Penulis, pengkaji warisan dan sejarawan makanan Singapura, Khir Johari, merangkul anugerah Best of All yang berprestij bagi buku hebatnya, The Food Of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through The Archipelago, di Gourmand Cookbook Awards 2025 yang ke-31.
Kemuncak majlis anugerah itu berlangsung pada 27 November di Riyadh, Arab Saudi. Acara gemilang ini meraikan rentak kepelbagaian, kreativiti dan keunikan penulisan gastronomi dunia, dan sering dijulang sebagai “Oscars” bagi dunia penerbitan kulinari.
Dalam edisi yang istimewa ini, presiden anugerah itu, Edouard Cointreau, mengurniakan pengiktirafan istimewa kepada buku Khir, satu-satunya karya yang pernah meraihnya dalam sejarah 30 tahun penganjuran.
Kemenangan bersejarah ini hadir empat tahun selepas buku itu (berharga $87.20 di Books Kinokuniya Singapore) dilancarkan pada 26 November 2021.
Buku itu menampilkan lebih 400 visual memukau makanan, manusia dan tempat di seluruh pelosok rantau Nusantara, serta 32 resipi hidangan teras budaya Melayu.
Cointreau turut berkata:
“Saya menjunjung tinggi Khir Johari atas usaha luar biasa dalam memelihara, mengumpul dan mengabadikan tradisi, rasa dan kisah masyarakat Melayu Singapura.
“Karya anda menjadi mercu kebanggaan di seluruh Nusantara, dan pencetus kepada satu gerakan budaya di mana anda akan sentiasa dikenang sebagai pengasasnya yang berjiwa besar dan berwawasan tinggi
Buku bergambar mewah ini sudahpun menempah nama dalam edisi-edisi terdahulu, menggondol Best of the Best Book pada 2023 dan Best of the Best in Food Culture pada Mac.
Ia juga meraih pelbagai penghormatan lain seperti NUS Singapore History Prize 2024 dan Book of the Year oleh Persatuan Penerbit Buku Singapura pada Singapore Book Awards 2022.
Dalam satu hantaran Facebook selepas majlis itu, Khir menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu “penghormatan yang melangkaui apa yang pernah saya bayangkan”.
“Intipati yang membuatkan ini lebih bermakna ialah kesedaran bahawa warisan makanan rantau kita semakin disinari dan dijunjung. Ia adalah pengiktirafan mutlak untuk Singapura dan seluruh rantau yang kisah, tradisi dan masyarakatnya menjadi tulang belakang buku ini,” jelasnya.
“Projek ini terhasil dari ikatan kerjasama ramai pihak: para penjaga berilmu, tukang masak dan para orang tua, pasukan produksi, serta semua rakan kerjasama dan penyokong yang membantu menjayakan penerbitan buku ini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg