Susulan sambutan hangat yang diterima melalui lagu ‘hit’ Angkat dan Serumpun, istilah ‘rehat’ dalam kamus kehidupan penyanyi dan penggubah lagu, Mimifly, 39 tahun, seakan tiada khususnya dalam menghasilkan karya yang menyentuh relung hati.
Kali ini, karya terbaru Mimifly berjudul, Sahabat, yang dilancarkan pada 6 Jun lalu, menyimpan makna yang lebih dalam.
Ia merupakan lembaran kenangan Mimifly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norisham, yang ditujukan khusus untuk sahabatnya, Allahyarham Nur Hasan Baias, atau lebih mesra dikenali sebagai Jojo, salah seorang rakan anggota One Nation Emcees.
Pada usia 50 tahun, Jojo menghembuskan nafas terakhir pada 26 Januari lalu, setelah rebah di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, Malaysia.
Ketika itu, beliau sedang menghadiri sesi perjumpaan salah satu kumpulan tabligh di Malaysia.
Beliau yang sebelum ini pernah diserang penyakit angin ahmar, meninggalkan seorang balu, Siti Rohayu Saharudin, 38 tahun, dan anak perempuan, Siti Maryam Hasan, tujuh tahun.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom baru-baru ini, Mimifly mengakui sukar untuk melengkapkan lagu Serumpun, sambil meratapi pemergian sahabat yang dikasihi.
Cabaran itu malah menjadi ilham tercetusnya lagu Sahabat, yang kemudian dipilih sebagai runut bunyi (OST) bagi filem Mencari Ramlee, arahan Megat Sharizal.
“Mimi cipta lagu Sahabat setelah pemergian Jojo, pada Januari lalu. Seharusnya, Mimi siapkan lagu Serumpun ketika itu, tetapi tidak boleh kerana dilanda kesedihan yang berat.
“Apa yang Mimi ingin tulis untuk sebuah lagu Raya tak keluar-keluar. Sampailah Mimi cipta lagu Sahabat.
“Arwah Jojo adalah seorang insan yang sangat istimewa bagi Mimi.
“Beliau memainkan peranan besar dalam membentuk Mimifly sehingga menjadi figura yang dikenali ramai hari ini.
“Ada satu bait lirik dalam lagu tersebut yang berbunyi, ‘Selamat Tinggal’.
“Mimi berharap dengan tulisan ini, Mimi dapat melepaskan kenangan bersama beliau secara emosi dan rela hati,” katanya yang enggan terus-menerus dibayangi kesedihan.
Sebagai tanda ingatan pada sahabatnya, Mimi turut berhasrat menyumbangkan sebahagian hasil keuntungan lagu Sahabat demi membantu keluarga Jojo – khususnya, isteri dan anak perempuan beliau.
Berkongsi lebih lanjut mengenai perkembangan kumpulan One Nation Emcees yang turut terdiri daripada Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) dan Sabhi Saddi, Mimifly akur kumpulan itu masih ada, meskipun belum berpeluang untuk beraksi di pentas secara bersama.
“Kami masih lagi mengekalkan hubungan sebagai satu kumpulan yang utuh. Jadi, tak boleh kata One Nation Emcees sudah tak ada.
“Apatah lagi, sejak pemergian Jojo, kami belum ada keinginan untuk membuat persembahan.
“Ramai beranggapan Mimi ialah nadi kumpulan One Nation Emcees, kerana menjadi satu-satunya anggota wanita.
“Tetapi, bagi Mimi, Jojo-lah tulang belakang kumpulan kami. Beliau yang menyatukan dan mengharmonikan kumpulan ini.
“Bila Jojo sudah tiada, kami seperti hilang semangat dan tidak terlalu bersungguh-sungguh (buat persembahan) seperti dulu,” kata Mimifly.
Bagaimanapun, Mimifly tidak menolak peluang untuk membuat persembahan bersama anggota One Nation Emcees lain di masa akan datang, sekiranya diberikan jalan.
“Mimi tidak akan tolak tawaran untuk kembali beraksi bersama anggota lain One Nation Emcees, jika peluang itu terbuka.
“Buat masa ini, mereka memberi sokongan yang baik terhadap kejayaan Mimi dalam industri seni dan tidak putus-putus bertanya khabar.
“Dengan itu, One Nation Emcees tetap di hati,” ujar Mimifly yang sempat bertanding dalam peraduan nyanyian realiti, Gegar Vaganza 6 (GV6) bersama One Nation Emcees dan muncul sebagai antara finalis, pada 2019.
Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Superfly itu turut teruja bakal menggamatkan lagi suasana Konsert Irama Perjuangan, anjuran DStar Management dengan kerjasama Persatuan Ain, pada 23 Ogos di Teater Mediacorp.
Sempena Kempen Kesedaran Barah 2025, konsert itu bertujuan bukan hanya sebagai persembahan hiburan, malah sebagai ruang untuk meniupkan api semangat dan harapan kepada para pejuang barah.
Selain Mimifly, barisan penyanyi lain yang akan menjayakan konsert tersebut termasuk seniman legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, Afifah Yusuf, Liza Aziz dan Hady Mirza.
Buat penyanyi asal Selangor itu, kesempatan untuk berdiri sepentas dengan Hetty (yang mesra disapa Bonda) merupakan satu peluang keemasan.
Ia turut menjadi detik impian yang menjadi kenyataan kerana dapat menghangatkan suasana konsert bersama insan yang telah menyaksikan perjalanan seninya sejak menyertai pertandingan nyanyian realiti di Indonesia, D’Academy Asia (Musim Pertama) pada 2015.
Apabila ditanya BH mengenai makna perjuangan bagi dirinya, Mimifly seolah-olah masih terbawa dalam ruang rasa, menikmati kejayaan yang lahir daripada semangat juang tanpa mengenal putus asa.
Lebih-lebih lagi, di tengah-tengah kesibukannya sebagai antara nama paling hangat dalam industri hiburan ketika ini, Mimifly tidak berhenti mengungkapkan rasa syukur kerana melihat karyanya semakin mendapat perhatian dan penghargaan.
“Dalam kehidupan ini, setiap orang ada semangat juang dalam diri untuk menghadapi dugaan dan cabaran masing-masing.
“Sebagai seorang artis bergerak bebas, Mimi faham betul erti perjuangan itu. Adakalanya, idea diberikan sering dipandang ringan atau ibaratnya tidak dihargai.
“Maka itu, kita perlu ada jiwa kepahlawanan untuk berjuang demi hak diri sendiri dan menempuh segala rintangan yang datang dengan hati lapang,” kata Mimi.
Tiket ‘Konsert Irama Perjuangan’, berharga antara $88 dengan $288, boleh didapati di laman web https://bh.sg/hnA5
“
“Apa yang Mimi ingin tulis untuk sebuah lagu Raya tak keluar-keluar. Sampailah Mimi cipta lagu Sahabat. Arwah Jojo adalah seorang insan yang sangat istimewa bagi Mimi. Beliau memainkan peranan besar dalam membentuk Mimifly sehingga menjadi figura yang dikenali ramai hari ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg