Bermula dengan sebuah ketuhar piza bernilai sekitar $600 yang dibeli dalam talian, pasangan suami isteri Encik Ahmad Yani Zulkifly, 36 tahun, dan Cik Nurul Fardiana Fazahar, 33 tahun, kini menghidangkan piza artisan buatan tangan dari rumah mereka di Punggol menerusi perniagaan dari rumah (HBB), Out of Mind.

Walaupun masing-masing mempunyai kerjaya sepenuh masa – Encik Ahmad dalam industri makanan dan minuman (F&B), manakala isterinya bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan – mereka meluangkan masa lapang untuk menghasilkan piza gaya Neapolitan dengan doh yang diperam hingga 72 jam.

“Out of Mind benar-benar mencerminkan siapa kami.

“Kami suka mencuba perkara yang sedikit luar biasa dan bereksperimen dengan rasa yang orang mungkin tidak jangka boleh diletakkan di atas piza,” kata Cik Nurul.

Sebelum memulakan HBB tersebut, Encik Ahmad telah menghabiskan hampir sedekad bekerja dalam pelbagai restoran dan kafe sebelum mendalami dunia penapaian di restoran mewah berkonsepkan Nordic Jepun.

“Tumpuan saya sekarang banyak kepada kerja-kerja penapaian.

“Daripada situlah datangnya minat untuk memahami bagaimana sesuatu bahan boleh berubah dari segi rasa dan tekstur melalui proses pemeraman,” katanya yang memulakan Out Of Mind sebagai hobi.

Menurut beliau, idea menjual piza tercetus daripada minat mendalam terhadap hidangan itu serta keinginan untuk menghasilkan piza halal yang menepati cita rasa pasangan itu sendiri.

“Saya memang suka makan piza. Ada beberapa tempat yang bagus tetapi ada yang sudah tutup.

“Jadi kami fikir, kenapa tidak hasilkan piza yang kami sendiri mahu makan?

“Apa yang saya cari ialah doh yang lembut dan gebu walaupun dibiarkan seketika,” ujarnya.

Pasangan itu mengambil masa hampir enam bulan untuk menyempurnakan resipi doh mereka.

“Kami ke Vietnam dan cuba piza doh yang sangat gebu dan lembut.

“Ada doh yang dibiarkan di luar akan menjadi keras,” ujar Cik Fardiana yang mengambil inspirasi daripada piza tersebut.

“Kami gagal banyak kali. Ada masanya doh koyak apabila dimasukkan ke dalam ketuhar dan terus rosak.

“Cuaca di Singapura yang lembap juga memberi kesan kepada tahap hidrasi doh.

“Banyak yang kami belajar melalui proses cuba dan gagal itu,” kata Encik Ahmad.

Hasilnya ialah piza yang mempunyai kesan hangus halus, namun kekal ringan dan lembut, gebu dan gelembung udara yang cantik pada bahagian dalam.

“Penapaian selama 48 hingga 72 jam memberi masa untuk doh ‘relax’.

“Ia menjadikan teksturnya lebih gebu dan lebih mudah dihadam. Itu antara perkara yang sangat penting bagi saya,” tambahnya.

Keunikan Out of Mind turut terserlah menerusi pilihan menu seperti Naan of Your Business, berharga $14, yang menggabungkan sos masala, ayam, jem tomato dan sos yogurt pudina.

“Ramai pelanggan suka piza ini kerana rasanya sangat berbeza. Ia seperti makan hidangan India, butter chicken, dalam bentuk piza,” kata Cik Fardiana.

Satu lagi kegemaran pelanggan ialah Zucchiata & Friends, $14.50, yang menampilkan zukini, asparagus, kacang pis, stracciatella (sejenis keju), salsa verde dan madu pedas.

Stracciatella ialah inti keju burrata yang lembut dan berkrim, bersama salsa verde, iaitu sos hijau berasaskan herba.

“Saya selalu rasa pilihan vegetarian agak membosankan kerana kebanyakannya hanya pilihan margherita.

“Jadi kami mahu hasilkan sesuatu yang lebih menyeronokkan dengan tekstur dan rasa yang pelbagai,” ujarnya.

Margherita ialah piza klasik dari Italy yang menggunakan bahan-bahan asas, iaitu sos tomato, keju mozarela dan daun selasih. Ia sering dianggap sebagai piza paling tradisional.

Bagi pasangan itu, kepuasan terbesar bukanlah keuntungan semata-mata, tetapi apabila pelanggan kembali membuat pesanan.

“Apabila pelanggan datang semula dan memberitahu mereka suka piza kami, itu yang membuatkan segala usaha dan masa yang diluangkan terasa sangat berbaloi.

“Sehinggakan ada seorang mak cik di Jurong yang membuat pesanan beberapa kali,” kata Encik Ahmad.

Pelanggan yang ingin mencuba piza Out of Mind boleh menyemak jadual jualan menerusi Instagram Story, outofmind.sg, atau laman web mereka, https://tabaous.com/outofmind, sebelum membuat tempahan awal.

Out of Mind hanya beroperasi pada hari-hari tertentu dalam seminggu.

Out of Mind
Alamat: Waterway Sunrise 2, Punggol Drive (Alamat diberikan selepas pesanan diterima)Get therelocation-icon
Laporan berkaitan