Apakah penangan filem Bollywood pada jiwa pencinta filem Melayu semakin hari semakin berkurangan?
Inilah soalan yang kerap kali bermain di fikiran saya, sebagai seorang pengamat filem yang pernah suatu ketika, tidak kisah kalau perlu ambil masa lebih sejam untuk berkunjung ke pawagam Bedok bagi menyaksikan filem Hindustan ‘pecah panggung’.
Pada pagi Ahad, saya pernah buat janji temu dengan sahabat saya untuk menonton filem Kuch Kuch Hota Hai, yang berjaya mengumpulkan kutipan ‘box-office’ sebanyak AS$25.7 juta ($33.2 juta).
Ia kisah cinta menyentuh perasaan dengan kehadiran bintang Bollywood tidak asing lagi, Shah Rukh Khan, Kajol, dan Rani Mukerji.
Saya pernah bersengkang mata pada 12 tengah malam bersama dua teman yang juga ‘kaki filem Hindustan’ demi menyaksikan Raaz, yang dianggap antara filem terbaik Bollywood pada 2002.
Filem itu mengekori kisah rumah tangga Aditya (lakonan Dino Morea) dan Sanjana (Bipasha Basu) yang ingin memperbaiki hubungan mereka di rumah baru di Ooty, tetapi diganggu hantu yang ingin membunuh Aditya pula.
Tapi, sayang seribu kali sayang, sejak dua tiga tahun ini, tidak banyak filem ‘pecah panggung’ Bollywood yang dapat saya tonton di pawagam.
Kata teman-teman: “Industri filem Bollywood dah mula pupus sebab kurang idea baru daripada penulis naskhah filem ataupun kerana wadah penstriman seperti Netflix dan Amazon Prime mula mengambil alih dunia hiburan termasuk di India.”
Saya hanya ingat dua sahaja filem terkini Bollywood yang membuatkan saya terpaku pada layar pawagam, iaitu Fighter (tentang perjuangan pegawai tentera udara) dan Chandu Champion, tentang pejuang sukan untuk golongan atlet istimewa di persada Paralimpik.
Banyak unsur positif yang diterapkan dalam kededua filem ini yang mencetus inspirasi untuk terus mencuba tanpa rasa kecewa meskipun kadangkala ada sahaja orang yang cuba menghambat perjalanan anda.
Apabila ditanya kepada teman-teman yang berkecimpung dalam dunia perfileman, rata-rata mereka berkata tempoh singkat antara tayangan filem di pawagam dengan permulaan tayangan di wadah penstriman menyebabkan ramai yang anggap, “Tak perlulah menonton di pawagam. Tunggu sahaja di Netflix”.
Industri filem India Selatan (filem Tamil atau Kollywood), khususnya, mula memberi saingan sengit dengan mengetengahkan banyak filem dengan naskhah tulisan asli, berbanding Bollywood yang dikatakan kerap menjiplak atau meniru jalan cerita filem Hollywood atau filem lama Bollywood.
Ada penerbit pula menyangka mereka hanya bergantung pada populariti bintang yang menjayakan filem berkenaan.
Ternyata, nama-nama besar tidak mencukupi bagi menarik penonton ke pawagam.
Bade Miyan Chote Miyan, yang dibintangi dua nama besar, Akshay Kumar dan Tiger Shroff, tetap mendapat ulasan suam-suam kuku daripada wartawan meskipun filem ini dihasilkan dengan bajet besar sebanyak AS$41 juta.
Jalan cerita yang dianggap tidak mendalam dan kurang konflik yang mampu terpahat di fikiran penonton bahkan selepas meninggalkan pawagam, menjadi penyebab mengapa filem berbajet besar seperti ini tetap gagal ‘melekat’ di jiwa penonton.
Keaslian dan kepelbagaian plot, yang tidak mengikut formula tertentu, akan menjadi daya penarik penonton untuk mengembalikan era keemasan Bollywood.
Penceritaan menarik, penerbitan inovatif dan kreatif dengan keterbatasan sumber adalah lebih baik daripada mementingkan jumlah filem yang dihasilkan dalam sesuatu tahun.
Industri Bollywood juga harus menjadi tapak membangun bakat baru, dengan sekitaran lebih terangkum dan menyokong pembikin filem dan pelakon yang dapat membawa perspektif lebih segar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg