Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes hutang: Fazura enggan ulas, anggap diri, syarikat entiti berbeza

Jun 21, 2025 | 1:27 PM
Fazura, saman, syarikat tudung, hutang
Fazura tidak dapat mengulas lanjut berkenaan isu saman membabitkan syarikat miliknya kerana ia merupakan urusan perniagaan yang bersifat sulit dan kini berada dalam perhatian pihak peguam. - Foto INSTAGRAM FAZURA

Selepas sekian lama mendiamkan diri mengenai isu saman membabitkan syarikat miliknya, Pink Fate Sdn Bhd, pelakon dan usahawan terkenal, Fazura akhirnya tampil memberi penjelasan ringkas, namun tegas.

Menurut Fazura, atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, beliau tidak dapat mengulas lanjut berkenaan isu tersebut kerana ia merupakan urusan perniagaan yang bersifat sulit dan kini berada dalam perhatian pihak peguam.

“Sejujurnya, tiada apa yang saya boleh jelaskan secara terperinci. Sebab kita kena faham, ini melibatkan dua entiti yang berbeza - Fazura dan juga syarikat.

“Jadi, memang saya tidak boleh nak komen banyak tentang syarikat dan juga apa sahaja yang berlaku dalam syarikat tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran video muzik lagunya, Luar Biasa, di Aurum TRX, Kuala Lumpur pada 19 Jun.

Fazura berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi dan dakwaan yang timbul sebelum ini, termasuk laporan bahawa syarikatnya berdepan tindakan undang-undang melibatkan saman bernilai RM4.65 ($1.4 juta) oleh sebuah pembekal tudung, lapor Sinar Harian.

Jelas Fazura, beliau memahami bahawa dalam dunia perniagaan pasti ada cabaran dan itu adalah sebahagian daripada lumrah yang perlu ditempuh oleh mana-mana usahawan.

“Harapan saya, mungkin orang di luar sana boleh faham bahawa Fazura dan syarikat itu dua entiti yang berbeza. Inilah lumrah, cabaran-cabaran biasa yang dilalui oleh seorang usahawan.

“Saya tahu, perniagaan saya bukannya kecil. Saya percaya semua usahawan di luar sana, sama ada lelaki mahupun wanita, faham tentang cabaran-cabaran yang dihadapi apabila kita menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa apa-apa isu berkaitan hutang atau urusan dalaman syarikat tidak wajar dipersoalkan secara terbuka kerana ia bukan urusan peribadi, sebaliknya urusan korporat yang memerlukan ketelitian undang-undang.

“Berkenaan dengan apa yang sedang dihadapi oleh syarikat sekarang, saya tidak boleh mengulas. Sama ada melibatkan hutang atau apa pun, saya tak boleh kongsikan sebab perkara itu bersifat sulit dan telah pun diserahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya,” jelas Fazura lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan syarikat milik Fazura, Pink Fate Sdn Bhd, didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada syarikat pengilang tudung, Obor Holding Sdn Bhd (Obor Holding), yang juga pemilik kilang Feline Malaysia.

Obor Holding mendakwa syarikat tersebut hanya membayar RM2.68 juta daripada keseluruhan nilai tudung sebanyak RM7.3 juta yang dibekalkan sejak Jun 2022.

Susulan kegagalan mendapatkan bayaran penuh, Obor Holding dilaporkan telah memfailkan tuntutan mengikut proses undang-undang selepas mendakwa syarikat Pink Fate enggan memberikan kerjasama.

Sementara itu, Fazura tampil dengan single terbarunya berjudul Luar Biasa, sebuah karya yang menyuntik semangat dan harapan, dengan membawa mesej kekuatan serta kebangkitan diri, hasil kerjasama Fazura Studios dan Universal Music Malaysia.

Dicipta sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Indonesia, Ade Govinda, kolaborasi ini tercetus selepas sesi perbincangan ringkas secara dalam talian yang membuka ruang kepada proses kreatif dalam tempoh kurang seminggu.

“Melalui sesi Zoom, saya terus jelaskan konsep lagu yang saya inginkan. Saya nak lagu yang boleh beri semangat, bukan tentang putus cinta. Sesuatu yang sesuai didengar waktu pagi ketika memandu dan boleh memberi inspirasi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg