Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nelissa Nizam bawa watak gadis ‘drift’ dalam ‘Impak Maksima 2’

Jul 21, 2025 | 5:34 PM
Nelissa Nizam, Impak Maksima 2
Pelakon baru Malaysia, Nelissa Nizam, berharap filem ‘Impak Maksima 2’ akan menggalak lebih ramai wanita untuk menyertai sukan perlumbaan kereta secara profesional. - Foto INSTAGRAM NELISSA NIZAM

Jikalau sebelum ini, aksi ‘drift’ atau perlumbaan kereta sering dianggap sukan bagi kaum Adam.

Namun, kehadiran pelakon baru Malaysia, Nelissa Nizam, 27 tahun, yang menghidupkan watak Gia, seorang gadis berani dan tangkas dalam mengemudi kereta lumba dalam filem Impak Maksima 2, memberi dimensi baru.

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran filem kedua kepada filem yang pernah popular pada 2007, Impak Maksima, Nelissa berkata semua pelakon menjalani latihan lumba kereta selama sembilan minggu bersama tenaga pengajar profesional.

“Alhamdulillah, kami (pelakon) dapat ‘tangkap’ dan belajar dengan cepat. Nasib baik kami ada tenaga pengajar yang sangat profesional di mana apa yang diajar, mudah difahami.

“Saya perlu bersedia secara mental, fizikal dan emosi memandangkan ada beberapa babak aksi di mana saya lakukannya sendiri,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) semasa mempromosikan filem itu di Bangsar, Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

Nelissa, yang mula jatuh cinta dengan dunia ‘drift’ sejak menonton filem Fast & Furious, menyifatkan filem Impak Maksima 2 arahan sutradara berpengalaman, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, bukan sekadar naskhah aksi, sebaliknya, menjadi satu wadah yang menaikkan minat wanita dalam arena perlumbaan.

“Ramai orang tidak tahu sebenarnya pelumba wanita dalam dunia perlumbaan kereta di Malaysia sangat terhad.

“Jadi, sebab itulah saya sangat seronok apabila filem ini jadi ruang untuk angkat lebih ramai wanita yang berminat dalam sukan ‘drift’.

“Kami berlatih di litar sebenar dan penggambaran pun dikendalikan serentak dengan acara perlumbaan kereta. Jadi, bukan setakat berlakon, kami betul-betul berada dalam dunia perlumbaan yang sah dan dikendalikan secara profesional,” katanya.

Selesai penggambaran, dek minat yang makin berkembang, Nelissa kini menjadikan perlumbaan kereta sebagai hobi barunya.

Walaupun sudah membintangi beberapa filem termasuk The Disappearance of Irdina Adhwa dan Martabat: Misi Berdarah, filem Impak Maksima 2 menjadi detik penting buat Nelissa yang selama ini memasang impian untuk membawa watak aksi.

“Sebenarnya, watak aksi adalah peranan impian saya sejak dari dulu. Jadi, apabila ditawar watak Gia dalam filem tersebut, saya sangat gembira.

“Saya harap dapat dapat melakonkan watak seperti ini lagi. Kalau boleh, watak yang membabitkan gerakan fizikal.

“Saya mahu berlatih sebagai persediaan melakukan babak pertarungan,” katanya.

Nelissa berharap naskhah Impak Maksima 2 yang diberi nafas baru mampu meraih sambutan hangat seperti fenomena filem pertama.

Beliau menyifatkan pembabitannya dalam filem aksi tersebut sebagai antara pencapaian terbesar dalam kerjaya lakonannya.

Sementara itu, Nelissa menafikan khabar angin yang berkata dirinya ‘anak emas’ Ahmad Idham.

“Bagi saya, tiada istilah ‘anak emas’. Tetapi, kalau orang nak cakap begitu, hendak buat macam mana. Ada projek di mana Ahmad Idham bekerja dengan pelakon lain juga.

“Mungkin Ahmad Idham selesa bekerja dengan saya. Saya juga selesa bekerja dengannya... Sebab itulah hubungan kami kekal lama,” katanya.

Terdahulu, Nelissa pernah terlibat dalam filem Saka Perawan, Reza GTR, Sahak Gangster arahan Ahmad Idham.

Filem Impak Maksima 2 menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Singapura mulai 17 Julai. Di Singapura, ia ditayangkan di keempat-empat cawangan Cathay Cineplexes.

Selain Nelissa, filem tersebut menampilkan barisan pelakon lama yang digandingkan dengan pelakon baru seperti Muhsin Nadzli, Arfie Shah dan anak kedua Ahmad Idham, Ahmad Aydeel.

Antara pelakon yang kembali daripada filem pertama 18 tahun lalu termasuk Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi dan Opie Zami.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg