Di Pusat Makanan Eunos Crescent yang sibuk, Epok Epok Central merupakan ‘permata kulinari’ dengan hidangan nasi lemak tradisional yang berharga kurang $3.50 sepinggan.
Sebagai pemilik generasi kedua, Encik Lokman Kassim telah mewarisi bukan sahaja perniagaan tetapi warisan membuat nasi lemak tradisional selama lebih 30 tahun daripada ibu bapanya.
Aroma nasi lemak yang dimasak dengan santan merupakan bukti penyediaan rapi yang bermula seawal 5 pagi setiap hari.
Setiap elemen nasi lemak dilaksanakan dengan tepat, bahkan nasi yang cukup lemak dan wangi itu boleh dinikmati begitu sahaja.
Sambal nasi lemaknya pula mempunyai rasa manis dan rempah-ratus yang cukup ‘harmoni’ sekali gus melengkapi nasi lemak itu.
Antara hidangan sampingan yang disajikan dengan nasi lemak itu ialah kepak ayam yang digoreng dengan sempurna, dengan bahagian luar yang sangat rangup.
“Nasi lemak paling laris kami ialah Nasi Lemak Ayam Goreng. Ayamnya hanya disediakan dengan menggunakan tiga hingga empat bahan sebagai bahan perapan,” kongsi Encik Lokman.
Ikan bilis yang rangup pula memberikan kontras yang enak. Dengan rasa masin yang mencukupi, apabila dimakan bersama kacang tanah goreng, ia seakan mencipta pengalaman bertekstur apabila ia dimakan bersama-sama.
“Pekerja saya akan datang seawal 5 pagi untuk menyediakan semua bahan keperluan nasi lemak yang diperlukan dan kami akan mula menjual pada 6.45 pagi. Nasi lemak kami akan habis dijual kira-kira 1 petang, sebelum kami menjual epok-epok pula,” tambah Encik Lokman.
Barisan pelanggan beratur yang tidak putus-putus jelas menunjukkan permintaan pelanggan yang rancak kerana walaupun terpaksa beratur panjang, pelanggan tetap sabar dan ghairah menunggu giliran mereka.
Rahsia di sebalik kejayaan Epok Epok Central bukan sahaja terletak pada resipi turun-temurun ibu bapanya bahkan pada komitmen terhadap mutu dan tradisi.
Satu lagi sajian popular gerai itu ialah karipap yang mula dijual pada 3 petang. – DAHLIA ZULKIFLI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg