Topik diikuti
Pergi ke BHkuJ65 di Jen Singapore Tanglin dinobat Restoran Halal Terbaik 2026
J65 di Jen Singapore Tanglin dinobat Restoran Halal Terbaik 2026
Restoran bufet halal J65 di hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La, yang terletak di 1A Cuscaden Road, dinobatkan sebagai Restoran Halal Terbaik di Anugerah RAS Epicurean Star 2026.
Anugerah tersebut mengiktiraf usaha pasukan kulinari dan khidmat pelanggannya dalam menawarkan pengalaman menjamu selera yang bermutu.
Pengurus Besar JEN Singapore Tanglin by Shangri-La, Cik Vathsala Subramaniam, berkata pengiktirafan itu amat bermakna buat seluruh pasukan J65, khususnya dalam landskap makanan halal Singapura yang semakin kompetitif.
“Kami amat berbesar hati apabila J65 diiktiraf sebagai Restoran Halal Terbaik. Anugerah ini meraikan usaha bersama pasukan kami dalam memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman menjamu selera yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Menurut beliau, pensijilan halal menjadi asas penting dalam memberikan keyakinan kepada pelanggan Muslim, selain menjadikan J65 tempat pertemuan yang inklusif bagi pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
Antara tarikan utama restoran itu ialah pilihan makanan laut segar yang dihidangkan di atas ais serta sajian istimewa seperti Laksa Singapura dengan Udang Galah, Salmon Norway dengan Sos Nyonya dan Tulang Rusuk Lembu Black Angus dengan Sos Ranch.
Pelanggan turut boleh menikmati Seafood Thermidor, Tandoori Scampi, udang kara Norway dengan Sos Cili Ketam Singapura serta pencuci mulut tempatan seperti Pengat Durian.
Bagi mengekalkan mutu makanan dan perkhidmatan dalam operasi bufet berskala besar, pasukan kulinari dan khidmat pelanggan J65 bekerjasama rapat memantau penyediaan, persembahan serta penambahan hidangan sepanjang waktu operasi.
“Tempat memasak secara langsung turut membolehkan pelanggan menikmati hidangan yang disediakan segar sambil menyaksikan cef beraksi,” kata Cik Vathsala.
Selain mengekalkan hidangan kegemaran pelanggan, J65 sentiasa memperkenalkan menu bertema, sajian bermusim dan kerjasama dengan cef jemputan bagi menarik pengunjung baharu serta pelanggan tetap.
Antaranya termasuk acara Rasa Malaysia baru-baru ini yang mengetengahkan kepelbagaian masakan Malaysia menerusi kerjasama dengan cef dari beberapa negeri.
Pada Oktober ini, J65 bakal memperkenalkan Pasta Month, termasuk kerjasama dengan seorang cef tempatan terkenal yang akan diumumkan kelak.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan J65 terus segar dan dinamik, dengan menawarkan pengalaman baharu kepada pelanggan tetap mahupun pengunjung kali pertama,” kata Cik Vathsala.
J65 @Hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La
Alamat: 1A Cuscaden Road, Singapura 249716Isnin hingga Jumaat (makan tengah hari); 12 tengah hari hingga 3 petang dan (makan malam) 6 petang hingga 10 malam Sabtu dan Ahad (makan tengah hari); 12.30 tengah hari hingga 3 petang dan (makan malam) 6 petang hingga 9.30 malam