan mudah patah semangat kerana tiada yang mudah.
“Pasti ada dugaan tetapi pengalaman jatuh bangun itu akan mendewasakan kita. Kalau nak, seribu daya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg