Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiti Nordiana berat hati lepaskan anak tunggal ke asrama
Siti Nordiana berat hati lepaskan anak tunggal ke asrama
Siti Nordiana berat hati lepaskan anak tunggal ke asrama
Penyanyi, Siti Nordiana, mengakui berat hati melepaskan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, tinggal di asrama apabila melanjutkan pengajian, tidak lama lagi.
Siti Nordiana, atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, 42 tahun, berkata Rayyan, 18 tahun, bakal mengikuti program asasi perniagaan dan teknologi maklumat di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), Ogos depan.
“Saya sebenarnya risau. Saya pula ibu tunggal dan hanya ada seorang anak. Kami tidak pernah berjauhan, jadi saya agak takut. Dialah penghibur saya di rumah dan kawan baik saya. Kami sangat rapat.
“Saya fikir mana-mana ibu yang mempunyai anak tunggal pasti risau. Biasalah, sebagai ibu memang ada kerisauan. Saya percaya bukan saya seorang rasakannya.
“Tetapi, mahu atau tidak mahu, saya kena lepaskan anak kerana dia perlu kejar cita-cita dan bina kehidupannya sendiri,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM pada Konsert The Soundstage, yang turut menampilkan barisan artis lain seperti Ernie Zakri, Khai Bahar, dan Haqiem Rusli, di Zepp Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Siti Nordiana menyokong pilihan Rayyan jika anaknya itu mahu belajar hidup berdikari.
“Kami tidak pernah berenggang. Cuma, ada masanya saya keluar daerah atau hadiri persembahan di luar Kuala Lumpur. Itu perkara biasa, tetapi untuk tinggal berasingan, belum pernah lagi.
“Namun, jika dia tinggal di asrama, saya masih boleh melawatnya di kolej. Dia juga boleh pulang ke rumah pada hujung minggu.
“Kalau dia tiada di rumah nanti, saya boleh tonton drama Korea, atau buat siaran langsung (di media sosial). Ada banyak cara untuk menghilangkan rasa sunyi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana baharu sahaja melancarkan single duet bersama Jaclyn Victor berjudul, Setulusnya.
Siti Nordiana berkata, kerjasama itu direalisasikan selepas menerima banyak permintaan daripada peminat yang mahu melihat mereka berganding dalam sebuah lagu.
“Kami terima banyak permintaan untuk berduet kerana peminat melihat kami sangat akrab dan serasi bersama.
“Kami juga sering berkongsi video dalam media sosial, jadi, ramai yang suka melihat kemesraan kami.
“Tambahan pula, lagu duet kami sebelum ini iaitu, Nisan Cinta, mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Jadi, kami sepakat tampil dengan sebuah lagi single duet.
“Sebenarnya, sangat mudah berduet dengan Jaclyn kerana dia profesional dan tidak banyak ragam,” kata Siti Nordiana.
