KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan jantung penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 68 tahun, sudah mula merosot sejak petang 19 Jun sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, kira-kira 8.30 malam itu.
Berkongsi perkara itu, anak sulungnya, Ungku Chik Zafirul Azman, berkata doktor kemudian mengambil langkah susulan dengan memasang mesin untuk memantau kondisi jantung arwah, namun, keadaannya masih sama, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Anggaran waktu arwah meninggal dunia selepas waktu Maghrib, tapi masa yang tepat masih tunggu pengesahan hospital.
“Apa yang terakhir dimaklumkan adalah jangkitan paru-paru, cuma selepas diberikan antibiotik keadaannya mula nampak okey, tapi kondisi tetap dalam keadaan lemah.
“Kemudiannya, nafasnya mula berubah kira-kira 6.30 petang tadi. Arwah sudah ditahan di hospital sejak seminggu lalu.
“Doktor dan jururawat kemudian datang pasang mesin untuk pantau keadaan jantung, tapi bacaannya mula menurun,” katanya.
Mengulas keadaan ibunya sepanjang seminggu dimasukkan ke hospital, Ungku Chik Zafirul berkongsi penyanyi dangdut popular era 1980-an itu tidak bercakap dan hanya memberi respons melalui gerakan mata.
“Dalam seminggu ini, arwah tidak bercakap, cuma banyak respons melalui mata,” katanya yang kini masih di hospital untuk proses pengurusan jenazah.
Sementara itu, Ungku Chik Zafirul berkata pihak keluarga akan berkongsi mengenai lokasi pengebumian sebaik selesai urusan forensik di hospital.
“Sekarang, masih dalam pengurusan awal di hospital, tapi untuk dimandi dan dikebumikan di mana, itu masih dalam perbincangan.
“Selepas selesai urusan forensik di hospital barulah kami putuskan untuk jenazah ke mana. Apa yang pasti dikebumi di Johor juga, tapi di mana belum dipastikan lagi,” katanya.
Terdahulu, BHM melaporkan keadaan kesihatan Zaleha yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan, baru-baru ini.
Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz dilapor berkata isterinya dimasukkan ke HSA selama enam hari sebelum keadaan isterinya kembali seperti serangan angin ahmar pertama pada 2019.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg