Teratai mekar kembali: Fauziah Latiff atasi takut bikin konsert demi peminat yang tunggu 40 tahun
Teratai mekar kembali: Fauziah Latiff atasi takut bikin konsert demi peminat yang tunggu 40 tahun
KUALA LUMPUR: Matanya berkaca dan suaranya sedikit bergetar tatkala berbicara mengenai konsert 4 Decades Fauziah Latiff: Live in Concert yang bakal berlangsung pada 9 Mei depan.
Beberapa kali Fauziah dilihat menyeka air mata yang bertakung, lantaran rasa bersalah terhadap peminat setia yang terpaksa menanti hampir 40 tahun untuk menyaksikannya tampil dengan sebuah konsert berskala besar.
Bukan tawaran wang besar daripada penganjur, Ideatelier, yang membuatkan penyanyi berusia 55 tahun itu akhirnya membuka hati untuk mengadakan konsert, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebaliknya, rasa terhutang budi kepada kesabaran peminat yang membesar bersama lagunya membuatkan Fauziah tidak sampai hati untuk terus mengecewakan harapan mereka.
“Saya sedar peminat sudah lama menantikan momen ini. Itu yang berat sebenarnya.
Penantian lama bikin konsert kerana salah sendiri
“Namun saya meletakkan kesalahan itu pada diri sendiri. Mungkin sebelum ini saya terlalu takut.
“Setiap tahun memang ada penganjur menawarkan untuk menganjurkan konsert, tetapi saya belum bersedia.
“Terlalu banyak yang saya fikirkan. Saya tak boleh pentingkan diri sendiri dengan berkata, ‘oh aku Fauziah Latiff, ini konsert aku’, lalu boleh buat sesuka hati.
“Tidak… ini adalah konsert kita semua, jadi perlu dirancang dengan teliti dan terperinci,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman konsert berkenaan di sebuah hotel terkemuka.
Ingat pesanan arwah ayah yang tekankan kesempurnaan
Anggun mengenakan persalinan rona putih, Fauziah berkata pesanan ayahandanya, Allahyarham Sheikh Abdul Latiff, yang tidak gemar melihat kerja dibuat sambil lewa turut menjadi antara faktor mengapa beliau mengambil masa lama sebelum menyatakan persetujuan.
“Ini adalah tanggungjawab besar. Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak buat sesuatu, kena buat betul-betul.
“Niat saya menjayakan konsert ini adalah untuk meraikan semua, bukan hanya penonton, tetapi juga keseluruhan individu di depan dan belakang pentas termasuk pemuzik, pencipta lagu serta semua yang pernah terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Saya tidak berani menjanjikan konsert yang sempurna. Mungkin ada kelemahan, tetapi hasrat saya lebih kepada meraikan semua,” katanya lembut.
Jangan sampaikan bukan sahaja peminat tetapi diri sendiri bosan langsung tertidur
Fauziah turut mengakui ketakutannya sebelum ini berpunca daripada seleksi lagu-lagunya yang kebanyakannya berkonsepkan balada.
Untuk sebuah persembahan selama lebih dua jam, beliau bimbang penonton akan diburu kebosanan melayan lagu cinta dan patah hati.
Justeru, Fauziah kini sibuk mengkaji setiap bait lirik bagi merangka strategi menghidupkan suasana malam konsert agar penonton tidak bosan hingga tertidur.
“Saya amat bersyukur dan menghargai peminat kerana menerima lagu saya yang kebanyakannya bergenre balada.
“Cuma kalau semua lagu balada dinyanyikan malam itu, saya bimbang bukan saja penonton, malah saya sendiri boleh tertidur.
“Jadi banyak ulang kaji perlu dibuat untuk memastikan keseimbangan persembahan supaya peminat tidak bosan.
“Seperti saya katakan, perkara ini berat. Apa yang orang nampak di atas pentas nanti adalah hasil yang sudah elok, tetapi mereka tidak tahu bagaimana kami bekerja keras memerah otak berbulan-bulan untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” ungkapnya.
Fauziah turut meminta peminat tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi mengambil kira faktor usia, namun berjanji memberikan yang terbaik mengikut kemampuannya.
“Konsert ini adalah balasan saya kepada semua yang menyokong perjalanan seni saya.
“Takut memang takut, lebih-lebih lagi saya seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan. Namun saya akan cuba lakukan yang terbaik.
‘Otai’ pun masih rasa darah gemuruh
“Wallahi, walaupun sudah 40 tahun, sampai hari ini saya masih rasa gemuruh setiap kali hendak naik ke pentas,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun mempunyai kira-kira empat bulan sebelum konsert berlangsung, Fauziah mengakui tempoh berkenaan dirasakan tidak mencukupi untuk persiapan rapi.
Namun dari sudut positif, beliau melihat masa singkat itu memaksanya berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Kalau ikutkan pendapat peribadi saya, tempoh itu memang tidak mencukupi.
“Tetapi ada kebaikannya kerana saya tidak akan bermalas-malasan dan akan bekerja keras,” katanya.
Ingin rai Hari Ibu bersama emak tercinta
Konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) itu, juga akan menjadi dedikasi istimewa buat ibunya bersempena tarikh konsert kebetulan jatuh pada Hari Ibu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu menghadiahkan persembahan malam berkenaan buat ibu tersayang, selain sebagai penghormatan kepada wanita-wanita kuat yang melalui pelbagai onak dan duri kehidupan.
Tidak ketinggalan, satu segmen khas akan didedikasikan buat Allahyarham Adnan Abu Hassan, komposer yang banyak mencorakkan perjalanan seninya, yang dijangka menjadi momen penuh emosi dan kerinduan.
Sementara itu, guru vokal terkenal, Siti Hajar Ismail, yang bakal membimbing Fauziah sebelum konsert bermula, berkata sesi latihan sepenuhnya akan bermula minggu hadapan.
Menurutnya, fokus utama latihan bukan sekadar teknik nyanyian asas, sebaliknya membina semula stamina vokal penyanyi berkenaan.
“Untuk vokal ini sebenarnya bukan soal menyanyi kerana Jee (Fauziah) memang boleh menyanyi, tetapi saya mahu membina semula stamina suaranya.
“Banyak sesi pemanasan badan akan dilakukan merangkumi aspek fizikal dan vokal. Saya menyasarkan sekurang-kurangnya 20 sesi latihan dengan kekerapan dua atau tiga kali seminggu,” katanya.
Mengulas kritikan segelintir pihak terhadap kemampuan vokal Fauziah, Siti Hajar menjelaskan ia berkait rapat dengan penggunaan otot pernafasan dan peti suara yang kurang maksimum.
“Jee seorang yang sangat lemah lembut, jadi otot itu jarang digunakan sepenuhnya.
“Kita kena ‘gegarkan’ dia supaya suaranya menjadi lebih baik apabila otot-otot ini bekerja,” katanya.
Beliau turut mendedahkan Fauziah ada menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaannya menyampaikan jumlah lagu yang banyak, termasuk penguasaan nota tinggi dan rendah sepanjang konsert nanti.
Bagaimanapun, Siti Hajar yakin dengan semangat tinggi ditunjukkan penyanyi itu dan percaya latihan intensif selama dua hingga tiga jam sehari mampu membantu penyanyi jelita itu menampilkan persembahan yang mantap.
Tiket bagi konsert ini, yang berharga antara RM299 dengan RM6,999 (Super VIP), atau $95.15 dengan $2,226 (Super VIP) boleh ditempah mulai 26 Januari, menerusi laman Ticket2U, www.ticket2u.com.my/fauziahlatiff
Tiket paling mahal turut menawarkan peluang makan malam secara ‘fine dining’ atau jamuan mewah bersama Fauziah dan busana ‘couture’ (mutu jahitan tahap tinggi) hasil tangan Ezuwan Ismail.
Trivia tentang Fauziah Latiff
- Nama sebenar beliau ialah Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff.
- Fauziah Latiff merupakan juara ‘final’ Pesta Pujaan Kingsway 1989
- Fauziah meraih takhta Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1993: menerusi lagu “Teratai Layu di Tasik Madu”, ciptaan Allahyarham Adam Ahmad. Lirik tulisan S. Amin Shahab.
- Mengendalikan kedai Kacang Pool Haji di Port Seni Port Makan di Ara Damansara, hasil kerjasama dengan Haji Pool (Encik Makpol Saimon) dari Larkin, Johor Bahru serta penyanyi dan pengurus acara, Emma Rockers. Turut dikendalikan di bawah satu bumbung ialah studio muzik dan studio zumba yang dibuka bagi pengendalian acara korporat seperti sidang media.
- Menghabiskan masa terluang menghasilkan aksesori, yang pernah dibawa ke Singapura untuk dijual kepada peminat.

