Makanan Asia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mi udang oleh mualaf persis versi asli

Bekas kakitangan awam usahakan The Udang Clan, minta ibu bantu siapkan ‘Lor Mee’ ikut resipi tradisional
Jul 18, 2025 | 4:53 PM
the udang clan, halal, mi udang sup, lor mee, chinese muslim
Pengasas The Udang Clan, Encik Tariq Teo Ziqiang, menyajikan pelbagai pilihan mi Cina klasik seperti Mi Udang Kering atau Mi Udang Sup dan ‘Lor Mee’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mi udang kering yang disalut sambal pedas, udang segar yang kenyal, dan sup udang yang kaya dengan rasa itu, dimasak selama berjam lamanya.

Itulah sajian enak yang disediakan di kedai makan, The Udang Clan.

Kedai yang terletak di Hong Leong Building, sekitar Kawasan Pusat Bandar (CBD) Singapura, itu mampu menempatkan sehingga 25 pelanggan pada satu-satu masa.

Menu utama yang mencuri perhatian pelanggan ialah Mi Udang Kering yang dijual, bermula dengan harga $8.90.

Ia disediakan seiring sambal istimewa buatan sendiri. Mi itu memberikan rasa pedas dan manis yang seimbang, lengkap dengan udang segar.

Sup yang dihidangkan pula berwarna coklat dan mengeluarkan bau harum.

Ia dimasak perlahan menggunakan kepala udang, sekurang-kurangnya empat jam, bagi menghasilkan rasa manis yang asli.

“Sup udang harus dimasak dengan teliti dan kami tidak boleh bertolak ansur dengan mutunya, seperti mengurangkan bahan-bahan yang digunakan.

“Kami akan masak sampai rasa dan warna sup itu betul-betul gelap dan berperisa, “ jelas Pengasas, The Udang Clan, Encik Tariq Teo Ziqiang.

Usahawan berusia 42 tahun itu pernah berkhidmat dalam sektor awam sebelum mengorak langkah menceburi sektor makanan dan minuman (F&B).

Selepas memeluk Islam pada 2010, Encik Tariq mendapati kurangnya sajian halal yang biasa dinikmatinya dijual di sini.

“Makanan Cina halal tak sama rasanya.

“Keluarga saya memang suka mi udang. Tapi setiap kali cuba versi halal, rasanya tak cukup ‘kick’,” luahnya.

Beliau kemudian mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan awam.

Dengan sokongan anggota keluarganya, beliau memulakan usaha mencipta versi halal mi udang yang boleh menyaingi versi asal yang menggunakan daging tidak halal.

Beliau seisi keluarga mengambil masa hampir sedekad untuk menjalankan penyelidikan dan pengembangan (R&D) sebelum memulakan perniagaan itu.

Mereka mencuba pelbagai resipi bersama sehinggalah menemukan resipi yang sesuai.

“Kami menemui bahan yang sesuai digunakan untuk sajian kami.

“Dari situ, kami yakin ia boleh lawan versi aslinya,” akui Encik Tariq.

The Udang Clan mula beroperasi pada 2023 di Hong Leong Building yang menarik ramai pekerja pejabat.

Menariknya, 75 peratus pelanggannya bukan beragama Islam, sesuatu yang luar biasa bagi sebuah kedai makanan halal.

Ini kerana ramai daripada mereka pada awalnya berasa agak ragu-ragu dengan rasa sajian di kedai tersebut.

“Semasa kami buka kedai ini pada Ramadan 2023, tidak ada barisan pelanggan sebab ramai yang sedang berpuasa.

“Jadi pelanggan bukan Islam yang melihat tidak ramai orang di kedai kami mula beratur dan mencuba mi kami. Sejak itu, mereka datang secara tetap.

“Dari situlah, tersebarnya mengenai kewujudan kedai kami, dari mulut ke mulut.

“Ia betul-betul rezeki Ramadan,” dedahnya.

Setiap minggu, The Udang Clan, menggunakan kira-kira 150 kilogram udang bagi memastikan setiap mangkuk mi udang, laksa dan Lor Mee yang dihidangkan mengekalkan rasa yang tekal dan bermutu.

Namun selain cabaran biasa dalam perniagaan F&B, mendapatkan bekalan udang yang segar dan bersaiz sesuai bukanlah satu tugas mudah.

Menurut Encik Tariq, harga dan bekalan udang sering berubah, terutama ketika musim perayaan.

“Kadangkala pembekal akan beritahu tidak ada saiz udang yang biasa kami gunakan, atau harga naik secara mendadak,” jelasnya.

Jika itu terjadi, beliau terpaksa mengambil udang lebih besar dan lebih mahal tanpa menaikkan harga jualan sajiannya.

“Kami tetap berikan yang terbaik kepada pelanggan walaupun peratusan keuntungan kami lebih kecil.

“Udang ini sama juga seperti saham, naik turun harganya tidak menentu.”

Selain mi udang, The Udang Clan, turut menyajikan hidangan yang jarang ditemui versi halalnya seperti Lor Mee ($7.90).

Dengan kuah pekat kaya dengan herba, sajian itu mengandungi ikan goreng, gulungan udang buatan sendiri, char siew ayam, wantan dan fish cake (kek ikan).

Resipi itu adalah hasil tangan ibu Encik Tariq sendiri.

Hidangan ‘Lor Mee’ (dari kiri, ikut putaran jam), Laksa Tradisional dengan Udang dan Mi Udang Kering.
Hidangan ‘Lor Mee’ (dari kiri, ikut putaran jam), Laksa Tradisional dengan Udang dan Mi Udang Kering. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Lor Mee ini projek mak saya. Beliau membantu apabila saya minta untuknya cuba menghasilkan versi halal untuk saya,” ujar Encik Tariq.

“Sekarang, Lor Mee ini laris dijual sehingga habis setiap hari.”

Satu lagi hidangan yang mencuri perhatian ialah Laksa Tradisional dengan Udang ($8.90).

Hidangan Laksa Tradisional dengan Udang ($8.90) mempunyai rasa rempah yang kaya dan rasa lemak yang ringan, sesuai untuk dihirup.
Hidangan Laksa Tradisional dengan Udang ($8.90) mempunyai rasa rempah yang kaya dan rasa lemak yang ringan, sesuai untuk dihirup. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ia dimasak menggunakan rempah-ratus yang ditumis sendiri, lantas membuatkan rasa laksa ini berlemak, namun seimbang.

Dihidang bersama udang segar, tau pok dan kek ikan, ia menjadi pilihan ramai pelanggan hari ini.

“Saya memang tidak suka buat pes laksa sendiri sebab ia memang leceh.

“Tapi bila orang puji, kata laksa ini sedap, semua rasa penat itu berbaloi,” katanya dengan nada gembira.

Kini memasuki tahun kedua operasi, Encik Tariq masih belajar banyak perkara yang berkaitan dengan dunia F&B yang penuh dengan cabaran.

“Ada hari, saya berjaga malam untuk fikirkan mengenai kedai makan saya.

“Tapi Insya-Allah, semuanya akan bertambah baik.”

Walaupun sedang merancang untuk mengembangkan perniagaannya, tumpuan Encik Tariq buat masa ini ialah mengukuhkan kedai makannya yang sedia ada.

“Saya cuma ingin tunjukkan bahawa mi udang halal dan mi Cina lain yang kami tawarkan rasanya sedap macam versi asal,” ujarnya.

The Udang Clan
Alamat: 16 Raffles Quay, #B1-11, Hong Leong Building, Singapura 048581
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Jumaat, 10.30 pagi hingga 4.30 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg