Penyanyi dan pelakon popular era 1990-an, Raja Ema, 56 tahun, buat kali pertama mendedahkan penderitaan anak sulungnya, Putera Ammar, yang menghidap penyakit gastroparesis atau kelumpuhan usus sehingga berat badannya turun mendadak.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Raja Ema atau nama sebenarnya, Raja Ema Raja Ibrahim, berkata penyakit yang dialami Ammar sejak hampir tiga tahun lalu (2022) menyebabkan anaknya itu perlu mengambil masa lebih tiga jam untuk menghabiskan setiap hidangan.
“Anak saya yang tua (Ammar) ada penyakit gastroparesis. Makan pagi tiga jam, makan tengah hari pun tiga jam, begitu juga makan malam,” katanya dalam perkongsian yang dipetik Harian Metro.
Menurut Raja Ema, Ammar yang dahulunya mempunyai selera makan besar hingga pernah mencecah 90 kilogram, kini hanya seberat 50 kilogram, akibat kesukaran untuk menghadam makanan secara normal.
Penyakit berkenaan mengakibatkan makanan di dalam perut mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan bergerak ke usus kecil, sekali gus menjejas rutin hariannya.
“Waktu makan pun kena tepat dan tak boleh ‘skip.’ Nanti, perutnya sakit dan dia susah nak berjalan jauh,” katanya lagi.
Gastroparesis adalah keadaan yang menyebabkan otot-otot perut gagal berfungsi secara normal, menyebabkan kelewatan pergerakan makanan ke usus dan boleh mengganggu sistem penghadaman secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beberapa selebriti dunia yang mengalami masalah serupa, berkongsi tentang gastroparesis yang dialami.
Ini termasuk Raven Walton, 31 tahun, personaliti Internet, yang menjayakan siri realiti, Big Brother 19.
Beliau bergantung pada alat perentak gastrik yang membantunya menghadam makanan, bahkan telah menjalani beberapa pembedahan seperti membuang rahimnya.
Pelawak asal Amerika Syarikat, Sandy Honig, 33 tahun, pula menggunakan video TikTok untuk menceritakan penderitaannya mengalami masalah kelumpuhan usus ini.
Salah satu video tularnya menunjukkan dirinya muntah di pejabat insurans. Penerbit filem komedi itu juga sentiasa meluahkan rasa bingitnya dengan sistem jagaan kesihatan yang tidak mempedulikan masalah pesakit kronik gastroparesis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg