Lawatan kami ke wilayah Xinjiang, China pada September lalu membuka tirai dengan pelbagai pengalaman luar biasa yang mengesankan, mencuit hati dan mencetuskan renungan mendalam.
Perjalanan kami meliputi empat bandar utama – Urumqi (empat hari), Turpan (dua hari), Kashgar (empat hari) dan Tashkurgan (satu hari) – setiap satu menawarkan perspektif berbeza tentang budaya, sejarah dan pengalaman masyarakat Muslim.
Rombongan kami seramai 17 orang dan ini kali ketiga kami mengembara bersama – sahabat lama dari Universiti Singapura (kini Universiti Nasional Singapura – NUS) sekitar tahun 1970-an.
Jika dahulu kami sibuk dengan buku, kuliah dan menganjurkan program kepemimpinan, kini kami sibuk mengatur itinerari dan berkongsi cerita cucu!
Namun, tujuan kali ini lebih daripada sekadar melancong.
Kami mahu menyelami sendiri kehidupan umat Islam di Xinjiang – bagaimana mereka bertahan, mengekalkan identiti dan membina masa depan.
Kami berangkat dari Singapura pada jam 2.30 pagi menaiki pesawat China Eastern dengan penerbangan pertama ke Kunming yang mengambil masa 4 jam setengah.
Selepas transit selama tiga jam, kami meneruskan perjalanan ke Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang, selama 4 jam setengah lagi.
Ketibaan kami di Lapangan Terbang Urumqi (URC) – yang secara kebetulan baru sahaja dibuka pada April – disambut mesra oleh pemandu pelancong kami, seorang wanita China etnik Han yang boleh berbahasa Inggeris, meskipun sebutan dengan loghat Cinanya kadangkala mencetuskan kekeliruan dan tawa kecil dalam kumpulan kami.
Misalnya, ‘show’ disebut ‘shoe’, menyebabkan sedikit salah faham yang lucu.
Namun, dedikasi dan keprihatinannya terhadap keperluan kami menjadikan beliau antara pemandu pelancong terbaik yang pernah kami temui.
Xinjiang ialah wilayah paling barat di China, bersempadan dengan beberapa buah negara termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Pakistan.
Luasnya mencakupi satu per enam tanah besar China, dihuni lebih 25 juta penduduk.
Hampir separuh daripadanya adalah etnik Uyghur Muslim, selebihnya bangsa Han dan etnik lain.
Sebelum berangkat, kami membayangkan Urumqi sebagai bandar gersang di hujung dunia, ketinggalan berbanding Shanghai atau Beijing.
Rupanya sangkaan itu meleset. Urumqi sebuah kota moden dengan bangunan pencakar langit, sistem pengangkutan cekap dan kemudahan awam yang tersusun.
Apa yang lebih mengejutkan – dan menggembirakan – adalah tahap kebersihan bandar ini.
Keresahan awal kami tentang tandas awam juga tidak berasas.
Kebanyakan destinasi yang kami kunjungi menyediakan tandas yang agak bersih dan selesa, walaupun dalam bentuk tandas cangkung atau ‘squat toilet’.
Walaupun tiada paip air untuk istinjak, kebersihannya dapat kami terima, lebih-lebih lagi di beberapa perhentian pelancong di mana penggunaan tandas agak sibuk.
Ini memberikan sedikit kelegaan kepada kami sepanjang perjalanan.
Destinasi pertama kami setibanya di sana ialah Urumqi International Grand Bazaar.
Seni binanya berinspirasikan Timur Tengah, penuh deretan kedai menjual kraf tangan, perhiasan, permaidani, rempah, roti, pastri dan buah-buahan kering.
Kami berasa ghairah menziarahi antara bazar yang terbesar di China.
Di International Grand Bazaar, pakej pelancongan kami juga termasuk bermakan malam di ruang banquet (dewan makan) yang besar di situ.
Kami dijamu juadah yang enak diiringi persembahan kebudayaan Uyghur yang penuh warna-warni – tarian lincah, muzik tradisional dan kostum etnik yang mempesona.
Tidak lengkap lawatan ke Urumqi tanpa ke Tasik Tianchi (Heavenly Lake), sebuah tasik yang dikelilingi hutan pokok cemara dan puncak Tianshan yang bersalji.
Pengalaman menaiki bot di situ adalah satu kenangan yang sukar dilupakan. Suasana di tasik ini begitu tenang dan memukau.
Angin sepoi-sepoi bahasa menyapu wajah, air tasik yang jernih berkilau di bawah cahaya matahari, seolah-olah membawa kita ke dunia lain yang penuh kedamaian.
Namun, tidak semua tarikan menepati jangkaan. Tianshan Grand Canyon yang kami kunjungi agak mengecewakan kerana hanya sebahagian kecil dibuka, jauh dari jangkaan ‘grand’ yang diberikan.
Xinjiang Regional Museum pula lebih menonjolkan sejarah pengaruh Dinasti China di wilayah itu daripada warisan Uyghur.
Mujurlah ‘Loulan Beauty’, mumia berusia 4,000 tahun yang masih terpelihara dengan baik, sedikit sebanyak mengubat kehampaan kami.
Di Nanshan Pasture (daerah bukit hijau), kami menikmati udara dingin dan pemandangan dengan kuda dan lembu yang bebas berkeliaran di padang rumput.
Lebih istimewa, kami menziarahi sebuah keluarga Kazakh untuk makan tengah hari di kediaman tradisional mereka yang dipanggil yurt.
Hidangan ringkas disajikan, sambil kami didendangkan muzik tradisional mereka.
Yang amat menusuk hati kami apabila kami dibenarkan keluarga itu untuk mengerjakan solat zuhur dan asar kami di rumah mereka itu.
Kami mengerjakan solat jemaah dengan penuh kesyukuran.
Dari Urumqi, perjalanan diteruskan ke Turpan, sebuah oasis penting di Laluan Sutera.
Dalam perjalanan tersebut, kami melalui Urumqi Wind Turbine Farm, satu kawasan luas yang menempatkan ratusan turbin angin yang menjana kuasa elektrik untuk wilayah tersebut.
Mereka seolah-olah barisan gergasi putih berbaris megah di padang pasir.
Bandar Purba Jiaohe menyingkap kisah kota purba yang suatu ketika dahulu menjadi pusat perdagangan antarabangsa dan kubu tentera lebih 2,000 tahun yang lalu.
Berjalan di lorong-lorong sunyinya terasa seperti kembali ke zaman silam.
Di Bezeklik Thousand Buddha Caves, lukisan mural berusia beberapa abad masih dapat dilihat, meskipun sebahagiannya telah rosak.
Kami diberitahu sebahagian artifak penting, termasuk stupa kecil, telah dicuri oleh ahli arkeologi warga asing dan kini berada di luar negara.
Semasa di sana, kami melihat pelancong lain menunggang unta di lereng bukit, menambahkan suasana seolah-olah berada di zaman kafilah Laluan Sutera.
Namun yang paling menyentuh hati ialah lawatan ke Lembah Tuyugou.
Desa Uyghur di situ, dengan rumah tanah liat dan masjid lama, menggamit rasa syukur.
Kami sedar Islam sudah berakar kukuh di sini sejak berabad lamanya.
Malah, seorang sahabat kami dipelawa masuk ke rumah seorang penduduk, tetapi kerana kesuntukan masa beliau menolak dengan baik.
Sepanjang perjalanan pulang, beliau menyesal kerana tidak sempat berbual panjang dengan keluarga itu.
Kami juga kagum dengan Telaga Karez. Ia merupakan satu sistem telaga purba yang membolehkan pertanian terus berkembang di kawasan kering dan panas.
Sistem ini membekalkan air secara berterusan melalui kuasa graviti. Pada zaman dahulu, ia memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di sepanjang Laluan Sutera.
Pemandangan paling ikonik ialah Flaming Mountains, gunung merah yang kelihatan seakan menyala apabila disinari matahari terik.
Kami juga berpeluang melawat Emin Minaret. Ia merupakan menara sebuah masjid yang kini berfungsi sebagai sebuah muzium.
Seni binanya menyerupai sebuah pagoda, maka struktur itu juga dipanggil Sugong Pagoda.
Beberapa kilometer dari situ, Grape Valley menghadiahkan keteduhan dan ladang anggur yang segar.
Kami sempat menziarahi ladang anggur yang dimiliki keluarga Uyghur.
Kami disambut mesra, dijamu anggur segar dan kismis Turpan yang terkenal lazatnya. Di situ kami diterangkan proses membuat kismis daripada anggur.
Kami sempat menunaikan solat zuhur berjemaah bersama kira-kira 60 jemaah tempatan, yang kesemuanya terdiri daripada kaum lelaki warga emas.
Kami bersyukur sangat melihat agak ramai warga tempatan ke masjid untuk berjemaah zuhur, walaupun hari itu bukan hujung minggu.
Imam yang memimpin solat juga bertindak sebagai bilal, melaungkan azan dan iqamat – suasana yang sederhana tetapi mengesankan.
Walaupun hotel moden dan kelihatan lengkap, akses Internet hanya dibuka kepada mereka yang ada nombor telefon tempatan. Pelancong asing tidak boleh mendaftar.
“No China number, no Wi-Fi,” kata petugas kaunter sambil tersenyum.
Kami pun terpaksa bergantung pada eSIM atau data roaming dari Singapura untuk membuka WhatsApp dan Google.
Namun, aplikasi tempatan seperti Alipay menjadi penyelamat.
Di sepanjang perjalanan kami itu, kami sering menggunakan Alipay untuk membayar pembelian kami, baik di pusat beli-belah besar mahupun di warung jualan di tepi jalan.
Malah, pengalaman menggunakan Alipay agak melucukan.
Seorang sahabat dalam kumpulan buat pertama kalinya menggunakan Alipay.
Beliau terkial-kial untuk membuat bayaran minuman kopi yang dibelinya.
Ini membuatkan penjual wanita Uyghur itu tersenyum manis sambil berkata dalam bahasa Mandarin, “No problem, take your time.”
Sahabat saya itu hanya mengangguk seperti memahami.
Selepas itu baru beliau diberitahu maksudnya oleh pemandu pelancong kami.
Di jalanan, kehadiran kami menarik perhatian.
Beberapa warga tempatan memandang penuh ingin tahu tentang kami.
Beberapa orang menyapa dengan senyuman dan bertanya kami datang dari mana.
Mereka meneka: “Malaysia? Indonesia?” – dan apabila kami menjawab Singapura, mereka terdiam sebentar, seolah-olah cuba memadankan rupa kami dengan peta dunia dalam fikiran mereka.
Lawatan ke Urumqi dan Turpan membuka mata dan hati kami.
Semua ini menjadi bekalan renungan sebelum perjalanan kami ke Kashgar dan Tashkurgan – destinasi kami seterusnya yang menanti dengan kisah ketabahan dan kekuatan rohani tersendiri.
Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg