Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengorbanan Hazama guna wang IVF isteri bagi album ‘Pujangga’ berbaloi

Aug 19, 2025 | 4:50 PM
Malaysia, Hazama, AIM, Pujangga
Memandangkan belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata, enam pencalonan bagi album ‘Pujangga’ di Anugerah Industri Muzik (AIM) dianggap bonus dan merupakan hadiah bagi album yang disifatkan ‘baby’ beliau dan isterinya, Genervie Kam. - Foto HARIAN METRO

Penyanyi dan penggubah lagu, Hazama, 41 tahun, telah mengorbankan wang simpanan bagi rawatan persenyawaan in vitro (IVF) isterinya, pemuzik, Genervie Kam, 45 tahun, bagi penerbitan album Pujangga.

Kos pembikinan album tersebut mencecah kira-kira RM200,000 ($60,801).

Ternyata, pengorbanan itu membuahkan hasil apabila album itu mendapat enam pencalonan pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

“Saya terima Dana Kandungan Digital (DKD) menerusi MyCreative Ventures. Jadi, saya tambah lagi sekitar RM200,000 dari wang simpanan saya untuk mencukupkan kos penerbitan album Pujangga.

“Dengan apa yang saya dapat, saya rasa keputusan ini berbaloi. Sebabnya, saya fikirkan bahawa peluang untuk terbitkan album bukanlah selalu datang.

“Disebabkan kami belum ada rezeki untuk ada cahaya mata, kami lahirkan album ini yang saya anggap sebagai ‘baby’ kami juga,” katanya kepada laman Harian Metro.

Hazama berkata album itu menelan kos yang besar kerana banyak benda dihasilkan untuk album ini seperti dokumentari dan galeri.

Enam pencalonan Hazama di AIM24 ialah bagi kategori Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Medonan; Lagu Rok Terbaik (lagu Aku Ada, Rembulan & Pungguk, serta Semacam Pandora); Lagu Tradisional Terbaik (Penawar Kita yang menampilkan Noraniza Idris) dan Rakaman Album Terbaik (album Pujangga).

AIM akan berlangsung pada 13 September di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Dalam pada itu, Hazama tidak terburu-buru mengadakan konsert solo.

Beliau ingin lebih fokus pada usaha menghasilkan lebih banyak lagu merentasi pelbagai genre bagi membangun senarai lagu di bawah koleksi gubahannya sebelum memikirkan tentang konsert solo.

Baginya, artis lebih mapan seperti Misha Omar, Dayang Nurfaizah, ataupun kumpulan Spider, lebih layak mengadakan konsert solo mereka terlebih dahulu sebelum dirinya impikan untuk mementaskan konsert sendiri.

“Tentunya, penyanyi dan band seperti Datuk Awie, Wings, Search, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir, berada pada tahap berbeza, khususnya kerana katalog lagu mereka yang lebih besar,” tambahnya.

Baginya, masa yang ada kini ingin ditumpukan pada usaha menghimpunkan lagu sendiri agar apabila masanya tiba untuk mengadakan konsert solo, beliau tidak perlu menyanyikan lagu orang lain.

Hazama juga percaya mereka yang menghadiri konsert adalah atas sebab nostalgia, iaitu bagi mendengarkan lagu yang pernah mereka dengar ketika meniti usia kanak-kanak atau remaja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg