Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Reda ketika dikurnia nikmat, ditimpa musibah

Perlu fahami hubungan yang saling melengkapi antara ujian dan keredaan agar umat Islam dapat peroleh ketenangan, kebijaksanaan dalam hadapi liku-liku hidup
Aug 11, 2023 | 05:30 AM



Ujian dan keredaan adalah dua aspek yang ada hubungan erat dalam kehidupan seorang Muslim.

Ujian merupakan cabaran dan dugaan – sama ada nikmat mahupun musibah – yang kita hadapi, sementara keredaan adalah sikap menerima ujian tersebut dengan lapang dada.

Ketika kita memahami hubungan yang saling melengkapi antara ujian dan keredaan, kita memperoleh ketenangan dan kebijaksanaan dalam menghadapi liku-liku hidup.

PENGERTIAN REDA

Reda dari segi bahasa adalah menerima sesuatu dengan senang hati.

Dari segi istilah, reda adalah menerima sesuatu dengan rasa senang, ikhlas dan dengan penuh ketaatan dengan apa yang diberikan oleh Allah swt – baik berupa peraturan (hukum) mahupun segala ketentuan-Nya (qadak).


Merupakan salah satu rukun iman, keredaan pada qadak dan qadar ialah salah satu sifat utama dalam diri seorang Muslim.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 200 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”


Ibnul Qayyim pernah berkata bahawa sesuatu yang telah ditetapkan memerlukan dua hal, iaitu tawakal sebelumnya dan reda sesudahnya.

Maka barangsiapa tawakal kepada Allah, sebelum wujud perbuatan dan reda terhadap apa yang telah ditetapkan, bererti dia telah melaksanakan ubudiyyah – prinsip atau sifat manusia sebagai hamba kepada Allah.


REDA TERIMA NIKMAT

Setiap hamba Allah pasti diuji. Namun, kita harus ketahui bahawa setiap ujian yang diberi adalah selaras dengan kemampuan diri seseorang.

Perkara ini telah dinyatakan melalui firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”


Maka, takdir ataupun ketentuan-Nya terdiri daripada dua perkara – nikmat dan musibah.

Ketika dikurniakan nikmat – dari segi kesihatan, kewangan dan sebagainya – manusia berasa senang hati menerima ketentuan ini.

Bukan sahaja keredaan penting atas nikmat yang diberi, malah kita perlu juga suntik kesyukuran atas pemberian-Nya untuk meraih nikmat yang berganda.

Firman Allah swt dalam Surah Ibrahim, ayat 7: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur (ingkar), sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.


REDA DITIMPA MUSIBAH

Jika seseorang ditimpa musibah, pastinya ia sesuatu yang sukar diterima, sehinggakan ada kala menyoal kenapa musibah tersebut ditimpa atas diri kita.

Oleh itu, untuk menjauhi sifat ini, penting untuk kita fahami tujuan mengapa seseorang diuji.

Seperti yang disabdakan Baginda saw, seorang Muslim itu diuji untuk dihapuskan dosa-dosanya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari dan Muslim).


Jadi, bagaimana caranya untuk kita menerima sesuatu musibah dengan reda?

Dalam hal ini, kita boleh perhatikan kaitan antara musibah dan keimanan.

Setiap kali seseorang itu diuji, keimanannya menjadi penentu sama ada beliau mampu menghadapi ujian tersebut dengan reda atau sebaliknya.

Maka, lebih berat ujian yang dihadapi, semakin tinggi keimanan perlu diraih untuk berjaya mengharunginya dengan reda.

Dalam pada itu, kita harus bersikap positif bahawa Tuhan tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya.

Segala kejadian di dunia ini berlaku atas kehendak dan ketentuan-Nya, maka penyelesaian segala ujian perlu dikaitkan semula kepada-Nya.

Antaranya termasuk memperbanyakkan doa, menjauhi sifat putus asa serta mengingati bahawa ujian datang untuk mempertingkat keimanan seorang Muslim.

Sabda Baginda saw: “Sungguh hebat keadaan orang Mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, itu juga adalah kebaikan”. (HR Muslim).


KEUTAMAAN SIFAT REDA

1. Memperoleh ketenteraman dan ketenangan;

2. Sentiasa mengingati Allah; dan

3. Ilmu Allah mendahului segala sesuatu.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu percaya bahawa setiap kejadian sudah dicatat di Lauh Mahfuz – kitab yang menuliskan seluruh catatan Allah swt mengenai takdir dan kejadian yang terjadi di alam semesta.


Justeru, Allah mengetahui setiap sesuatu tentang segala yang diadakan, yang tiada, yang mungkin, juga yang mustahil. Dia mengetahui segala yang terjadi dan belum terjadi. Semua ini merupakan ilmu-Nya dan hanya Dia mengetahui setiap sesuatu yang baik untuk hamba-Nya.

Oleh itu, kita perlu berfikiran positif dan yakin akan ketentuan Al-Alim (Yang Maha Mengetahui) dan Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana).


Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216: “...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”


MELAHIRKAN SIFAT REDA

1. Ketika diuji, lazimi ucapan: “Innalillahi wainna ilaihi raaji’un” (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan);


2. Ingat akan nikmat Allah swt yang luas;


3. Perbanyakkan zikir;

4. Tingkatkan ibadah sunah;

5. Sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah;

6. Bersangka baik kepada Allah; dan

7. Melazimi majlis ilmu dan pertingkatkan kefahaman agama.

KESIMPULAN

Lumrah kehidupan pasti ada pasang surutnya. Ada kalanya kita berada di atas dan ada kalanya kita di bawah.

Namun, ujian yang ditimpa mengangkat darjat mereka yang beriman dan beramal soleh.

Melahirkan keredaan melalui lisan adalah mudah, namun hakikat keredaan jatuhnya di hati. Maka, sentiasa mendidik jiwa dengan sifat reda dan sentiasa mengambil hikmah di sebalik sesuatu ujian.

Semoga kita sentiasa mencari mardhatillah (keredaan Allah) dan menjauhi perkara mungkar yang boleh mengundang kemurkaan-Nya.


Firman-Nya dalam Surah At-Taubah ayat 59: “Jika mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata: “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurniaan-Nya dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >