Apabila anak sulungnya tiba-tiba tidak sedarkan diri hanya beberapa hari selepas dilahirkan, Cik Siti Khairunnisa Zulkifle bergegas membawanya ke hospital tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Mengimbau kejadian tersebut, Cik Khairunnisa berkata bayinya sedang menangis tetapi beliau tidak memberi susu dahulu kerana berpegang kepada panduan yang dikongsikan seorang jururawat bahawa bayi perlu disusukan sekali setiap tiga jam.

Sebagai ibu kali pertama, beliau berpegang teguh kepada panduan tersebut.

“Saya tunggu tiga jam baru saya beri susu lagi. Saya ingat saya sudah melakukan perkara yang betul,” kata ibu 34 tahun itu.

Namun, apabila anaknya tidak sedarkan diri, Cik Khairunnisa dan suaminya segera bergegas ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

“Saya panggil-panggil dia tetapi dia tidak bangun. Saya terus beritahu suami, kita perlu pergi hospital sekarang,” luahnya.

Bayinya kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana paras gula dan tekanan darah yang rendah dan menjalani rawatan di hospital selama sekitar dua minggu.

Pengalaman pada 2020 itu kekal dalam ingatan Cik Khairunnisa, 34 tahun, yang mengakui beliau kurang membuat persediaan mengenai penyusuan.

“Sebelum bersalin, saya banyak membuat persiapan tentang proses kelahiran dan barangan keperluan bayi. Tetapi satu perkara yang tidak terlintas di fikiran saya ialah penyusuan.

“Saya fikir semua ibu pernah melakukannya dan sangka ia akan berlaku secara semula jadi,” kongsi ibu dua anak berusia tiga dan enam tahun itu.

Beliau tidak mengikuti kelas penyusuan dan ketika itu juga tidak mempunyai ramai rakan yang berkongsi secara terbuka mengenai cabaran menyusukan anak.

Kejadian tersebut mendorongnya mendalami ilmu penyusuan, termasuk cara pelekapan (latching) yang berkesan dan memahami bahawa keperluan susu setiap bayi berbeza.

“Saya tidak tahu ada bayi yang perlukan susu lebih kerap. Perut bayi kecil, jadi mereka minum sedikit tetapi banyak kali. Ia satu pengajaran yang sangat menyakitkan bagi saya,” luahnya kepada Berita Harian (BH).

Pengalamannya turut membuka mata Cik Khairunnisa kepada pelbagai cabaran yang boleh dihadapi ibu menyusu, daripada kebimbangan mengenai bekalan susu dan kesukaran pelekapan kepada keletihan akibat jadual penyusuan yang berterusan.

Daripada pengalaman itulah akhirnya lahir jenama Milkforbubs yang menawarkan rangkaian makanan dan minuman laktasi yang mengambil kira keperluan ibu menyusu, termasuk mereka yang kembali bekerja dan perlu mengepam susu.

Sekitar empat bulan selepas melahirkan, Cik Khairunnisa menemui biskut laktasi ketika membuat penyelidikan mengenai penyusuan.

Namun, beliau mendapati harganya agak tinggi dan tidak menemui pilihan yang benar-benar menepati cita rasanya.

Justeru, ketika anaknya tidur, beliau bereksperimen pada waktu malam untuk menghasilkan biskut kecil dan rangup dengan bahan seperti oat, flaxseed, yis brewer dan badam.

“Bagi saya, ia tentang cara memasukkan bahan-bahan ini dan menjadikannya sesuatu yang sedap, yang ibu-ibu boleh nikmati dan nanti-nantikan,” katanya.

Bermula dengan membuat biskut dari rumah pada 2020, beliau kemudian menghasilkan granola laktasi buatan sendiri pada 2021.

Milkforbubs menghasilkan biskut laktasi dan berkembang mengikuti permintaan pelanggan.
Milkforbubs menghasilkan biskut laktasi dan berkembang mengikuti permintaan pelanggan. - Foto ihsan MILKFORBUBS

Beliau mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan untuk mendapatkan tekstur yang diinginkan bagi setiap produk sebelum memasarkannya.

Kini, biskut laktasi Milkforbubs ditawarkan dalam tiga perisa, Belgian Chocolate Oats, White Chocolate Almonds dan Dark Chocolate Sea Salt.

Jenama itu turut menawarkan granola dan brownies. Brownies itu dibungkus secara individu agar mudah disimpan di dalam peti sejuk beku dan dipanaskan apabila mahu dinikmati.

“Selepas semua orang tidur, ibu ada sesuatu yang boleh dinanti-nantikan dan dinikmati. Itu pemikiran saya,” katanya.

Apabila melahirkan anak kedua pula, Cik Khairunnisa mula membangunkan minuman laktasi yang lebih mudah dinikmati.

Hasilnya ialah Galactago Shake dalam perisa Belgian Chocolate dan Velvety Vanilla, yang mengandungi antaranya protein, flaxseed, oat, yis brewer, moringa dan daun katuk.

“Saya sendiri pengguna akhirnya. Saya cuba rasa dan lihat sama ada ia mudah larut. Saya tidak akan keluarkan produk yang saya sendiri tidak percaya,” katanya.

Menurut Cik Khairunnisa, beliau turut menerima maklum balas daripada pelanggan yang mendakwa melihat perubahan pada jumlah susu yang dipam selepas mengambil produknya.

Maklum balas Milkforbubs yang kongsi hasil susu yang meningkat setelah makan produk laktasi.
Maklum balas Milkforbubs yang kongsi hasil susu yang meningkat setelah makan produk laktasi. - Foto ihsan MILKFORBUBS

Seorang pelanggan berkongsi bahawa hasil susunya meningkat daripada sekitar 60 hingga 90 mililiter kepada 160 mililiter, manakala seorang lagi mendakwa mampu memperoleh lebih 120 mililiter dalam tempoh 20 minit berbanding tempoh lebih panjang sebelum itu.

Daripada perniagaan kecil-kecilan di rumah, Milkforbubs kini beroperasi dari dapur pusat dan kini juga boleh didapati di cawangan Mothercare terpilih dan KKH, selain menerusi platform e-dagang seperti Shopee.

Menurut Cik Khairunnisa, peluasan saluran penjualan itu bertujuan memudahkan lebih ramai ibu menyusu mendapatkan produk sebagai sebahagian daripada sokongan sepanjang perjalanan penyusuan mereka.

“Penyusuan bukan ‘one size fits all’. Setiap ibu ada cabaran tersendiri.

“Tidak ada penghakiman daripada kami. Kerja kami adalah menyokong ibu dalam apa juga cara yang diperlukan untuk menjadikan perjalanan penyusuan itu lebih mudah,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti