KUALA LUMPUR: “Sudah berapa tahun punya kes, kalau asyik hendak ungkit, sampai bila pun tidak akan selesai.
“Sedangkan Allah pun boleh ampunkan hamba-Nya, awak sekerdil, sejijik manusia, kenapa angkuh sangat?”
Itu jawapan pelakon sensasi, Sophia Albarakbah yang dilihat membidas seorang pemilik akaun Instagram (IG) melalui kata-kata dikongsi dalam ruangan komen, lantas menarik perhatian netizen pada 4 Ogos.
Sophia, 32 tahun, yang kembali tular pada 3 Ogos selepas ‘berkongsi’ pentas dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 31 tahun, pada malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 di Putrajaya.
Beliau dipercayai membidas seorang pemilik akaun IG yang dikatakan meninggalkan komen sinis dan menasihatinya menjaga maruah selepas beroleh kemenangan di pentas AMT 2025.
Pada 3 Ogos, Sophia, merangkul trofi Selebriti Feminin Terhangat yang disampaikan Bella. Sepantas kilat, pertemuan mereka di pentas itu diperkatakan netizen hingga tular.
Terdahulu, pemilik akaun IG terbabit mendakwa Sophia yang mempunyai pakej lengkap dan boleh pergi jauh, tersilap langkah.
Netizen itu kemudian menasihatkan Sophia agar menjaga maruah selepas kemenangan di pentas AMT 2025.
Sebelum ini, wujud isu tentang Sophia yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, termasuk yang melibatkan pelakon dan penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz, bekas suami Bella.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg