Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerkasa anak kata ‘tidak’, kenal pasti ‘red flag’, sedia ruang selamat bagi anak luah masalah
Perkasa anak kata ‘tidak’, kenal pasti ‘red flag’, sedia ruang selamat bagi anak luah masalah
Panel di acara DNA: Anak perlu dilengkapi dengan pengetahuan, keyakinan kenal pasti keadaan tidak selamat, tetapkan batasan dan bersuara apabila tidak selesa
Perkasa anak kata ‘tidak’, kenal pasti ‘red flag’, sedia ruang selamat bagi anak luah masalah
Sejak kecil lagi, kanak-kanak sering diajar untuk mendengar dan mematuhi orang dewasa di sekeliling mereka yang boleh dipercayai.
Namun, bagaimana jika seseorang yang dipercayai mula melanggar batasan mereka?
Persoalan itu merupakan antara keprihatinan yang timbul susulan satu kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang dianggap ibarat bapa kepada dua beradik bawah umur telah merogol dan mencabul mereka.
Dalam memahami bagaimana ibu bapa dapat menyokong dan melindungi kanak-kanak dari gangguan seksual, Berita Harian (BH) telah mengadakan satu sesi podcast dan perbincangan langsung bertajuk Didik Anak Kata ‘Tidak’ di Auditorium SPH di Toa Payoh North pada 12 September.
Sesi tersebut telah dikendalikan penerbit podcast BH, Cik Natasha Mustafa, dan koresponden serta penulis ruang Dunia Anak (DNA) ini, Cik Nur Dhuha Esoof, serta tiga ahli panel yang terdiri daripada Pakar Psikologi Klinikal Kanan dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hayaa Network, Ustazah Liyana Musfirah; serta Pekerja Sosial Kanan PPIS, Cik Siti Khadeejah Muabdu.
Antara perkara utama yang ditekankan semasa sesi tersebut adalah perlunya kanak-kanak dilengkapi dengan pengetahuan dan keyakinan untuk mengenal pasti keadaan yang tidak selamat, menetapkan batasan dan bersuara apabila berasa tidak selesa.
Mengapa anak sukar bersuara?
Bagi sesetengah kanak-kanak, mengenal pasti penderaan atau gangguan bukan sesuatu yang mudah.
Lebih-lebih lagi apabila berlakunya kelakuan ‘grooming’, yang merupakan satu proses apabila orang dewasa membina kepercayaan untuk mengambil kesempatan terhadap mereka secara seksual.
Cik Khadeejah berkongsi bahawa kanak-kanak masih berada dalam fasa pembangunan dan masih memahami pembezaan antara baik dan buruk.
Justeru, sukar untuk mereka mengenal pasti penderaan apabila hadir dalam bentuk ‘grooming’ oleh sosok yang dipercayai, disayangi, dan terdekat dengan mereka.
Menurut Encik Haikal, ‘grooming’ merupakan satu proses yang lazimnya tidak bermula dengan kelakuan yang jelas salah.
Seringkali, ia bermula dengan perhatian dan keprihatinan oleh pesalah sebelum membina kepercayaan bersama kanak-kanak.
Lama kelamaan, hubungan mereka menjadi lebih istimewa dan batasan mula dilanggar.
“Apabila ini berlaku, kanak-kanak mula merasakan apa yang salah itu menjadi betul kerana ada unsur kepercayaan terhadap pelaku,” kata Encik Haikal.
Justeru, penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku dari orang dipercayai.
Ustazah Liyana juga menekankan kepentingan kanak-kanak memahami bahawa mereka mempunyai hak terhadap tubuh dan ruang peribadi sendiri, tanpa mengira hubungan antara kanak-kanak dan orang sekeliling mereka.
Sediakan ruang yang selamat
Untuk memperkasa anak apabila berdepan situasi yang tidak diingini, peranan ibu bapa perlu melangkaui pemantauan anak sahaja.
Menurut Cik Khadeejah, ibu bapa juga perlu memastikan anak mempunyai seseorang untuk bercerita apabila berdepan dengan sesuatu yang mengelirukan atau menakutkan.
“Ibu bapa perlu mewujudkan ‘safe space’ atau ruang yang selamat untuk anak kongsikan apa sahaja yang berlaku tanpa kesukaran,” jelas Cik Khadeejah.
Dengan ruang demikian, anak dapat berkongsi dengan lebih mudah dan tidak berasa takut untuk berbuat demikian.
Namun, bagaimana kita dapat mewujudkan ruang sebegitu?
Bagi Encik Haikal, beliau menekankan kepentingan untuk tidak memperlekehkan perasaan anak, baik dari segi jantina anak mahupun isi perkongsian anak.
Menurut beliau, kededua anak lelaki dan perempuan mempunyai keperluan emosi daripada ibu bapa, yang tidak boleh diabaikan kerana ia akan menjejas keinginan anak untuk berkongsi dan mendekati ibu bapa apabila diperlukan.
“Kita perlu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan anak berkongsi, tidak kira ianya perkongsian yang menggembirakan mahupun menyedihkan.
