SHAH ALAM: Penyanyi, Ziana Zain, tidak dapat membayangkan kehadiran Ramadan dan Aidilfitri selepas hilang dua insan tersayang, iaitu ibu dan bapa dalam tempoh singkat.
Ziana, yang juga anak sulung dalam lima beradik, membayangkan Adilfitri kelak menjadi hari paling sunyi buat keluarga. Apatah lagi, adik-beradiknya tidak lagi berpeluang memohon maaf daripada ibu bapa.
Ziana, atau nama sebenar, Siti Roziana Zain, 56 tahun, berkata pemergian bapanya, Allahyarham Zain@Zin Abdullah, 87 tahun, diikuti ibu, Allahyarhamha Robiah Abdul, 74 tahun, berturut-turut dalam tempoh empat bulan benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.
“Saya kelu... Tetapi kami sudah tahu emak memang sakit. Melihat keadaan emak sejak beberapa hari lalu, kami reda. Cuma, kami tidak tahu bila Allah hendak ambil, tetapi kami sudah bersedia.
“Kami sekeluarga bagaimanapun sangat terharu dengan layanan diberi doktor yang merawat emak. Doktor sangat berdiplomasi, mungkin tidak mahu kami risau,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) sebaik selesai pengebumian jenazah Allahyarhamha Robiah di Tanah Perkuburan Elmina pada 25 Disember.
Ziana berkata, beliau dan adik-beradik sedar keadaan arwah ibu sudah kritikal.
“Organ penting dalam badan emak sudah tidak berfungsi. Kami faham dan kami reda kerana sudah sampai masa emak.
“Emak pergi macam kain sutera yang ditarik dengan perlahan dan sangat lembut. Wajah emak kelihatan seperti tersenyum. Ketika jenazah dibawa balik ke rumah, senyuman kelihatan semakin lebar,” katanya.
Ziana berkata fikirannya kosong memikirkan Ramadan dan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi. Ini kali pertama mereka meraikannya tanpa kehadiran ibu bapa tercinta.
“Otak saya kosong, macam mana dengan puasa kami? Saya masih tidak boleh hendak hadam lagi, apa yang akan dirasa?
“Saya masih tidak boleh fikir kerana hilang emak dan abah serentak. Ini kali pertama kami akan berpuasa dan meraikan Aidilfitri tanpa mereka.
“Hendak fikir beli baju Raya pun sudah tidak ada ‘mood’ lagi. Tidak ada apa-apa yang saya hendak tunggu lagi. Apa yang ada hanyalah anak-anak dan adik-beradik,” katanya yang mengakui memerlukan masa untuk pulih.
Akui Ziana, walaupun sukar menerima hakikat dirinya kini bergelar yatim piatu, namun, beliau reda dengan ketentuan Ilahi.
“Tidak apalah, kita reda. Alhamdulillah, semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh ibu bapa dan tempatkan mereka bersama orang beriman... Itu doa saya.
“Apa yang penting, saya bersyukur kerana kami adik-beradik dapat beri emak layanan dan rawatan sama seperti kami beri kepada arwah abah.
“Saya berdoa moga Allah akan jumpakan kami sekeluarga di syurga. Kita kena ‘manifest’ selalu, kita kena cakap selalu positif... Insya-Allah, Allah, Allah bagi,” katanya lagi.
Ditanya mengenai hubungan ibu bapanya, Ziana menjelaskan mereka bak pasangan sehidup semati.
Ziana berkata kisah hidup ibu bapanya umpama filem cinta, di mana selama 58 tahun hidup bersama, payah sekali buat arwah ibu melupakan sosok suami yang menjadi tempat bergantung selama ini.
“Mungkin sebab arwah emak sedih dan kemurungan selepas abah pergi, jadi, penyakit barah yang dihidapi cepat menyerang.
“Mereka sudah berkahwin 58 tahun, iaitu dari umur 16 tahun, emak sudah berkahwin. Jadi, arwah abah itu adalah segala-galanya buat emak kerana itulah dunia dia.
“Selepas pemergian abah, walaupun emak berusaha sembunyikan kesedihan, namun, saya tahu, emak sebenarnya sangat ‘down’.
“Emak pernah cakap dia sudah tidak ada apa-apa selepas abah pergi. Kami adik-beradik pula sudah ada kehidupan masing-masing bersama anak-anak dan pasangan,” katanya lagi.
Ziana membayangkan kisah hidup ibu bapanya persis filem cinta.
“Inilah apa yang orang katakan, sehidup semati dan cinta abadi. Tidak banyak pasangan ada cinta seperti itu. Lebih-lebih lagi, cinta sejati dalam kalangan orang muda yang sudah kian berkurangan,” katanya.
Ziana berkata ibunya tidak meminta apa-apa sebelum pergi.
Namun, ratu hatinya itu berpesan kepada adik-beradik untuk beliau disemadikan di tanah perkuburan yang berhampiran dengan kediaman mereka.
Namun, apa yang membuatkan Ziana lega, kedua-dua insan tersayang itu disemadikan berhampiran.
“Sebelum pergi, emak tidak ada cakap apa-apa. Cuma emak berpesan jika dia meninggal, emak minta kami kebumikannya berhampiran dengan tempat tinggal kami. Emak kata jangan susah-susah bawa balik (jenazah) ke Melaka.
“Selain itu, emak juga berpesan supaya kami adik beradik tidak berpecah. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Jadi, saya cakap kepada mak, insya-Allah, saya akan cuba pegang kata-katanya itu,” katanya.
Allahyarhamha Robiah meninggal dunia pada 10.44 malam 24 Disember, selepas setahun disahkan menghidap barah hati.
Beliau meninggalkan lima cahaya mata termasuk penyanyi popular, Anuar Zain, serta 13 cucu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg