Anak seni yang menjadi idola ramai bukan setakat penghibur tetapi memiliki amanah besar menyumbang kepada masyarakat dengan pengaruhnya yang mendekati hampir setiap lapisan peminat.
Itulah pegangan Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila menggerakkan Yayasan Nurjiwa bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, sejak Ogos 2006.
Yayasan itu menyalur kebajikan di dalam dan luar negara, khususnya dalam aspek pendidikan, seperti pembangunan dan pelaksanaan sekolah kanak-kanak, Afwa Al-Afiyah, di Gaza, Palestin, sejak 5 Oktober 2021.
Pada 2025, Siti bekerjasama dengan anak tirinya, Asyraf Khalid, dalam memberi semangat kepada pelajar daripada keluarga sederhana atau kurang berkemampuan, yang cemerlang dengan mencapai gred A bagi kesemua subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Seramai 401 pelajar dalam kursus tuisyen dalam talian Pusat Pendidikan PTTI, disampaikan dengan sagu hati bernilai RM500 ($150.23) seorang sebagai pembakar semangat.
Keseluruhannya, Yayasan Nurjiwa menyumbangkan RM200,500 bagi inisiatif amal itu.
Sebagaimana jelas Siti kepada Berita Minggu (BM):
“Apabila saya dan Datuk K (panggilan mesra buat suami) hidup bersama, kita pun nak kumpul pahala bersama-sama.
“Justeru itu, pada 2025, buat kali pertamanya, kami memberi sagu hati kepada pelajar cemerlang SPM yang mengikuti program tuisyen dalam talian.
“Asyraf mengusulkan agar anak-anak ini diberi suntikan semangat melalui ganjaran berupa wang sagu hati ini.
“Ada yang tinggal di luar bandar. Ada yang hidup susah tetapi berusaha gigih untuk capai keputusan cemerlang.
“Bagi saya, anak seni seperti saya, bukan sekadar menghiburkan. Apabila kita dikenali dan menjadi idola, banyak tanggungjawab sosial yang perlu kita galas.
“Kita ada peranan dalam masyarakat dan perlu tunjukkan contoh yang baik seikhlasnya. Kita harus akur kita mempunyai pengaruh dan tanamkan semangat positif ini.
“Elakkan daripada terjebak dengan perkara yang negatif sebab ada nanti dalam kalangan anak muda yang boleh mengikuti perkara ini dengan menyangka ia boleh sahaja dilakukan.”
Siti hargai sokongan masyarakat dari sejak meniti usia remaja kepada alam berumah tangga dan kemudian menjadi seorang ibu dua anak pada usianya kini yang mencecah 46 tahun.
“Saya bersyukur menerusi Yayasan Nurjiwa ini, saya dapat menyalur bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya akan teringatkan zaman persekolahan saya dahulu. Tak boleh buat sesuka hati. Ibu saya, Mak Salmah (Siti Salmah Bachik), amat berdisiplin dan tegas orangnya.
“Saya akan beli tiket dan naik bas dari Kuala Lipis, Pahang, ke Kuala Lumpur untuk merakam lagu atau bikin kerja promosi sebagai artis rakaman. Masa tu, masih bersekolah lagi.
“Pergi Jumaat dan Sabtu, Ahad mesti balik. Mak Salmah pastikan saya takkan ponteng sekolah walaupun sampai rumah di Kuala Lipis pada 5 pagi.
“Dalam keadaan mengantuk, cepat-cepat mandi, salin pakaian seragam sekolah dan langsung bergegas ke sekolah,” ceritanya.
Menurutnya, guru di sekolahnya pun banyak memberinya galakan dan peluang membangun kerjaya menyanyi.
“Saya tak boleh sia-siakan kepercayaan mereka pada saya. Saya balas budi mereka dengan pastikan saya tak lupakan amanah saya sebagai pelajar. Saya tak main-main,” kata Siti penuh semangat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg