Topik diikuti
Pergi ke BHkuNuha, Naufal tidak lagi dapat berganding dendangkan lagu ‘Casablanca’
Nuha, Naufal tidak lagi dapat berganding dendangkan lagu ‘Casablanca’
Nuha, Naufal tidak lagi dapat berganding dendangkan lagu ‘Casablanca’
Penyanyi Malaysia, Nuha Bahrin, menjelaskan perbezaan syarikat rakaman antara dirinya dengan rakan duet, Naufal Azrin, menjadi faktor utama mereka tidak lagi berpeluang menyampaikan lagu, Casablanca, terutama dalam persembahan pentas.
Nuha, atau nama sebenarnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin, 26 tahun, berkata mereka terpaksa akur dengan keadaan itu biarpun ramai peminat masih merindui gandingan yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu tersebut.
“Disebabkan sekarang kami berada di bawah label rakaman yang berbeza, mungkin agak sukar untuk menyanyikan lagu Casablanca, bersama-sama buat masa ini.
“Saya perasan Naufal ada menyanyikan lagu Casablanca secara solo, begitu juga saya yang bergerak secara solo. Namun, walau apa pun saya sangat bangga dengan dia.
“Kami berdua hanya mendoakan yang terbaik antara satu sama lain,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui pada konsert Bintang Universe: The Dimension, di Dewan Seri Budiman di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia, pada 14 Jun.
Nuha, bagaimanapun, sentiasa terbuka untuk kembali bekerjasama dengan Naufal yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya itu.
“Saya memang terbuka jika diberi peluang untuk bekerjasama dengan Naufal lagi.
“Buat masa sekarang, mungkin agak mencabar untuk kami menyanyikan lagu itu bersama.
“Ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan terutama membabitkan urusan label rakaman,” katanya lagi.
Pada masa sama, Nuha menafikan dakwaan konon Naufal tidak lagi dapat menyanyikan lagu, Casablanca, ciptaan Daqmie, Wan Saleh dan Abdulkarim Al Ali berikutan statusnya yang kini bergelar suami orang.
Sebaliknya, Nuha berkata hubungan mereka masih baik, malah sudah menganggap satu sama lain seperti keluarga.
“Kalau dikatakan faktor dia sudah berkahwin, bukan itu sebabnya.
“Isteri dia sangat baik dan manis. Kami berkawan sejak merakamkan lagu Casablanca lagi. Jadi, tidak timbul sebarang masalah.
“Soal menjaga batas pula memang sudah kami amalkan sejak dahulu. Saya fikir hubungan kami tidak lebih daripada kawan, lebih tepat lagi rakan sekerja dan rakan duet.
“Dari dahulu, kami sentiasa menjaga batas dalam hubungan. Dia kenal keluarga saya dan begitu juga. Jadi, hubungan kami sudah seperti keluarga,” ujar Nuha.
Lagu, Casablanca, yang menggabungkan lirik bahasa Melayu dan Arab, dilancarkan pada 2022.
Dendangan itu melonjakkan nama Nuha serta Naufal hingga mendapat perhatian pendengar di Indonesia dan Asia Barat.
