Penyanyi veteran, Zaleha Hamid, yang dikenali sebagai pejuang irama dangdut, menghembuskan nafas terakhirnya kerana jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru sekitar 8.30 malam, 19 Jun, selepas isyak.
Berita ini dimaklumkan kepada Berita Harian (BH) oleh suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, menerusi pesanan WhatsApp.
Allahyarhamha Zaleha yang dikenali dengan jolokan ‘Ratu Dangdut’ di Malaysia dan Singapura berusia 65 tahun.
“Sudah seminggu dimasukkan ke hospital. Awal pagi, keadaan arwah masih okay, tetapi mula mengalami sesak nafas sebelah petang.
“Keadaannya mula nazak dan arwah menghembuskan nafas terakhir malam ini. Saya sempat mengajar arwah mengucap,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini pernah melaporkan keadaan kesihatan Zaleha, yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan, baru-baru ini.
Ungku Sulaiman berkata isterinya dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah selama enam hari tetapi kemudian dibenarkan keluar sebelum kembali dirawat di hospital berkenaan.
Keadaannya dikatakan kembali seperti serangan angin ahmar pertama pada 2019.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat lebihan kalsium dalam otak penyanyi yang popular pada 80-an itu dan diberikan ubat.
“Sejak keluar hospital, isteri sudah tidak boleh bercakap seperti biasa.
“Sebelum ini, percakapannya jelas, tapi kembali tak jelas selepas mengalami kekejangan.
“Lagi pun, bahagian dadanya banyak lendir, jadi saya terpaksa sedut menggunakan ‘vakum’.
“Secara kebetulan, alatan ini memang ada di rumah dan digunakan ketika mula-mula terkena angin ahmar untuk sedut muntah,” katanya lagi, pada ketika itu.
Allahyarhamha Zaleha dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang.
Antara lagu-lagunya yang masih diingati sehingga kini adalah Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Segan Segan, Pria Idaman, Jangan Kau Tangiskan, Kekasih Di Tangan Orang, Keluar Masuk, Jagung Bakar, Sakit Tapi Asyik, Takut Tapi Mengasyikkan, Sini Enak Sana Enak dan Teruna Idaman.
Ketika dihubungi BH, penyanyi dangdut Singapura, Masnie Mohamad, yang pernah disifatkan Zaleha sebagai penerus warisan irama dangdut di Singapura, berkata:
“Saya amat berdukacita dengan berita ini. Saya diberitahu Mama (panggilan buat Zaleha) keluar masuk hospital sejak sebelum Hari Raya Haji.”
Ungku Sulaiman turut memaklumkan isterinya perlu dibedah siasat di hospital terlebih dahulu sebelum urusan pengkebumian dikendalikan, sama ada di rumah mereka atau di rumah ibunya.
Allahyarhamha dilahirkan dalam keluarga yang berjiwa seni (golongan bangsawan). Ibunya merupakan seorang pemain bangsawan, manakala ayahnya pula ialah seorang pemain biola yang terkenal suatu masa dulu.
Sebelum muncul sebagai artis solo, Zaleha menganggotai kugiran Orkes Zindegi sebagai penyanyi utama pada era 1960-an hingga 70an.
Allahyarhamha telah berjaya mencatat banyak rekod bersama Orkes Zindegi sekitar era 1960-an hingga 70-an sekaligus menjadikan Orkes Zindegi sebagai salah satu kumpulan kugiran yang paling popular pada waktu itu.
Pada Julai 2019, Zaleha pernah mengadakan persembahan di Teater Luar Esplanade sempena Pesta Raya, anjuran Esplanade.
Ia dipercayai merupakan persembahan terakhirnya di Singapura sebelum dilanda strok.
Kemudian terdapat beberapa usaha mengumpul dana buatnya daripada penggiat seni di Singapura.
Masnie juga telah mengusahakan satu projek ‘cover’ empat lagu popular Allahyarhamha bersama rakan-rakannya yang mencintai irama dangdut, Henny Hanip, Roszalina Kaylin dan Dora Sudin.
Idea ini tercetus oleh pemuzik irama tradisional dan peniup seruling setempat, Rudy Jamil, daripada E’Lectus Band, sebagai satu penghargaan buat legenda yang masih ada agar sentiasa dikenang.
Jangan Kau Tangiskan, Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman dan Pria Idaman, merupakan lagu yang didendangkan.
Masih teringat lagi akan kerendahan hati Zaleha sewaktu wawancara bersama penulis pada 2019.
Beliau menjelaskan ada yang melamarnya untuk menjadi peraduan realiti irama dangdut di peringkat Nusantara, seperti dalam peraduan realiti, Dangdut Academy Asia (DAA), yang turut menampilkan peserta Singapura.
Namun, beliau yang merasakan dirinya belum cukup lengkap bergelar pengulas walaupun sudah memiliki berpuluh tahun pengalaman.
“Kadang tertanya, ‘Dah bagus ke aku ni menyanyi? Rasanya penarik beca dan pencuci pinggan mangkuk di Indonesia lebih cemerlang bab menyanyi dangdut daripada kita-kita di sini.
“Malah lagu asal mereka yang dinyanyikan secara santai diambil artis dan diolah sebagai lagu hit.
“Justeru, daripada saya kena kutuk dan sendiri dah tak sampai nak nyanyi lagu dangdut sampai tercungap, tak usahlah.
“Sebab itu, dalam setiap persembahan, saya selalu meminta maaf kepada penonton terlebih dahulu. Saya akan berikan yang terbaik dengan izin Allah. Tanpa-Nya semua tak mampu,” katanya lagi.
Al-fatihah buat Allahyarhamha Siti Zaleha Abdul Hamid, yang meninggalkan suami dan dua anak lelaki.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan arwah ditempatkan dalam kalangan golongan beriman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg