KUALA LUMPUR: Isu royalti lebih 200 lagu ciptaan Allahyarham Johan Nawawi meruncing apabila balu arwah, Datuk Nora Ariffin dan anak sulung mereka, Muhammad Syakir Iman, mendakwa syarikat penerbitan muzik gagal memberi maklumat lengkap berhubung pengurusan koleksi ciptaan komposer terbabit, sejak empat tahun lalu (2021).
Nora mendakwa isu royalti lagu arwah Johan dibangkitkan pada 2021, namun, enam syarikat penerbitan muzik dan beberapa organisasi yang belum dikenal pasti, masih membisu.
“Pada 2021, selepas terima maklumat awal daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), kami hantar e-mel kepada beberapa syarikat penerbitan yang disenaraikan sebagai pemegang hak karya arwah.
“Namun sehingga kini, kami masih belum terima maklumat penting seperti butiran lagu, salinan kontrak dan penyata royalti daripada pihak syarikat terbabit.
“Ada syarikat yang beri maklum balas awal konon sedang membuat semakan dengan kumpulan hak cipta, tetapi selepas itu, tiada kemas kini atau jawapan konkrit diberi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MACP pada 23 Julai.
Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MACP, Cik Mary Yap dan anak komposer prolifik, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, iaitu Aiman Zamir Adnan.
Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan lebih 200 karya Allahyarham Johan dikatakan diuruskan enam syarikat penerbitan iaitu Warner Chapell Music; Music Works; NSR Publishing; EMI Publishing; Sony Music Publishing dan Good Sound Publishing serta beberapa syarikat lain yang masih belum dikenal pasti.
Nora berkata sebagai pihak yang diamanahkan untuk menguruskan karya, syarikat penerbitan sepatutnya bertindak secara telus dan profesional.
“Kami faham urusan hak cipta adalah teknikal dan memerlukan ketelitian, tetapi jika tidak mampu pikul amanah, jangan jadi ‘publisher’,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Syakir kecewa apabila syarikat penerbitan gagal menunaikan janji untuk memberikan maklum balas berhubung isu berkenaan.
“Empat tahun lalu (2021), mereka minta masa setahun atau dua tahun untuk sediakan dokumen terperinci, tetapi, sampai sekarang tiada perkembangan.
“Kami masih berharap dapat selesaikan isu ini secara baik, tetapi jika tiada jalan keluar, kami tidak menolak kemungkinan membawa perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.
Mengulas lanjut, Nora berkata sebagai waris, mereka tidak mempunyai akses kepada sistem dalaman syarikat penerbitan dan hanya bergantung kepada kejujuran serta kerjasama syarikat terbabit.
“Jika semuanya diuruskan dengan baik, pendapatan daripada karya arwah sedikit sebanyak dapat membantu menampung kehidupan kami termasuk kos pembelajaran anak-anak,” kata penyanyi Di Persimpangan Dilema itu.
Isu royalti karya Allahyarham Johan menjadi perbualan hangat selepas Nora mendakwa arwah suami hanya menerima bayaran awal sebanyak RM60 ($18.13) bagi lirik lagu ikonik Sinaran, nyanyian Datuk Sheila Majid, meskipun lagu berkenaan popular hingga hari ini.
Menjawab dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan tindakannya membangkitkan isu royalti ketika Sheila sedang membuat persiapan konsert di ibu negara, November depan sebagai ‘joy killer’ (sengaja tarik perhatian dengan pupuskan keseronokan orang lain), Nora menjelaskan beliau tiada niat untuk mencetuskan polemik.
“Saya hormat Sheila sebagai penyanyi. Isu ini sudah lama berlaku dan tiada kaitan dengan pengumuman konsertnya.
“Saya cuma teringatkan isu ini apabila mendengar Sinaran dinyanyikan di sebuah konsert yang saya hadiri baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Cik Yap menjelaskan MACP hanya mentadbir dua jenis hak, iaitu hak persembahan awam seperti lagu dimainkan di restoran, acara atau konsert serta hak penyampaian kepada umum termasuk siaran digital dan media seperti radio serta televisyen (TV)
“MACP tidak mentadbir hak mekanikal kecuali dalam keadaan tertentu.
“Apa yang berlaku antara Nora dan syarikat penerbitan adalah di luar bidang kuasa kami,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg