Topik diikuti
Pergi ke BHkuNora imbau ‘rahsiakan’ status kahwin ketika tembusi pasaran Indonesia
Penyanyi Malaysia, Datuk Nora Ariffin, berkongsi pengalamannya pernah menyorok status perkahwinan dengan suami, Allahyarham Johan Nawawi, ketika memasarkan album pertama, Sandiwara, pada 1994 di Indonesia.
Menurut Nora, 53 tahun, beliau yang ketika itu melangkah kaki ke dalam industri dengan gelaran isteri dan ibu, memahami keadaan yang dihadapi segelintir artis apabila terpaksa sembunyikan status sebenar.
“Saya adalah antara artis yang mencipta nama selepas berumah tangga dan pada masa itu, kita kena sorok (status) pula.
“Sebab nanti, kalau sudah kahwin tidak laku.
“Tetapi, saya ialah artis yang terang-terang orang kata declare (mengisytiharkan) kita sudah berkahwin, dan bangga jadi penyanyi, walaupun sudah bersuami dan ada anak.
“Paling kelakar sekali lagu, Di Persimpangan Dilema, dan album Sandiwara saya, sangat besar di Indonesia.
“Apa yang saya tidak dapat lupa sampai sekarang, apabila saya pergi ke sana (Indonesia) untuk promosi album, saya diminta ‘menipu’ status saya.
“Jangan cakap sudah berkahwin, sebab takut nanti orang tidak terima.
“Ketika itu pula, saya pergi (ke Indonesia) dengan suami.
Jadi apabila ditanya, ‘Sudah kahwin ke belum?’, saya sukar nak jawab, sebab status kena rahsia,” kata ibu empat anak itu, dalam laman web Harian Metro.
Sebelum ini, Nora hadir menjadi tetamu jemputan program Malaysia Hari Ini (MHI), yang disiarkan di saluran TV3, membicarakan pengalaman lucu ketika beliau mula-mula bergelar anak seni.
Menurutnya, beliau mula menceburi bidang nyanyian sejak usia belasan tahun dan pernah dinobatkan Juara Bintang HMI, terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1991.
Kata Nora, arwah suaminya ketika itu sangat memahami keadaan dialami seorang penyanyi baharu yang hendak menempa nama dalam industri, dan perlu bertindak sedemikian (sorok status) atas sebab ‘terpaksa’.
Jelasnya lagi, beliau sentiasa berasa bangga dengan status dirinya sebagai isteri dan ibu sampai sekarang, sejak bergelar anak seni pada 1991.
Turut bersyukur namanya masih relevan dalam industri, penyanyi lagu Katakanlah dan Debaran itu, berkata beliau sangat serius dalam kerjaya dan tidak sesekali menjadikannya sebagai batu loncatan semata-mata.
“Apabila kita berjaya bina kerjaya dalam industri, jangan main-main.
“Ambil serius dan kena selalu ikhlas pada diri sendiri. Maksudnya, jaga disiplin.
“Alhamdulillah, saya sudah lebih 30 tahun dalam industri, masih tetap anggap diri saya baharu dan apabila bekerja mesti tepati masa, kena sabar dan serius, sebab kita bekerja dengan ramai orang.
“Jadi, kena profesional.
“Insya-Allah, apabila kita pegang prinsip itu tidak kiralah 20 tahun lagi ke, atau sampai bila-bila, kita tetap masih di sini (dalam industri).
“Apapun, insya-Allah semua itu tetap bergantung pada rezeki juga,” ujar Nora.
Di samping itu, Nora turut berkongsi bakal muncul dengan single baharu, namun masih dalam perancangan untuk masa sesuai dilancarkan kepada pendengar.
