Sempena sambutan kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60), JING, yang terkenal dengan hidangan hotpot dan makanan panggang atau grill, menawarkan hidangan menu ‘SG60 Heritage’ hingga 30 Ogos.
Hotpot, yang berasal dari China, adalah hidangan yang dimasak di atas meja makan dengan periuk khas.
Hidangan itu disertakan dengan pelbagai bahan makanan di sisi untuk dicelup ke dalam sup berperisa yang dibiarkan mendidih.
Menu ‘SG60 Heritage’ menampilkan budaya makanan Singapura seperti kuah laksa Nyonya, yang berlemak dan beraroma, serta hidangan perapan seperti udang telur masin, ayam Hainan, rendang daging dan kari kambing.
JING turut menyediakan pencuci mulut klasik seperti kuih tradisional, sago mangga dingin dan bubur caca.
“Kami sangat bersyukur seluruh hidangan dalam menu ini diterima dengan begitu baik.
“Udang telur masin kami menjadi tumpuan – mungkin kerana warna keemasannya yang menarik, rasa manis dan masin yang seimbang, atau kerana ia jarang ditemui dalam bentuk bufet.
“Ramai pelanggan tidak dapat berhenti menambah hidangan ini,” kata Pengurus Pemasaran dan Penjenamaan JING, Sharifah Noura Aljunied.
Bagi pencuci mulut pula, bubur caca digemari kerana rasanya yang menyegarkan dan teksturnya yang berkrim.
Semua hidangan ‘SG60 Heritage’ ditawarkan untuk bufet biasa JING, bermula daripada $36.90++ untuk makan tengah hari pada hari bekerja.
Sempena sambutan ini, pengunjung juga boleh menikmati promosi eksklusif, seperti ‘Midday for Two’ pada harga $60++.
Promosi itu boleh dinikmati dari Isnin hingga Khamis, dari 12 tengah hari hingga 4 petang.
Selain itu, terdapat juga ‘Premium Trio’, yang menampilkan bahan seperti udang kara, rusuk kambing dan kaki ketam, pada harga $60++.
Promosi tersebut boleh dinikmati setiap hari sepanjang waktu operasi.
Alamat: 11 Tanjong Katong Road, #02-19/20, Kinex Mall, Singapura 437157
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 12 petang hingga 10 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg