Kaya dengan rempah, penuh dengan rasa yang membuka selera serta lain daripada lain.
Itulah yang boleh dirumuskan mengenai masakan Indonesia yang disajikan restoran Peppermint di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay, menerusi bufet Wonderful Indonesia.
Sajian bufet ini boleh anda nikmati hingga 31 Mac 2025.
Para pengunjung juga dihidangkan dengan pelbagai juadah yang mempamerkan keunikan cita rasa Indonesia.
Ia termasuk hidangan berasaskan daging yang diperap dengan rempah aromatik hinggalah makanan laut yang dibakar dengan sos pedas dan manis.
Ayam Bakar Bumbu Keluwak menyerlah dengan gabungan rasa buah keluak yang disalai dan herba aromatik yang meresap ke dalam daging ayam yang lembut.
Sementara itu, Bebek Betutu, itik panggang dengan rempah khas Bali, menawarkan kelembutan luar biasa dengan lapisan rasa pedas, manis dan berempah yang seimbang.
Bagi penggemar makanan laut, Lobster Bakar Bumbu Jimbaran, pasti akan memikat hati dengan kemanisan isi udang karang segar yang disalut rempah-ratus, bagi memenuhi cita rasa ramai penggemar masakan Indonesia.
Ikan Acar Kuning, yang disajikan cukup rangup, diperkaya dengan rasa masam dan segar daripada jeruk kunyit.
Bagi peminat daging, Whole Kambing Guling dan Black Angus Beef Guling, menawarkan daging panggang yang lembut, diperap dengan rempah khas Indonesia.
Ia menghasilkan lapisan rasa yang kaya dengan cebisan aroma salai yang menggoda sesiapa sahaja untuk mencubanya.
Sajian bufet di Peppermint itu adalah hasil air tangan dan juga usulan cef terkemuka dari Indonesia, Cef Degan Septoadji.
Beliau telah mengharumkan nama masakan Nusantara di pentas dunia.
Berbekal pengalaman lebih 30 tahun, beliau juga merupakan juri peraduan realiti, MasterChef Indonesia (Musim 2 dan 3), dan tenaga pengajar di Le Cordon Bleu.
Cef Degan bekerjasama dengan Cef Leon Yee, yang merupakan Chef de Cuisine atau Ketua Dapur Restoran Peppermint, dalam memastikan setiap hidangan membawa keaslian cita rasa Indonesia.
Ketika Kaki Makan mengunjungi restoran itu, ia seolah-olah membawa penulis singgah ke Indonesia seketika.
Hiasan dalaman restoran menyerlahkan ciri tradisional budaya Indonesia.
Lebih menarik, penulis menikmati makan malam dengan persembahan tarian tradisional Indonesia, menjadikan pengalaman menjamu selera lebih istimewa dan terpahat dalam ingatan.
Selain hidangan utama, bufet itu turut menawarkan pelbagai pilihan vegetarian seperti Jukut Nangka Mekuah, kari nangka Bali yang berkrim dengan santan pekat, serta Sayur Lodeh, hidangan sayur-sayuran dalam kuah berempah.
Tidak ketinggalan, Gado-Gado, salad sayur campuran dengan sos kacang pekat yang manis dan pedas.
Bagi mereka yang berbuka puasa, terdapat sudut khas Buka Puasa Takjil yang menyajikan Kolak Pisang, pisang rebus dalam kuah santan manis dengan aroma gula melaka; Bubur Pulut Hitam yang menyegarkan dengan sentuhan krim kelapa; serta Bolu Gulung Ondeh, kek sifon gebu berinti pandan, kelapa dan gula melaka.
‘Takjil’ merujuk kepada makanan atau minuman ringan yang dimakan untuk berbuka puasa sebelum menikmati hidangan utama.
Dalam budaya Indonesia, ‘takjil’ sering merangkumi juadah manis seperti kolak pisang, serta minuman segar seperti ‘es buah’ dan ‘es cendol’.
Harga untuk menikmati bufet ‘Wonderful Indonesia’:
Makan malam hari biasa (Isnin hingga Khamis, 6.30 petang hingga 10 malam): $98++ (dewasa) dan $49++ (kanak-kanak)
Makan malam hujung minggu (Jumaat hingga Ahad dan cuti umum, 6.30 petang hingga 10 malam): $112++ (dewasa) dan $56++ (kanak-kanak)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg