Goreng Pisang King di Pusat Makanan Bedok Corner adalah destinasi wajib bagi pencinta hidangan tradisional pembangkit selera.
Sejak 2001, gerai itu menjadi tempat utama bagi mereka yang ingin mencari pisang goreng lazat sebagai makanan ringan.
Keistimewaan Goreng Pisang King terletak kepada cara penjualnya menyajikan pisang goreng sebagai hidangan cukup memikat.
Dengan kulit luar yang rangup dan garing, serta pisang lembut dan manis di dalamnya, ia memiliki gabungan kesepaduan rasa dan tekstur dengan setiap gigitan kuih tradisional ini.
Gerai itu juga terkenal dengan beraneka pisang yang ditawarkan daripada pisang kepok, pisang tanduk dan pisang raja, yang sangat manis dan berlemak isinya.
Ia juga menjual gorengan lain seperti cempedak, ubi kayu dan lain-lain lagi.
Selain itu, layanan ramah dan suasana santai daripada pengurus gerai, Cik Napsiah Sidin, menambah nikmat makanan di sini.
Lebih dikenali sebagai Mak Yah, pengurus berusia 72 tahun itu sudah bertugas di gerai itu selama lebih 20 tahun.
Apabila ditanya apakah keistimewaan pisang gorengnya, dengan penuh kerendahan hati, beliau menjawab bahawa bahan dan resipi gerai itu semuanya biasa-biasa sahaja.
“Orang yang menyiapkan pisang gorengnya semua manis-manis, jadi pisang goreng jadi semakin manis,” seloroh Mak Yah.
Senyumannya yang manis dan sikapnya yang sangat peramah mengundang pelanggan untuk kerap kembali.
Pisang yang dicelup ke dalam adunan tepung yang kemudian digoreng hingga warnanya keemasan, menjadikan ia santapan yang menyelerakan.
Setiap hidangan disiapkan dengan penuh dedikasi dan cinta.
Sekiranya anda berada di Pusat Makan Bedok, usah lepaskan peluang untuk merasakan kelazatan Goreng Pisang King yang memuaskan pencinta makanan tradisional.
Goreng Pisang King adalah contoh sempurna bagaimana kesederhanaan pisang goreng dapat mewujudkan pengalaman yang luar biasa.
Alamat: 1 Bedok Rd, Singapura 469572
Waktu Operasi: 7.30 pagi hingga 10 malam atau hingga habis dijual, setiap Isnin hingga Ahad
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg