Pelakon Nad Zainal memilih bersederhana sempena Aidilfitri yang bakal tiba, bagi mengelak pembaziran.
Bintang utama drama bersiri, Bahagia Yang Tertangguh itu mendakwa sudah pun membeli pakaian raya untuk seisi keluarga pada harga di bawah RM100 ($31.6) sepasang.
“Tahun ini (2026) misi adalah mencari pakaian Raya yang murah dan cantik sebab sekarang semua harga RM200 lebih, RM300 dan RM500 pun ada.
“Baju raya saya tahun ini (2026) memang semua di bawah RM100 dan kalau boleh bawah RM80.
“Biar ikut bajet, jangan sampai papa sebab nak bergaya,” kata Nad menerusi wadah media sosial, Threads.
Menerusi hantaran berikutnya, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 35 tahun, berkongsi baju Raya potongan kebarung yang sudah pun ditempah secara atas talian yang dibeli pada harga RM80.99 sahaja, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Ini baju raya kita awak, murah kan? Tak percaya ke? Percayalah sebab saya sangat kedekut.
“Misi nak berjimat tahun ini (2026), nak menyimpan untuk anak-anak, tuisyen dan sebagainya.
“Jenama murah-murah. Apa yang penting kena lawa. Soal jenama tolak ke tepi,” kata pelakon yang dikenali dengan drama Takdir Yang Tertulis dan filem Kami Histeria.
Sikap ibu kepada tiga cahaya mata yang enggan membazir bukan saja mendapat pujian pengguna Threads, malah, ramai netizen yang mengikut jejak langkahnya ingin bersederhana bagi Raya yang bakal menjelang pada Mac.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg