KUALA LUMPUR: Peguam syarie mewakili Siti Khalizah Alihan, iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib, menyangkal dakwaan konon anak guam, iaitu isteri kepada Fikry Ibrahim, menarik balik permohonan cerai seperti didakwa pelakon dan pengacara itu dalam program Melodi terbitan TV3, pada 19 Jun.
Wan Muhammad Afiq berkata jika penarikan balik permohonan cerai dikemukan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, pada 19 Jun, seperti didakwa Fikry, tiada tarikh tangguhan ditetapkan bagi prosiding permohonan cerai terbabit, lapor BH Online.
“Ya betul. Mahkamah beri tempoh yang panjang untuk berdamai. Sebenarnya, kalau ia ditarik balik, maka, tiada tarikh tangguhan dan mahkamah tidak akan beri tarikh itu.
“Kami mohon tarikh selanjutnya bagi menunggu pendirian atau jawapan dari plaintif (Fikry). Kalau kami tarik balik semalam (19 Jun), maka, selesailah... Tiada tarikh tangguhan.
“Tiada tarik balik dibuat semalam. Betul apa yang media laporkan semalam. Saya pun takkan hendak memaklumkan (kepada media) perkara bertentangan,” katanya.
Fikry, yang ditemui media selepas siaran langsung Melodi di Balai Berita di sini pada malam 19 Jun, mendakwa Siti Khalizah hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi menarik balik permohonan cerai, yang difailkan, pada Mei.
Fikry mempertahankan rumah tangga bersama Siti Khalizah, yang dinikahi pada 12 Januari lalu, bahagia, malah, mendakwa mereka saling sayang-menyayangi.
Mengulas mengenai ketidakhadiran Fikry di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pada 19 Jun, Wan Muhammad Afiq berkata surat saman sudah pun diserahkan, namun plaintif tidak hadir.
“Soal dia (Fikry) hantar atau tidak anak guam kami ke mahkamah, itu di luar bidang kuasa kami. Apa yang pasti semalam dia tidak hadir.
“Kami semua memang tunggu pendirian dia sama ada dia hendak bersetuju atau tidak. Atau dia hendak berdamai sebab pada dasarnya, anak guam kami hendak berdamai. Jadi, kami mahu tahu pendirian plaintif, mahu berdamai atau tidak.
“Tetapi dia (Fikri) pun tidak datang semalam. Jadi, tak bolehlah beri jawapan balas. Hendak berdamai mungkin ada terma yang perlu diikuti. Mungkin boleh berbaik kembali, sebab itulah kita perlukan pendirian dan jawapan dia. Kalau dia (Fikry) datang semalam, kita boleh bincang atau dapat jawapan.
“Tetapi dia tidak datang. Jadi, kami tidak tahu pendirian dia. Sebab itulah mahkamah bagi tarikh tangguhan,” katanya.
Semalam, Wan Muhammad Afiq memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman.
Wan Muhammad Afiq, yang ditemui selepas selesai sebutan pertama tuntutan dan permohonan cerai pada 19 Jun, dilapor memberitahu prosiding akan bersambung pada 10 September depan untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak berdamai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg