Topik diikuti
Pergi ke BHkuMeski darah campuran, Siti Saleha dan suami pentingkan budaya cukur jambul
Meski darah campuran, Siti Saleha dan suami pentingkan budaya cukur jambul
Meski darah campuran, Siti Saleha dan suami pentingkan budaya cukur jambul
Pelakon terkenal, Siti Saleha, meluahkan rasa syukur kerana majlis aqiqah dan cukur jambul anak sulungnya, Indra Mateen Fitton, berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 300 ahli keluarga dan rakan di Kampung Bukit Kechil, Paya Dalam, Melaka, Malaysia, pada 27 Jun.
Saleha, atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 35 tahun, akur meskipun berdarah campuran, beliau dan suaminya, yang juga pereka fesyen, Joshua Fitton, 39 tahun, tetap memilih untuk mengadakan majlis mengikut adat dan budaya Nusantara.
Acara majlis aqiqah dan cukur jambul itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isterinya, Toh Puan Datuk Wira Dr Hajah Asmah Abdul Rahman.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis cukur jambul yang dirancang untuk anak lelaki kami, Indra, berjalan lancar seperti direncanakan.
“Terima kasih kepada ahli keluarga terdekat daripada kedua belah pihak dan kawan rapat yang hadir sekali gus menjadikan majlis menjadi lebih istimewa,” katanya dalam laman Harian Metro.
Ditanya pujian netizen membabitkan majlis aqiqah yang berlangsung mengikut adat dan budaya pula, kata Saleha, Joshua yang mahu mengadakan majlis sedemikian.
“Suami saya yang mahu mengekalkan adat dan budaya kerana beliau berasa bertanggungjawab untuk meneruskan tradisi keluarganya.
“Maklumlah, suami saya membesar dengan ahli keluarganya yang sering mengadakan pelbagai majlis kenduri di kampung.
“Saya pula risau jika makanan yang disediakan tidak habis dan akhirnya membazir (makanan) pula.
“Namun mengikut adat Jawa, kalau tidak habis, makanan itu akan dibungkus untuk tetamu bawa pulang dan dikongsikan bersama keluarga,” ujar pelakon berdarah campuran Melayu-Inggeris itu.
Berkongsi perkembangan Indra, Saleha berkata anak lelakinya itu bakal mencecah usia enam bulan dalam masa terdekat.
“Indra juga membesar dengan baik dan kini sudah mula makan makanan pejal. Dia suka makan avokado, lobak merah dan kentang.
“Saya juga masih menyusukan Indra sepenuhnya kerana dia masih kecil,” singkap Saleha.
