Di sebalik pengakuannya berdepan perasaan sunyi sejak kebelakangan ini, pelakon Malaysia, Kamal Adli, menegaskan keadaan itu bukan petanda dirinya mengalami kemurungan atau kecelaruan keresahan.

Kamal, atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40 tahun, berkata pengalaman itu adalah sesuatu yang baharu dalam hidupnya.

Beliau menambah, ia sukar digambarkan apabila perasaan berkenaan hadir secara tiba-tiba, ketika bersendirian di rumah pada lewat malam hingga mengganggu jiwanya.

“Perasaan itu bukan sekadar sunyi. Hari itu sahaja, saya rasa seperti diserang sesuatu.

“Bagaimanapun, ia bukan serangan panik, atau rasa resah. Saya tidak mengalami keresahan melampau.

“Sekarang saya tinggal bersendirian di rumah, jadi perasaan itu datang secara tiba-tiba, dan saya rasa sunyi yang sangat teruk.

“Ketika itu, sudah lewat malam, kira-kira 1 pagi.

“Tiada siapa yang boleh saya ajak berbual dan saya rasa terlalu sunyi,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Terdahulu, Kamal mencuri perhatian di wadah Threads apabila mengakui berdepan perasaan kosong yang hadir secara tiba-tiba, walaupun sudah berusaha melakukan pelbagai cara untuk menggembirakan hati.

Beliau turut akur pengalaman itu membuatkan dirinya tertanya-tanya, apa lagi yang boleh dilakukannya, selain bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah.

Pelakon filem, Takluk: Lahad Datu, itu berkata perkongsiannya di Threads dibuat sekadar untuk mendapatkan pandangan daripada individu yang mungkin pernah melalui pengalaman serupa.

Namun begitu, Kamal tidak menyangka perkongsian itu mengundang pelbagai respons, sehingga ada yang membuat andaian mengenai keadaan dirinya.

Ia termasuk masalah bersama keluarga atau hubungan dengan yang Maha Esa.

“Ada yang menyarankan saya keluar berjumpa keluarga, tetapi isunya bukan keluarga, kerana saya memang selalu berjumpa mereka.

“Ada juga yang mengaitkannya dengan hubungan saya dengan Allah. Bukan juga.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan itu,” katanya lagi, yang pernah berkahwin dengan pelakon, Uqasha Senrose.

Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada 12 Januari.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 di sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia dua tahun.

Bagaimanapun, pelakon asal Pahang itu, menghargai setiap pandangan yang diberikan termasuk daripada golongan pakar dan agamawan kerana sedikit sebanyak membantu dirinya memahami keadaan yang dilalui.

“Ramai memberikan pandangan masing-masing dan saya seronok baca setiap satu daripadanya (hantaran di Threads).

“Ada yang saya rasa sangat dekat dengan apa yang saya alami, malah sedikit demi sedikit membuatkan saya lebih tenang,” ujar Kamal.

Bagi mengelakkan perasaan sama kembali menghantuinya, Kamal memilih untuk meluangkan lebih banyak masa bersama Hawra.

Di samping itu, mengulas sama ada pengalaman itu menjadi petanda kesediaan untuk membuka hati dan mencari teman hidup baharu, Kamal mengakui perkara itu bukan keutamaannya buat masa ini.

“Buat masa ini, saya belum terfikir ke arah itu. Belum sampai masanya lagi.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan apa yang menggembirakan saya semuanya ada pada anak saya.

“Saya juga tidak selalu dapat meluangkan masa bersamanya kerana komitmen kerja.

“Jadi apabila berpeluang bertemu, saya akan memberikan sepenuh perhatian kepadanya dan tidak memegang telefon,” kongsi Kamal.