Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan terhad dorong ibu hasilkan biskut laktasi diyakini
Pilihan terhad dorong ibu hasilkan biskut laktasi diyakini
Pilihan terhad dorong ibu hasilkan biskut laktasi diyakini
Dari dapur hotel bertaraf lima bintang kepada pemilik Gula Sg, Cik Nor Munirah Abdul Gaffar, meninggalkan kerjaya sebagai cef pastri selama 11 tahun, yang membuka jalan kepada sesuatu yang bermakna bagi ibu dan bayi.
Cik Munirah, 37 tahun, bergelar cef pastri di hotel terkenal seperti Pan Pacific, Four Seasons dan Grand Hyatt dan membuat keputusan besar ketika hamil anak sulungnya.
“Waktu itu saya bekerja dari 7 pagi hingga 11 malam. Selagi kerja tak habis, selagi itu kita tak balik. Bila saya nak mulakan keluarga, saya cakap kepada suami, saya tak boleh teruskan kehidupan macam ini,” luahnya kepada Berita Harian baru-baru ini.
Daripada situ, lahirlah Gula Sg pada 2015 sebagai perniagaan dari rumah (HBB), yang pada awalnya hanya menjual tiga perisa biskut biasa iaitu Classic Chocolate Chip, White Chocolate Cranberry dan White Chocolate Almond.
Namun, setahun kemudian, sesuatu mula mengusik hatinya.
“Saya tengok ramai ibu di sekeliling saya susah nak cari biskut laktasi yang halal. Saya tertanya-tanya kenapa untuk sesuatu yang sangat penting, pilihannya begitu terhad,” katanya.
Antara sebab biskut tersebut tidak halal ialah penggunaan bahan yis pembruan (‘brewer’s yeast’) yang didapati dalamnya.
Beliau kemudian menghabiskan hampir tiga tahun menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), dibantu keluarga, rakan-rakan serta ibu yang baru bersalin sebagai penguji rasa.
“Ada yang cakap terlalu banyak bijirin oat, ada yang kata tak membantu tingkatkan susu badan. Jadi kami perlu cari keseimbangan antara rasa, tekstur dengan keberkesanannya.”
Hasil usaha itu, Gula Sg melancarkan biskut laktasi halal pada 2017. Hari ini, terdapat tiga perisa, German Oatmeal, Cranberry Oats dan French Butter Caramel yang dijual pada $30.
Cik Munirah berkata beliau hanya menggunakan mentega Perancis, oat organik, biji flaks (flaxseed) organik dan coklat Callebaut kerana mahu memastikan setiap biskut yang dihasilkan bermutu tinggi.
“Sambutan daripada ibu amat memberangsangkan. Biasanya tekstur susu badan lebih cair, dan antara maklum balas selain lebih susu ialah teksturnya yang lebih pekat. Ia membantu bayi rasa lebih kenyang,” ujarnya.
Namun, bagi Cik Munirah, kejayaan sebenar bukan terletak pada jualan.
Beliau masih mengingati seorang pelanggan yang menghantar mesej pada 3 pagi ketika bayinya dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
“Doktor meminta ibunya memberi susu badan kepada anaknya tetapi bekalannya terlalu sedikit.
“Saya cakap kepada suami, mesti ibu ini betul-betul terdesak sampai mesej awal pagi macam ini. Jadi 5 pagi saya terus bangun dan bakar biskut untuk dia.”
Dua hari kemudian, ibu tersebut memaklumkan bekalan susunya bertambah baik sehingga bayinya dibenarkan pulang dari hospital lebih awal daripada yang dijangkakan.
“Itulah saat yang paling saya tak boleh lupa. Saya rasa sangat bersyukur sebab dapat bantu seorang ibu dan bayinya.”
Selain daripada itu terdapat beberapa ibu yang rasa tertekan apabila bekalan susu badan tidak mencukupi.
Menurut Cik Munirah, ada juga ibu yang tidak mampu membeli biskut tersebut.
“Saya halalkan sahaja. Saya faham sebagai seorang ibu, kita sanggup buat apa sahaja untuk anak.
“Saya juga selalu pesan, jangan terlalu tertekan kalau tak dapat menyusukan bayi sepenuhnya. Yang penting ibu sihat, bayi kenyang dan kita sudah lakukan yang terbaik.”
Selepas hampir sedekad beroperasi dari rumah, Gula Sg kini melangkah setapak dengan pembukaan kafe di sebuah kondominium di Tanah Merah Kechil pada Januari 2026.
Selain biskut laktasi, pelanggan boleh menikmati pastri seperti Lemon Blueberry Crumble, Dark Chocolate Cake, Kaya Butter Croissant dan Pain au Chocolat, serta Mak’s Nasi Lemak Bungkus yang dihasilkan bersama bapa dan adiknya.
Tema vintaj kafe itu pula diinspirasikan oleh arwah ibunya, daripada meja marmar hijau hinggalah suasana klasik yang mengimbau kenangan zaman membesar.
“Saya tak hanya mahu hubungan antara penjual dengan pelanggan. Saya mahu setiap ibu yang datang rasa mereka dialu-alukan seperti keluarga,” jelasnya.
Gula Sg
Alamat: Urban Vista Condominium, 8 Tanah Merah Kechil Link, #01-48, Singapura 465420Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad, 9.30 pagi hingga 5 petang