Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah benar alumni ITE cetus inspirasi di pentas muzikal

Menerusi penjiwaan lakonan watak Fandi Ahmad dan Siti K, pelajar ITE beri harapan agar penonton tidak kecewa tebar impian
Jul 17, 2025 | 5:30 AM
ITE Kolej Central, pentas, muzikal
Penuntut Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Mohammed Irfan Mohammed Rizal, menjayakan watak legenda bola sepak negara, Fandi Ahmad, dalam satu muzikal yang dipersembahkan ITE pada 11 Julai lalu, di Auditorium Tay Eng Soon, ITE Kolej Central di Ang Mo Kio. - Foto LIM CHI LING

‘Bersenang-senanglah, kerana hari ini yang akan kita rindukan – di hari nanti sebuah kisah klasik untuk masa depan.’

Begitulah bait lirik lagu berjudul, Sebuah Kisah Klasik oleh kumpulan Sheila On 7, yang tepat menggambarkan pengalaman saya menonton sebuah muzikal yang dipentaskan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada 11 Julai lalu, di Auditorium Tay Eng Soon, ITE Kolej Central di Ang Mo Kio.

Selepas menonton muzikal berjudul, Beyond The Classroom, atau Di Luar Bilik Darjah itu, saya seakan dibawa melintasi kembara masa ketika muda remaja.

Apabila melihat rombongan pelajar ITE, siap mengenakan seragam sekolah sambil menari-nari atas pentas, rindu terhadap zaman persekolahan semakin menebal dalam diri.

Namun, apa yang lebih mengagumkan adalah nyala rasa dan semangat yang jelas terpancar dalam setiap diri pelajar ITE yang terlibat dalam muzikal berkenaan.

Ia menampilkan persembahan yang benar-benar mencetus inspirasi hadirin.

Sebagai sebuah teater muzikal arahan Dwayne Lau, pementasan ini turut diiringi ‘live’ band dan diwarnai dengan persembahan muzik kumpulan ITE Concert Band dan nyanyian ITE Show Choir.

Naskhah pementasan muzikal, hasil tulisan Julian Wong, ini juga terbahagi kepada empat babak yang mengikuti perjalanan hidup tiga alumni ITE – legenda bola sepak negara, Fandi Ahmad; peguam, Kawal Pal Singh; dan pelakon teater, Siti Khalijah Zainal.

Termasuk dalam senarai kisah benar ini ialah ‘Siew Lan’, iaitu watak rekaan yang mewakili pensyarah yang dulunya pelajar ITE, namun telah kembali ke institusi itu sebagai tenaga pengajar.

Kisah mereka merentasi detik awal semasa menuntut di ITE sehingga berada di puncak kejayaan hari ini.

Dalam pementasan muzikal Beyond the Classroom, pelajar ITE memperlihatkan bukan sahaja usaha dan kesungguhan mereka, malah bakat lakonan yang mengesankan, menjadikan persembahan itu begitu meyakinkan dan profesional.

Pelajar, Mohammed Irfan Mohammed Rizal, yang berlakon sebagai Fandi dalam babak pertama berjudul Penghormatan dan Pengorbanan cukup menarik perhatian penonton.

Sebagai Fandi waktu muda belia, Irfan mencerminkan sisi beliau yang bersahaja dan menyimpan angan-angan tinggi untuk menjadi pemain bola sepak profesional, dengan harapan dapat bermain di luar negara. 

Berlatarkan kolong blok pada 1970-an, babak itu dibuka dengan dendangan lagu, Rilek Brader, ciptaan Art Fazil, dan kemudian menampilkan kelibat Irfan yang mahir mengimbangi bola.

Meskipun tidak lahir dalam era kegemilangan Fandi, Irfan berkongsi kepada Berita Harian (BH) bahawa beliau seringkali mendengar kisah perjuangan pemain bola sepak negara itu melalui bapanya.

Mohammed Irfan Mohammed Rizal bersama legenda bola sepak negara Fandi Ahmad, sewaktu pementasan muzikal ‘Beyond The Classroom’ pada 11 Julai, yang berlangsung di Auditorium Tay Eng Soon, ITE Kolej Central di Ang Mo Kio.
Mohammed Irfan Mohammed Rizal bersama legenda bola sepak negara Fandi Ahmad, sewaktu pementasan muzikal ‘Beyond The Classroom’ pada 11 Julai, yang berlangsung di Auditorium Tay Eng Soon, ITE Kolej Central di Ang Mo Kio. - Foto BRANDON LIM

Apa yang pasti, saya sangat kagum dengan cara anak muda ini memaparkan watak Fandi dengan baik – dari segi caranya bermain bola hinggalah penghayatan emosi yang mendalam – terutamanya ketika berdepan dengan keraguan orang sekeliling terhadap impiannya untuk menjadi pemain bola sepak.

Selain itu, pementasan muzikal ini menjadi detik penuh makna buat Nurjannah Qurratul’Farhaien Mohamad Faizal, yang memainkan watak Siti Khalijah Zainal atau lebih dikenali sebagai Siti K.  

Mengenali Siti K sebagai pelakon berkaliber dengan kelakuan yang candi dan penuh jenaka atas pentas, saya berharap Nurjannah dapat mengekalkan sifat itu.

Boleh dikatakan beliau berjaya mencuit hati hadirin dengan gelajat lucu serta vokal suara yang merdu.

Bonusnya pula, beliau turut memperlihatkan sisi peribadi Siti K yang ramai tidak ketahui.

Dalam babak ketiga iaitu, Ketabahan, Nurjannah memperlihatkan sisi Siti K sewaktu muda belia yang pemalu dan kurang percaya diri.

Babak itu menceritakan penampilan pertama Siti K sebagai Hermia dalam muzikal sulung ITE yang diinspirasikan daripada karya Shakespeare, A Midsummer Night’s Dream, yang turut menjadi titik permulaan minatnya terhadap dunia teater.

Menerusi penceritaan dalam babak itu, hubungan erat antara Siti K dan jurulatihnya, Tony Quek (lakonan Ryan Thanakan Yong), menjadi titik tolak yang menggerakkan langkah awal beliau ke dunia lakonan profesional.

Gandingan bermakna antara Nurjannah Qurratul’Farhaien Mohamad Faizal (kiri) sebagai pelakon teater Siti Khalijah Zainal dan Ryan Thanakan Yong sebagai Tony Quek berjaya menonjolkan hubungan penting yang membentuk perjalanan awal kerjaya seni Siti Khalijah.
Gandingan bermakna antara Nurjannah Qurratul’Farhaien Mohamad Faizal (kiri) sebagai pelakon teater Siti Khalijah Zainal dan Ryan Thanakan Yong sebagai Tony Quek berjaya menonjolkan hubungan penting yang membentuk perjalanan awal kerjaya seni Siti Khalijah. - Foto ANNETTE CHAN

Menjengah ke laman Instagram Siti K, beliau turut menyifatkan muzikal ini sebagai ‘sebuah pementasan yang indah dan penuh jiwa’, bukan sahaja kerana mutu pementasannya, malah kerana beliau menyaksikan sendiri ‘bakat tulen (para pelakon), yang memberikan usaha penuh keikhlasan’ di atas pentas.

Bagaimanapun, dalam setiap persembahan yang dipentaskan, pasti ada kekurangan yang boleh dibaiki.

Selain mempertingkatkan tenaga pada gerakan dan lakonan dalam muzikal ini, set reka bentuk pentas yang lebih indah serta penggunaan latar yang inovatif boleh memperkukuh pengalaman penonton, menjadikan keseluruhan persembahan lebih hidup dan mengasyikkan.

Saya tetap memuji usaha ITE dalam melahirkan sebuah karya pementasan yang jujur dan penuh makna, sambil menyuntik harapan dan semangat baru dalam pelajar ITE.

Ini sekali gus membasmi stigma masyarakat terhadap pelajar ITE yang dianggap ‘mundur’ atau tak boleh berjaya dalam kehidupan.

Setiap individu pasti memerlukan dorongan dan sokongan daripada orang sekeliling, baik ibu bapa, guru mahupun masyarakat, untuk menyedari potensi masing-masing dan mencapai kejayaan.

Ibarat pepatah yang mengatakan, ‘biar lambat asalkan selamat’, saya percaya bahawa kejayaan milik mereka yang sabar, tekun dan tidak gentar menghadapi kegagalan.

Setinggi penghargaan kepada pasukan ITE, Pusat Muzik dan Seni (CeMTA) dan setiap individu yang terlibat dalam muzikal ini atas persembahan yang menghiburkan dan berhasil memberi inspirasi kepada penonton.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg