Apabila diberi peluang melakonkan watak legenda bola sepak, Fandi Ahmad, Mohammed Irfan Mohammed Rizal, 21 tahun, menyifatkan ia sebagai pengalaman yang cukup berharga, ibarat bulan jatuh ke riba.
Irfan, yang kini menuntut dalam jurusan Nitec Lanjutan dalam Pembikinan Filem (Sinematografi) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, meluahkan rasa teruja membawa watak sang idola dalam pementasan muzikal ‘Beyond The Classroom’ atau Di Luar Bilik Darjah, anjuran ITE.
Ketika menjalani proses uji bakat, Irfan mengakui pernah meragui kebolehannya, apatah lagi dirinya lebih dikenali sebagai seorang ‘beatboxer’ (perentak muzik).
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) pada 3 Julai menerusi Zoom, Irfan berkata:
“Saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana diberi peluang menyelami kisah hidup alumni seperti Fandi Ahmad.
“Sejujurnya, saya tidak pernah membawa watak berdasarkan kisah sebenar sebelum ini.
“Saya sudah berkecimpung dalam seni beatbox sejak 2019 dan pernah terlibat dalam program seperti Vocal Xchange (konsert tahunan melibatkan kumpulan vokal daripada ketiga-tiga Kolej ITE, Barat, Central dan Timur) beberapa kali sebelum ini.
“Namun, pementasan kali ini saya anggap sebagai kelainan sebelum saya menyertai Perkhidmatan Negara (NS).”
Antara 11 dengan 12 Julai, ITE bakal mementaskan sebuah muzikal bertajuk, ‘Beyond The Classroom’, di Auditorium Tay Eng Soon, di Ibu Pejabat ITE di Ang Mo Kio.
Berpaksikan tema SG60, ‘Membina Singapura Kita Bersama’, muzikal arahan Dwayne Lau ini meraikan kuasa transformatif pendidikan ITE berdasarkan pengalaman sebenar alumni institusi itu termasuk legenda bola sepak negara, Fandi, yang bakal dilakonkan oleh Irfan.
Turut membintangi muzikal ini ialah pelajar tahun dua jurusan Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Acara, Nurjannah Qurratul’Farhaien Mohamad Faizal, 18 tahun, sebagai pelakon teater terkenal Singapura, Siti Khalijah Zainal.
Seorang lagi pelajar lulusan Nitec Lanjutan dalam Produksi Persembahan, Muhamad Ammar Noor Amdam, 19 tahun, memainkan watak Fauzi dan Oberon.
Antara watak lain yang turut diketengahkan ialah Kawal Pal Singh, seorang peguam, serta Siew Lan, watak rekaan yang melambangkan graduan ITE yang kembali menyumbang sebagai tenaga pengajar.
Berkongsi lebih lanjut, Irfan mengakui mengenali sosok Fandi menerusi ringkasan cerita yang dikongsikan bapanya.
Anak sulung dalam keluarga dua beradik itu turut berkata beliau perlu mengasah semula kemahiran bermain bola sepak meskipun sudah lama tidak aktif dalam sukan tersebut, demi menjayakan watak Fandi.
“Kali pertama saya dengar nama Fandi Ahmad ialah ketika saya, ayah dan adik selalu bermain bola sepak di kawasan blok rumah kami.
“Masa itu ayah kerap berkongsi kisah tentang Fandi.
“Ayah memang peminat tegar beliau, jadi saya pun banyak belajar tentang Fandi melalui cerita-cerita itu.
“Di samping itu, kami (Irfan sekeluarga) memang minat bermain bola sepak jalanan bersama.
“Menariknya, nama saya juga diinspirasikan daripada nama anak sulung Fandi iaitu Irfan,” cerita Irfan.
Sementara itu, Nurjannah yang memegang watak penggiat teater terkenal, Siti Khalijah, atau lebih dikenali sebagai Siti K, mengakui pada awalnya, beliau sendiri tidak tahu sedang menjalani uji bakat untuk watak tersebut.
Sebagai anak seni yang pernah terlibat dalam drama Singapura, Cuci, dan pementasan teater, The Emperor’s New Clothes, oleh kumpulan teater tempatan Wild Rice pada 2015, watak ini dirasakannya sebagai satu penghormatan serta peluang mengembangkan lagi bakat lakonan.
“Saya bermula dengan watak kecil dalam The Emperor’s New Clothes.
“Dari situ, saya teruskan berlakon dalam beberapa lagi karya tempatan, dan kini diberi peluang membawa watak Siti Khalijah.
“Saya rasa, ruang ini memberi peluang untuk saya teroka sejauh mana saya mampu berkembang dalam bidang lakonan.
“Dalam pada itu, saya turut mengenali Siti K melalui bidang lakonan. Jadi sedikit sebanyak rasa gementar itu memang ada.
“Namun, beliau sendiri nasihatkan saya untuk menikmati proses ini dan tidak terlalu menekan diri demi menjayakan watak sebagai Siti K semasa muda belia,” kata Nurjannah.
Seorang lagi pelajar ITE, Ammar, mengambil langkah berani untuk mencuba lakonan, meskipun sebelum ini sering bekerja di belakang tabir sebagai kru pentas.
Dalam muzikal ini, Ammar membawakan watak dengan personaliti ganda iaitu Fauzi dan Oberon.
Oberon merupakan Raja Pari-Pari dalam karya A Midsummer Night’s Dream oleh Shakespeare, yang terkenal dengan kuasa sihir dan sifat nakalnya.
Sementara itu, watak Fauzi pula digambarkan sebagai seorang remaja pelupa yang disenangi rakan-rakannya.
Memandangkan kededua watak ini muncul dalam babak yang sama, cabaran utama Ammar adalah untuk bertukar antara dua watak yang berbeza latar zaman, sambil membezakan keperibadian mereka dengan jelas melalui lakonan.
Ketika ditanya BH apa yang mendorongnya mencuba bidang lakonan, Ammar berkata beliau sememangnya meminati dunia lakonan sejak lama, malah pernah terlibat dalam beberapa pementasan sebelum ini.
Bagaimanapun, minatnya dalam lakonan kembali menyala selepas mendalami jalan cerita muzikal tersebut.
“Banyak nilai kehidupan yang kami pelajari daripada kisah benar alumni ITE yang dipaparkan dalam muzikal ini.
“Ia memberi kami harapan dan keyakinan bahawa kami juga boleh berjaya.
“Kami harap segelintir masyarakat yang masih memandang rendah terhadap pelajar ITE dapat membuka mata melalui muzikal ini.
“Rangkaian kisah ini adalah bukti nyata bahawa pelajar ITE juga mampu mencipta nama dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat,” kata Ammar.
Tiket pementasan muzikal ‘Beyond The Classroom’ berharga $10 (tidak termasuk bayaran tempahan) boleh didapatkan menerusi laman Bookmyshow di https://bh.sg/ITE.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg