Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Kilauan Emas Selebriti’ serlah bakat terpendam artis mapan
Peserta tampil dengan kejutan dan gelagat mencuit hati pada minggu pertama
Jangan main-main dengan selebriti ‘otai’!
Usia dan pengalaman ternyata bukan penghalang untuk barisan selebriti veteran mencuba sesuatu di luar kebiasaan menerusi program realiti terbaharu anjuran Astro, Kilauan Emas Selebriti, yang memulakan siaran pada 22 Ogos di saluran Astro Prima, dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tidak dinafikan, saya cukup terhibur melihat mereka yang selama ini lebih dikenali sebagai pelakon atau pengacara, kini bertukar ‘watak’ menjadi penyanyi pula di atas pentas.
Memang tepat dengan tema minggu pertama, Try Test Tengok, kerana sekali ‘test’, rupa-rupanya banyak juga kejutan yang disimpan barisan ‘otai’ ini.
Siapa sangka, Zila Bakarin, 51 tahun, yang selama ini cukup sinonim dengan watak antagonis yang meninggalkan kesan kepada penonton mampu tampil begitu bersahaja menghiburkan menerusi lagu berentak joget, Joget Sayang Disayang, nyanyian asal Anita Sarawak?
Lebih mencuit hati apabila beliau menyelitkan ‘ad-lib’ (dialog yang ditokok tambah secara spontan) berbentuk jenaka, termasuk nasihat buat anak dara agar lebih berhati-hati memilih pasangan dalam persembahan berkenaan.
Pelakon mapan, Fazlina Ahmad Daud, 51 tahun, pula tidak kalah menghiburkan.
Fazlina, anak Allahyarham Datuk Ahmad Daud Mohamad Hashim, dan primadona, Allahyarhamha Datin Saadiah (atau nama sebenarnya, Satya Baharom), cukup mempesona membawakan lagu arwah bapanya, Si Manis 17 dan Senyummu.
Meskipun tempo agar lari sedikit pada awal persembahan lagu, bagaimanapun, tingkahnya yang ligat menari dan sesekali berseloroh dengan juri berjaya menghidupkan lagi persembahan.
Lebih menggamit kenangan manis, beliau turut menyarungkan sut berhias sulaman manik keemasan yang pernah menjadi milik arwah bapanya.
Menurutnya, penampilan itu menjadi “hadiah buat semua yang meminati arwah ayah dan mak”.
Kalau bab konsep menarik yang lengkap dengan unsur lakonan pada awal persembahan, saya rasa ‘juaranya’ sudah tentu Datuk Ahmad Tamimi Siregar, 76 tahun.
Persembahannya dibuka dengan deringan telefon, disusuli babak anak yang seakan-akan menegur bapanya agar tidak terus-menerus menelefon hanya kerana mahu melepaskan rindu.
Seketika kedengaran sorakan penonton memenuhi ruang, mungkin terkesan dengan teguran yang cukup ‘pedas’ itu.
Kemudian, suara serak-serak basah Ahmad Tamimi yang sarat emosi cukup menusuk kalbu.
Bijak caranya membina suasana pilu sejak awal persembahan, sebelum diteruskan dengan lontaran vokal penuh penghayatan yang menjadikan keseluruhan persembahan lagu, Penantian, dendangan asal kumpulan Harmoni, begitu menyentuh perasaan.
Di samping itu, saya turut menanti-nantikan persembahan, Datuk Jalaluddin Hassan, 72 tahun.
Seperti pernah dikongsikan penyanyi tempatan, Shazza, dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Jalaluddin memang gemar menyanyi ketika berada di set penggambaran, Mimpi Raya, telefilem Singapura yang menggandingkan mereka sempena Aidilfitri lalu.
Nampaknya memang betul, minat menyanyi di set penggambaran bukan sekadar suka-suka sahaja.
Di pentas Kilauan Emas Selebriti, Jalaluddin membuktikan beliau memang punya ‘jiwa penyanyi’, menerusi lagu, Biarlah Bulan Bicara (Broery Marantika).
Seorang pengguna YouTube dengan nama pengguna @Alcatraz625, turut memuji persembahannya dengan menyifatkan suara Jalaluddin memukau, selain kebolehannya bercerita menerusi lagu dengan penuh keyakinan.
Saya turut terpukau dengan kemerduan suara pelakon veteran, Rahhim Omar, 66 tahun, ketika mendendangkan, Istana Menanti (Rahim Maarof).
Apabila bait pertama, ‘Langkah ini terasa terhenti-henti’, alunan vibratonya (getaran suara) sudah cukup sedap didengar, sebelum persembahan itu berkembang dengan susunan dan peningkatan emosi yang cukup kemas.
Tidak kurang hebatnya, Amyza Aznan, 50 tahun, turut menyerlah menerusi persembahan Kau Racun Hidupku (Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini).
Keunikan suara serak-serak basahnya begitu memikat, ditambah kawalan vokal yang kemas serta getaran suara yang tepat pada penghujung setiap bait lirik yang dilantunkan.
Kalau mahu memilih persembahan paling bertenaga malam itu, Khaty Azean, 60 tahun, antara yang paling mencuri tumpuan saya menerusi lagu Singkong dan Keju (Bill & Brod).
Lincah menguasai pentas dalam busana bercorak ‘polka dot’ yang sedang tular kini, Khaty tampil penuh bertenaga, ditambah lontaran suara yang bulat dan jelas sehingga membuatkan persembahannya cukup ‘menjadi’.
Bagi pelakon Rashdan Baba, 57 tahun, persembahan Kehilangan (Firman Siagian), memperlihatkan kesungguhannya mencabar kemampuan vokal menerusi lagu yang menuntut penghayatan dan lontaran suara bernada tinggi.
Pengacara berpengalaman, Maria Tunku Sabri, 56 tahun, pula membawa keceriaan tersendiri menerusi lagu klasik Malam Pesta Muda Mudi (Allahyarhamha Puan Sri Saloma).
Sesuai dengan personalitinya yang ceria, Maria bijak menggunakan pengalaman sebagai penghibur untuk menceriakan pentas, meskipun dari sudut suara mungkin tidak sebaik yang lain.
Bagi saya, lagu rancak menuntut persediaan dan stamina yang lebih mantap, terutama bagi mereka yang masih kurang berpengalaman dalam bidang nyanyian.
Sementara itu, pelakon veteran, Mubarak Majid, 70 tahun, memilih pendekatan lebih bersahaja menerusi Hanya Nyanyian (S. Effendi).
Walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki, khususnya dari segi vokal dan persembahan, jiwa serta pengalaman seni yang dimiliki tetap memberi warna tersendiri di pentas.
Namun begitu, perjalanan masih panjang kerana ini baru minggu pertama.
Jika minggu pembukaan sahaja sudah menyajikan pelbagai kejutan, gelagat mencuit hati dan bakat terpendam barisan ‘otai’ ini, saya sendiri tidak sabar menantikan apa lagi yang bakal mereka tampilkan pada minggu mendatang.
Program realiti, ‘Kilauan Emas Selebriti’, boleh ditonton di saluran Astro Prima, setiap Sabtu mulai 9 malam.