“Kalau kita tidak memberikan peluang untuk anak berkongsi tentang perkara kecil seperti hari mereka, mereka akan rasa diperlekeh dan mungkin tidak akan mendekati kita apabila ada berita yang memalukan atau menyedihkan,” tambah beliau.
Dengan membiasakan diri mendengar luahan anak, ibu bapa boleh menjadi individu pertama yang dicari anak apabila mereka berdepan masalah.
Cik Khadeejah turut berkongsi panduan T.I.P.S. yang boleh diamalkan ibu bapa:
- Tahu
- Interaksi
- Peka
- Selamat
Ajar batasan sejak kecil lagi
Ibu bapa juga perlu mengajar anak tentang batasan tubuh dan ruang peribadi sejak usia muda.
Selain mengajar anak tentang “sentuhan baik” dan “sentuhan buruk”, anak juga perlu memahami tentang tempat atau keadaan yang memerlukan privasi.
Sebagai contoh, Encik Haikal berkata anak perlu dididik tentang aktiviti peribadi seperti menggunakan tandas atau menyalin baju yang memerlukan privasi daripada orang lain.
Pendidikan tersebut juga perlu dicontohi ibu bapa.
Misalnya, ibu bapa juga perlu mengamalkan pembezaan antara sentuhan yang baik dan buruk bersama anak agar anak tidak keliru dan faham bahawa sentuhan demikian tertakluk kepada semua orang.
Satu lagi contoh adalah apabila ibu bapa dan anak menggunakan bilik tandas yang sama, mereka juga perlu saling memberi privasi kepada satu sama lain, seperti memandang ke tempat lain, agar anak memahami bahawa tempat seperti tandas dan alat sulit mereka adalah peribadi.
Menurut Ustazah Liyana, dengan mengajar anak tentang sentuhan yang sesuai dan ruang serta keadaan yang disifatkan peribadi, anak dapat memahami bahawa mereka juga mempunyai hak yang wajar dipertahankan.
Kenali bendera merah atau ‘red flag’
Ustazah Liyana turut menekankan kepentingan membantu anak memahami apa yang benar dan salah, termasuk apabila sesuatu nasihat atau arahan bercanggah dengan nilai agama dan keselamatan diri.
“Dalam ajaran Nabi s.a.w., selagi satu perkara itu tak sesuai dengan agama, selagi itu, kita tidak wajib taat, walaupun arahan itu datang dari seorang ulama, ibu, bapa, mahupun pengetua,” jelas beliau.
Justeru, anak perlu dididik membezakan tentang perkara yang baik dan buruk dan membuat keputusan sendiri sama ada mereka patut mentaati satu arahan itu.
Satu soalan yang dikongsikan Ustazah Liyana yang boleh dijadikan panduan untuk anak adalah: “Adakah saya rasa selamat?”
Sekiranya perkara itu membuat mereka keliru atau tidak selesa, anak perlu belajar untuk mengatakan “tidak”.
Cik Khadeejah turut berkongsi panduan yang sama untuk diajarkan kepada anak iaitu: “Tidak, Pergi, Beritahu”.
Dalam panduan ini, anak perlu mengenal pasti keadaan dan rasa diperkasa untuk berkata “tidak” dan menghentikan satu aktiviti itu kerana mereka rasa kurang selesa.
Selepas itu, mereka perlu memaklumkan orang dewasa yang boleh dipercayai tentang kejadian itu.
Namun, Cik Khadeejah berkata panduan ini bukan sahaja untuk aktiviti yang mungkin mencetuskan rasa curiga, malah juga untuk rahsia yang tidak selamat.
Semasa sesi tersebut, beliau menyifatkan rahsia tidak selamat sebagai rahsia yang disertai ugutan atau arahan untuk tidak memberitahu sesiapa.
Ini berbeza daripada rahsia tentang kejutan hari lahir yang bersifat sementara dan tidak membahayakan.
Lantas, anak perlu dididik untuk mengenal pasti apabila satu aktiviti, arahan, atau rahsia tidak selamat, sesuai, dan betul, dan diperkasa untuk menolaknya.
Seperti yang dirumuskan dalam sesi tersebut, ibu bapa mungkin tidak mampu mengawal setiap individu yang ditemui anak mereka.
Namun, masyarakat boleh membina sebuah persekitaran yang memastikan kanak-kanak mengenali hak mereka, berani menetapkan batasan dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, akan ada seseorang yang mendengar luahan mereka.
Acara ‘Dunia Anak (DNA) Live Podcast’ anjuran Berita Harian (BH) baru-baru ini merupakan antara pelbagai usaha akhbar ini untuk mendekati pembaca termasuk golongan ibu bapa.
Apakah topik-topik keibubapaan lain yang wajar dikupas dengan lebih mendalam?
Kongsi idea dan saranan anda bersama Koresponden dan penulis ruangan DNA, Cik Nur Dhuha Esoof, melalui e-mel di nurdhuha@sph.com.sg.

